31 December, 2014

ARLOJI (Siri 9)

Casio Prayer Compass (CPW-500H)


Casio CPW-500H merupakan sebuah jam  yang mesra pengguna untuk umat Islam. Model analog-digital ini terdiri daripada 6 varian. Ia adalah generasi kedua Casio Prayer Compass. Jam ini dibungkus menggunakan kotak yang istimewa. Pada kotak luar terdapat gambar Kaabah manakala  kotak dalamnya pula berwarna hijau. Case jam ini bersaiz 49.8 × 44.6 × 12 mm dan berbentuk bulat. Hampir keseluruhan jam diperbuat daripada plastik (resin) termasuk case, cermin dan tali (strap). Hanya penutup belakang menggunakan stainless steel. Tahap kalis air jam ini ialah 50 meter dan tahap ketepatannya  ±30 seconds per month.  Model CPW-500H ini berformat 12/24-hour  dan mempunyai twin sensor (compass, thermometer).


Terdapat 5 push-button pada jam ini  iaitu qibla, light, salat, mode dan adjust. Selain daripada  menentukan arah kiblat dan waktu solat, model ini juga mempunyai fungsi lain contohnya kalendar (Hijrah/Gregorian), termometer, stopwatch, world time, countdown timer, 5 alarms dan moon data. Lampu yang dipasangkan pada jam ini daripada jenis LED backlight (amber). Lampu ini akan bernyala kira-kira 2 saat sekiranya ditekan fungsinya,  Cahaya daripada lampu tersebut amat terang tetapi hanya untuk paparan pada bahagian digital sahaja bukannya keseluruhan dail jam. Marker dan jarum jam (hand) mempunyai luminous namun kurang terang.



Gambar di atas menunjukkan  jam berada dalam keadaan tetapan arah kiblat (rujuk jarum saat). Seterusnya, jarum saat ini turut berfungsi menentukan waktu solat (rujuk gambar di bawah). Tetapan arah kiblat dan waktu sembahyang ini boleh disetkan mengikut buku panduan yang disediakan. Sebagai peringatan, kedua-dua fungsi ini tidaklah tepat cuma sebagai rujukan umum sahaja. Apa yang menarik perhatian saya ialah jarum saatnya (hand second) yang berbentuk seperti menara masjid.



Ada sedikit keterangan mengenai jam pada bahagian caseback. Jam ini berbateri SR927W X 2 yang mampu bertahan selama 2 tahun. Model ini menggunakan enjin (movement) dari Jepun. Tali jamnya pula dari negara China.




Secara keseluruhannya, saya menggemari jam ini. Jam ini boleh didapati di mana-mana kedai jam seluruh negara. Tempoh jaminan jam Casio Prayer Compass ini selama 1 tahun. Antara jenama lain yang mengeluarkan jam berbentuk Islamic watch ialah Dalil dan Alfajr.

*Ujian
Tiada sebarang ujian khusus dilakukan ke atas jam ini. Namun, jam ini selalu terkena air kerana saya jarang menanggalkannya sewaktu membasuh tangan/mengambil wuduk. 

2 comments: