10 April, 2015

ARLOJI (Siri 16)

Rado DiaStar

Rado merupakan satu jenama jam Swiss yang terkenal sejak dahulu lagi. Perusahaan ini bermula pada tahun 1917 dan masih kekal sehingga sekarang.


Rado DiaStar turut dikenali sebagai Rado Original. Model ini bersaiz L (35mm) yang sesuai untuk lelaki. Ia digerakkan menggunakan enjin automatic. Produk ini diperbuat daripada bahan-bahan terpilih dan bermutu tinggi. Reka bentuknya unik dan penuh dengan unsur-unsur seni. 

Case jam ini menggunakan logam (hardmetal) kalis calar dan tahan luntur. Marker pula ditatah batu permata serta sedikit luminous (Super-LumiNova). Super-LumiNova ini juga terdapat pada jarum jam dan jarum saatnya.


Dail jam ini mempunyai dua rona iaitu berwarna ungu pada cahaya terang dan akan menjadi coklat apabila cahaya suram. Bahagian tengah caseback tertulis perkataan RADO DIASTAR, SWISS, nombor rujukan, SCRATCHPROOF dan WATERSEALED. Tahap kalis air untuk model ini ialah 3 BAR.



Rado original ini bercermin cembung, tebal, berbentuk tidak rata dan anti-calar (sapphire crystal). Pada crown terdapat lambang "sauh" manakala di sisi kiri case terukir perkataan RADO.




Bracelet jam diperbuat daripada stainless steel 316L. Terdapat logo dan tulisan RADO pada bahagian luar clasp manakala di bahagian tepinya perkataan THE ORIGINAL. Tali jam ini agak istimewa serta klasik kerana tidak menyerupai jam-jam lain.


Pada hari ini, Rado adalah sebahagian daripada kumpulan Swatch Group. Antara jenama lain yang bernaung di bawah syarikat tersohor ini ialah Tissot, Longines dan Certina. 

05 April, 2015

ARLOJI (Siri 15)

Seiko 5 SNK135K 

Jenama Seiko sememangnya popular di kalangan penggemar jam di Malaysia. Gergasi jam Jepun ini telah berjaya menawan hati para peminat horologi dengan pelbagai koleksi yang dikeluarkan. Seiko 5 adalah antara produk evergreen keluaran syarikat multinasional ini.


Jam ini dibungkus sederhana  iaitu menggunakan kotak kertas pada bahagian luarnya manakala kotak dalam yang berisi jam diperbuat daripada plastik.


Model SNK135K ini adalah untuk lelaki. Case berbentuk bulat dan dail berwarna hitam. Jarum dan marker pula berwarna perak (silver) dengan sedikit luminous. Jam ini dipacu menggunakan 7S26 automatic movement. 



Crown terselit  pada kedudukan pukul empat. Tarikh dan harinya pula terletak pada pukul tiga.


Model Seiko 5 boleh didapati dengan mudah di pasaran terbuka mahupun di internet, Oleh itu, kita sebagai pembeli perlu bijak dan mengetahui serba sedikit tentang jam ini untuk mengelakkan ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Setakat pengetahuan saya, ketulenan jam Seiko 5 boleh dikenali dengan beberapa ciri tertentu antaranya : 
  1. Model ini menggunakan enjin automatik.
  2. Mempunyai day dan date.
  3. Bahagian penutup belakang jenis see  through caseback.
  4. Water resistant.
  5. Crown terselit pada kedudukan pukul 4.
Namun begitu, cara yang lebih selamat ialah dengan membelinya daripada agen sah SEIKO. Walaupun harganya lebih tinggi tetapi anda tidak perlu lagi risau tentangnya. 



Bracelet jam menggunakan stainless steel.



Seiko 5 amat selesa apabila disarungkan pada pergelangan tangan. Saiz dan beratnya adalah sederhana serta tidak mengganggu pergerakan tangan kita.