Terdapat beberapa perkara yang perlu kita pertimbangkan sebelum membeli seutas jam. Hal ini kerana jam tangan merupakan teman sejati kita yang akan ke mana-mana sahaja bersama tuannya. Antara pertimbangan itu ialah:
1. Jenis jam.
Kenal pasti terlebih dahulu jenis jam yang diingini sama ada analog, digital atau analog-digital. Setiap jenis jam ini mempunyai keistimewaannya tertentu contohnya, kita boleh mengagak waktu dengan melihat sekali imbas sahaja dengan menggunakan jam analog (jam berjarum). Jam digital pula selalunya mempunyai penggera (alarm) yang mana fungsi ini tidak terdapat pada jam analog. Jika anda mahukan kedua-dua fungsi analog dan digital sekali maka pilihlah jam analog-digital.
2. Bahan.
Bahan yang digunakan untuk membuat jam amat mustahak untuk kita pastikan semasa membuat pilihan. Ini kerana jam yang dipakai seharusnya sesuai dengan gaya hidup dan pekerjaan anda. Jika anda seorang yang selalu melakukan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas dan hujan adalah tidak elok untuk mengenakan seutas jam tangan bertali kulit di lengan anda berbanding seorang eksekutif yang bekerja di pejabat.
3. Reka bentuk/model.
Selain itu, reka bentuk atau model turut memainkan peranan dalam pemilihan seutas jam. Jam sebenarnya mempunyai gaya atau versi yang pelbagai. Antaranya:
Aviation.
Jam yang dibuat untuk ahli atau mereka yang terlibat dalam industri penerbangan. Contoh jenama jam popular bercirikan aviation ialah Junkers dari Jerman.
Classic.
Jam ini boleh dikenali melalui kemasan ringkas pada dail dan menggunakan cermin cembung. Jam seperti ini berstail lama yang masih diulang pengeluarannya kerana masih mempunyai permintaan di pasaran. Jam yang bersifat evergreen iaitu sesuai sepanjang zaman.
Chronograph.
Jam yang memaparkan banyak meter pada dailnya.
Dress.
Jam tangan biasa untuk kegunaan seharian dan berfesyen.
Diver.
Jam khas untuk para penyelam dan peminat aktiviti air. Selalunya jam jenis diver mempunyai tahap kalis air pada kedalaman 200 meter dan ke atas serta bezel yang boleh diputar (jam analog) uintuk menentukan tempoh masa seseorang itu berada di dalam air. Ada juga jam jenis ini menggunakan gas helium dan berstandard ISO (International Organization for Standardization). Antara jam diver yang terkenal ialah Seiko Orange Monster, Omega Seamaster dan Rolex Submariner.
Military.
Jam ala tentera. Pada kebiasaannya, jam jenis askar ini ada mempunyai unsur penyamaran (camouflage) atau berangka numeric 24 jam.
Sport.
Jam yang digunakan untuk kegiatan bersukan. Jam yang dikategorikan sebagai sport ini dilengkapi fungsi stopwatch (jam digital) atau tachymeter (jam analog) untuk mengira masa.
4. Keupayaan jam.
Sebelum melakukan pembelian, kita juga sepatutnya mengetahui serba sedikit tentang keupayaan jam yang ingin dipilih. Perkara ini boleh diketahui melalui pembacaan (Google atau buku manual), rakan, jurujual di kedai jam atau dengan melihat sendiri jam tersebut. Saya selalunya memastikan beberapa perkara dalam menentukan keupayaan sesebuah jam iaitu:
- Bahan
- Jenis cermin (crystal).
- Tali jam (band/bracelet).
- Tahap kalis air (water resistance).
- Ketepatan masa (accurate time).
- Teknologi/Fungsi lain.
Faktor harga adalah perkara penting dalam pembelian sesebuah jam. Kita sepatutnya mendapatkan jam yang mampu dimiliki mengikut kedudukan kewangan sendiri. Buatlah perbandingan harga di antara beberapa buah kedai sebelum membuat keputusan. Ini kerana setiap kedai menawarkan harga dan diskaun yang berlainan. Untuk pengetahuan semua, harga jam ditentukan melalui dua kaedah iaitu harga yang dicadangkan pengilang (retail suggested price/RSP) dan pekedai. Manakala potongan harganya pula ialah sekitar 10% hingga 20%. Sebagai peringatan, diskaun atau potongan harga untuk sesebuah jam adalah sepanjang tahun bukannya untuk tempoh tertentu. Jika anda memperolehi harga yang lebih murah daripada yang saya jelaskan di atas ia adalah satu bonus atau berkemungkinan anda telah:
- Kenal rapat dengan taukenya.
- Terbeli jam baru yang lama tidak terjual (new old stock/NOS).
- Membeli jam tanpa melalui agen sah (authorised dealer).
- Tauke mahu menutup kedai/perniagaan.
- Lebih parah, anda tertipu dengan jam tiruan (fake).
(Sebelum membuat pembayaran, lakukan tawar-menawar terlebih dahulu kerana mungkin anda akan diberi sedikit lagi diskaun menggenapkan harga)
6. Pilihan hati
Perkara terakhir yang perlu anda fikirkan ialah belilah jam yang benar-benar memuaskan hati sendiri. Jangan terlalu terpengaruh dengan trend semasa atau pujukan salesman kedai jam. Carilah sebanyak mungkin info mengenai jam yang diminati sebelum membuat sebarang keputusan muktamad. Selain itu, terserahlah kepada diri sendiri kerana andalah yang membayarnya.
Ramai di antara kita mempunyai sekurang-kurangnya seutas jam tangan. Namun begitu, kadangkala kita alpa dan tidak tahu bagaimana untuk menjaganya agar kekal "anggun" dan tahan lama. Di sini saya kongsikan sedikit pengetahuan tentang cara maintenance sesebuah jam.
- Pakailah jam dengan cermat. Elakkan daripada bergesel dengan sesuatu kerana kesan goresan terutamanya pada cermin akan mencacatkan/menyakitkan pandangan mata.
- Jam tangan tidak boleh terjatuh dari tempat yang tinggi kecuali Casio G-Shock dan seumpamanya. Jadi, berhati-hatilah semasa anda memakai dan menanggalkannya dari pergelangan tangan.
- Jauhi daripada air. Tanggalkan jam sewaktu membasuh tangan atau mandi. Ini kerana kebanyakkan jam sebenarnya "takutkan" air kecuali jam diver.
- Jangan dedahkan jam pada suhu melampau (panas/sejuk).
- Hindari daripada terkena sebarang jenis minyak dan bahan kimia (chemical) misalnya minyak masak, sabun dan peluntur.
- Elakkan memakai/menyimpan jam di tempat yang mempunyai medan magnet.
- Jangan memakai jam sewaktu tidur.
- Bersihkan jam apabila kotor. Lapkan jam tersebut menggunakan kain kering yang lembut. Jika anda membeli jam berjenama (mahal), satu kain khas disertakan di dalam kotak bersama jam untuk tujuan ini.
- Simpan jam di tempat yang selamat jika tidak digunakan. Jangan letakkan jam di merata-rata tempat kerana dibimbangi kita sendiri terlupa apabila ingin memakainya. Sebaik-baiknya jam disimpan di dalam kotak bertutup untuk mengelakkan debu atau habuk. Terdapat kotak khas yang dijual di kedai jam namun harganya agak tinggi. Saya mencadangkan supaya gunakan sahaja sebarang kotak atau bekas yang telah ada di rumah contohnya kotak kasut. Bungkus setiap jam yang disimpan bagi mengelakkannya daripada tercalar. Selain daripada menjimatkan belanja, pencuri juga tidak menyangka bahawa ada barang berharga di dalamnya.
- Sekiranya bateri jam telah habis tukarkan dengan yang baru seberapa segera. Bateri lama mungkin akan menyebabkan karat.
- Dapatkan khidmat profesional apabila jam anda mengalami masalah. Hantarkan jam anda ke pusat servis (service centre) yang bertauliah. Gunakan alat ganti yang original walaupun harganya mahal. Jangan sesekali membuka caseback jam anda sendiri jika tidak arif tentangnya.
No comments:
Post a Comment