08 May, 2015

ARLOJI (Siri 17)

Enjin dan Bateri Jam

Enjin 

Enjin atau movement merupakan nadi bagi sesebuah jam. Jam yang baik semestinya memerlukan enjin yang berkualiti, tahan lama dan mampu mengukur masa dengan tepat.

Sudut pandangan hadapan

Gambar di atas memaparkan enjin jam daripada dua jenama yang berbeza. Sebelah kiri adalah jentera Seiko manakala di kanannya ialah Casio. Namun begitu, kedua-dua movement ini adalah berteknologi quartz dan dipacu menggunakan bateri.

Sudut pandangan belakang


Movement 7N43 ini diambil daripada sebuah jam Seiko analog (jam berjarum). Enjin buatan Jepun ini dikeluarkan oleh Seiko Time Corporation. 




Ini pula movement jam Casio digital. Ia dikilangkan oleh Casio China. 







Enjin jam yang berteknologi quartz sebenarnya lebih ringkas berbanding movement mekanikal. Enjin mekanikal mempunyai banyak kompenan dan memerlukan penjagaan yang rapi. 

Bateri

Movement jam memerlukan tenaga untuk berfungsi. Salah satu daripada sumber tenaga itu adalah bateri. Bateri jam mempunyai pelbagai jenama dan saiz. Keupayaan dan ketahanan bateri juga tidak sama iaitu antara 1 hingga 10 tahun. Antara jenama bateri jam ialah Maxell (Hitachi), Sony dan Panasonic. 

Bateri yang dipaparkan pada gambar di bawah berjenama Panasonic (CR2025). Bateri ini diambil daripada jam tangan Casio model F-200 yang mampu bertahan selama 10 tahun.

Sudut pandangan hadapan

Sudut pandangan belakang

Bateri Renata "Swiss Made"

Seterusnya pula, bateri Sony SR927W yang digunapakai untuk Casio Prayer Compass. Model Casio CPW-500H memerlukan dua biji bateri bersaiz ini sebelum dapat berfungsi.


Sony dan Maxell SR626SW dipasangkan pada Casio LRW-200H.


Pembalut bateri jam


Selain itu, saya paparkan juga bateri-bateri untuk kegunaan jam dinding dan jam loceng.

Bateri saiz C

Bateri saiz AA

Bateri saiz AAA

10 April, 2015

ARLOJI (Siri 16)

Rado DiaStar

Rado merupakan satu jenama jam Swiss yang terkenal sejak dahulu lagi. Perusahaan ini bermula pada tahun 1917 dan masih kekal sehingga sekarang.


Rado DiaStar turut dikenali sebagai Rado Original. Model ini bersaiz L (35mm) yang sesuai untuk lelaki. Ia digerakkan menggunakan enjin automatic. Produk ini diperbuat daripada bahan-bahan terpilih dan bermutu tinggi. Reka bentuknya unik dan penuh dengan unsur-unsur seni. 

Case jam ini menggunakan logam (hardmetal) kalis calar dan tahan luntur. Marker pula ditatah batu permata serta sedikit luminous (Super-LumiNova). Super-LumiNova ini juga terdapat pada jarum jam dan jarum saatnya.


Dail jam ini mempunyai dua rona iaitu berwarna ungu pada cahaya terang dan akan menjadi coklat apabila cahaya suram. Bahagian tengah caseback tertulis perkataan RADO DIASTAR, SWISS, nombor rujukan, SCRATCHPROOF dan WATERSEALED. Tahap kalis air untuk model ini ialah 3 BAR.



Rado original ini bercermin cembung, tebal, berbentuk tidak rata dan anti-calar (sapphire crystal). Pada crown terdapat lambang "sauh" manakala di sisi kiri case terukir perkataan RADO.




Bracelet jam diperbuat daripada stainless steel 316L. Terdapat logo dan tulisan RADO pada bahagian luar clasp manakala di bahagian tepinya perkataan THE ORIGINAL. Tali jam ini agak istimewa serta klasik kerana tidak menyerupai jam-jam lain.


Pada hari ini, Rado adalah sebahagian daripada kumpulan Swatch Group. Antara jenama lain yang bernaung di bawah syarikat tersohor ini ialah Tissot, Longines dan Certina. 

05 April, 2015

ARLOJI (Siri 15)

Seiko 5 SNK135K 

Jenama Seiko sememangnya popular di kalangan penggemar jam di Malaysia. Gergasi jam Jepun ini telah berjaya menawan hati para peminat horologi dengan pelbagai koleksi yang dikeluarkan. Seiko 5 adalah antara produk evergreen keluaran syarikat multinasional ini.


Jam ini dibungkus sederhana  iaitu menggunakan kotak kertas pada bahagian luarnya manakala kotak dalam yang berisi jam diperbuat daripada plastik.


Model SNK135K ini adalah untuk lelaki. Case berbentuk bulat dan dail berwarna hitam. Jarum dan marker pula berwarna perak (silver) dengan sedikit luminous. Jam ini dipacu menggunakan 7S26 automatic movement. 



Crown terselit  pada kedudukan pukul empat. Tarikh dan harinya pula terletak pada pukul tiga.


Model Seiko 5 boleh didapati dengan mudah di pasaran terbuka mahupun di internet, Oleh itu, kita sebagai pembeli perlu bijak dan mengetahui serba sedikit tentang jam ini untuk mengelakkan ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Setakat pengetahuan saya, ketulenan jam Seiko 5 boleh dikenali dengan beberapa ciri tertentu antaranya : 
  1. Model ini menggunakan enjin automatik.
  2. Mempunyai day dan date.
  3. Bahagian penutup belakang jenis see  through caseback.
  4. Water resistant.
  5. Crown terselit pada kedudukan pukul 4.
Namun begitu, cara yang lebih selamat ialah dengan membelinya daripada agen sah SEIKO. Walaupun harganya lebih tinggi tetapi anda tidak perlu lagi risau tentangnya. 



Bracelet jam menggunakan stainless steel.



Seiko 5 amat selesa apabila disarungkan pada pergelangan tangan. Saiz dan beratnya adalah sederhana serta tidak mengganggu pergerakan tangan kita.

01 March, 2015

ULANG TAHUN KE-40

Sambutan Ulang Tahun ke-40

Alhamdulillah.....
Saya bersyukur kepada Allah kerana telah dikurniakan umur yang panjang, rezeki dan kesihatan yang baik.

Bersempena dengan sambutan hari lahir yang ke-40 pada tahun ini, satu logo khas telah dicipta. 


Logo ini akan digunakan untuk kegiatan sambutan ulang tahun pada 2015. Gambar latar belakang logo di atas adalah sebuah dail jam. Warna temanya pula ialah oren.

Kesemua perkara dan aktiviti yang dilakukan bersempena sambutan ulang tahun ini adalah bertujuan untuk menghargai dan mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mengingatkan kembali detik kami adik-beradik semasa kecil.

07 February, 2015

ARLOJI (Siri 14)

Delvina


Jam ini berjenama Delvina. Ia merupakan seutas jam tangan quartz yang berbentuk bulat. Case diperbuat daripada base metal manakala penutup belakangnya menggunakan stainless steel. Dail berwarna putih kekuningan serta marker berhuruf roman.



Reka bentuk bracelet menarik dan menggunakan stainless steel. Produk ini boleh diperolehi di rangkaian kedai City Chain sekiranya berminat.

01 February, 2015

ARLOJI (Siri 13)

Alba AXT830X

Jenama Alba mula diperkenalkan pada tahun 1979. Ia merupakan  satu jenama jam keluaran Seiko Watch Corporation. Jam Alba terbahagi kepada beberapa kategori antaranya ialah SignA, Prestige, Active dan Fashion. 



Model yang dipaparkan ini adalah seutas jam tangan wanita bernombor siri AXT830X. Keseluruhan jam ini diperbuat daripada stainless steel kecuali  cermin penutup dail yang menggunakan sapphire glass (cermin kalis calar). Jam ini berwarna silver/gold.



Kemasan pada dail cukup simple memudahkan pemakainya melihat waktu. Namun begitu, pengguna jam ini akan mengalami sedikit kesukaran pada waktu malam kerana luminous yang sangat kabur. Terdapat tingkap haribulan pada kedudukan pukul 3.


Crown jam ini agak besar dan dilindungi  oleh 2 "bahu".  Tahap kalis air jam pula ialah 50 meter.



Keterangan asas mengenai jam terdapat pada belakang case. Calibre-case no. jam ini ialah VX82-X489SG.  Model analog ini dikuasakan oleh bateri. Pada bracelet (tali jam) ada tulisan ALBA iaitu di bahagian clasp.





Produk ini mempunyai waranti selama 1 tahun. Pada pendapat saya, jam ini cantik dan sesuai untuk kegunaan harian tetapi jenamanya tidaklah setanding Seiko.