21 December, 2014

ARLOJI (Siri 4)

Hello Kitty (Mix & Match Watch)

Hello Kitty adalah satu brand yang tidak asing bagi kita. Jenama ini dilahirkan oleh Syarikat Sanrio sejak tahun 1974 lagi iaitu 40 tahun yang lepas. Satu perkara yang agak memeranjatkan saya ialah Hello Kitty berasal dari Jepun bukannya Eropah. Sanrio Ikuko Shimizu ialah orang pertama yang bertanggungjawab mereka cipta watak ini.

Hello Kitty ialah seekor kucing betina yang berwarna putih. Kucing comel ini memakai reben/bow-tie pada telinga kiri,  mempunyai mata dan hidung tetapi tiada mulut. Kucing ini selalunya dipadankan dengan pakaian atau aksesori berwarna lembut yang menarik misalnya merah jambu (pink).  Pada awal kemunculannya Hello Kitty hanya mengeluarkan produk berupa dompet wang sahaja. Namun, ia terus berkembang dari semasa ke semasa sehinggalah sekarang pelbagai barangan yang menggunakan tanda niaganya telah dihasilkan. Antaranya ialah jam.


Keseluruhan jam ini diperbuat daripada plastik. Hanya bahagian-bahagian tertentu sahaja menggunakan logam. Jam ini dibungkus untuk pasaran dengan plastik keras lut sinar bukannya kotak. Di dalamnya terdapat panduan ringkas berkaitan tatacara penggunaan. Jam ini merupakan jam digital  dan dijana oleh bateri. Talinya pula senang untuk dilaraskan (adjustable strap) dengan pergelangan tangan kanak-kanak.

  
  
Jam ini mempunyai warna yang menarik. Ia amat sesuai untuk kanak-kanak yang berumur antara 3 hingga 5 tahun. Bagi kanak-kanak yang berumur 3 tahun ke bawah, saya menasihatkan kepada para ibu bapa agar tidak memakaikan mereka dengan sebarang jenis jam. Ini kerana mereka sebenarnya belum dapat menghargai jam tersebut dan mungkin boleh mendatangkan kecederaan.


Dail jam ini mempunyai penutup. Kita boleh menukarkan watak Hello Kitty pada penutup itu dengan 3 patung yang berbeza. Jadi, kanak-kanak perlu membuka penutup tersebut untuk melihat masa. Walaupun ia adalah jam asas dan tiada lampu (light) tetapi jam ini turut dilengkapi dengan fungsi tarikh. Ada dua butang pada dail untuk kita menetapkan fungsi (adjust) jam ini.


 

Jam ini merupakan jam buatan China di bawah lesen Clever Time. Terdapat sedikit penerangan ringkas mengenai jam pada bahagian belakang (caseback). Bahagian ini ditutup rapi dengan menggunakan tiga skru. Jam Hello Kitty ini dijual tanpa ada jaminan (waranti). Anda boleh mendapatkan jam ini di kedai jam, pasar raya, kedai alatan permainan atau kedai yang menjual barangan Hello Kitty sekiranya berminat. 
  
*Ujian
Tiada sebarang ujian dilakukan ke atas jam ini. Saya sendiri tidak tahu sama ada jam ini kalis air mahupun tidak.

No comments:

Post a Comment