01 May, 2014

Keindahan Bahasa

Salam hormat.....

Bahasa adalah anugerah Allah yang amat bernilai dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa manusia dapat  menyatakan pendapat, berkongsi perasaan, pengalaman dan berhubung antara satu sama lain. Namun begitu, dewasa ini kita melihat ramai pengguna bahasa tidak peka akan kepentingan tersebut.

Bahasa digunakan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan hukum tatabahasa yang betul. Ramai di kalangan kita mempelajari bahasa secara tidak fokus atau secara ikut-ikutan sahaja. Bahasa yang betul dan tepat mempunyai kaedah dan formulanya yang tersendiri. Kita boleh mempelajari bahasa secara formal melalui institusi tertentu, merujuk buku panduan yang dipercayai kesahihannya atau berguru dengan orang yang lebih arif (munsyi). Dengan cara sedemikian, kita akan dapat memperbaiki dan menambah pengetahuan berkaitan bahasa yang kita pakai selama ini seterusnya menonjolkan keindahan bahasa itu sendiri.

Bahasa sepatutnya digunakan untuk tujuan berfaedah iaitu membawa kebaikan kepada seluruh umat manusia.  Penutur perlu menggunakan bahasa dengan cermat dan berhemah agar bicara yang diucapkan itu tidak menyinggung perasaan atau menimbulkan rasa kurang senang orang lain. Gunakan akal budi sebelum meluahkan sesuatu perkara. Amalan ini secara tidak langsung akan mewujudkan sebuah masyarakat yang saling menghormati dan harmoni.

Usahlah menggunakan anugerah tuhan ini untuk perkara sia-sia seperti menabur fitnah, hasad dengki dan pertengkaran. Hal ini tidak membawa sebarang kebaikan malah membawa balasan buruk untuk kita di akhirat kelak.

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.