02 January, 2015

ARLOJI (Siri 10)

"Lelaki Lumpur" G-9300 (Solar)

G-Shock dilahirkan pada tahun 1983. Model G-Shock yang pertama ialah DW-5000C hasil ciptaan seorang jurutera Casio yang bernama Kikuo Ibe. Jam G-Shock terkenal dengan kelasakan dan ketahanannya. Ia amat sesuai untuk golongan muda dan mereka yang terlibat dalam sektor pekerjaan tertentu. Jam keluaran G-Shock terbahagi kepada beberapa kategori antaranya ialah Master of G (professional), Standard, G-Lide dan Baby-G (khusus untuk perempuan).

 

G-Shock digital yang dipaparkan ini ialah Mudman/"Lelaki Lumpur". Mudman merupakan sebahagian daripada jam dalam kategori Master of G. Selain itu, jam yang turut terdapat dalam kategori ini ialah Rangeman, Frogman dan Gulfman. Kesemua model Master of G mempunyai tahap kalis air sehingga 200 meter dan bertali plastik (resin band).

Model ini adalah sebuah jam berbentuk bulat dan multifunction. Saiz case Mudman ialah 53 X 50.8 X 18.2 mm. Walaupun bersaiz besar tetapi jam ini agak ringan dan selesa di pergelangan tangan. Keseluruhan jam diperbuat daripada resin kecuali cermin, caseback dan buckle. Permukaan dail jam ini ditutupi dengan cermin mineral. Mineral glass ini mudah tercalar sekiranya bergesel. Bagi mengatasi masalah ini, bezel yang besar serta lebih tinggi daripada cermin dipasangkan pada Mudman dan kebanyakan produk G-Shock. Caseback dan buckle pula menggunakan stainless steel.


Jam ini dilengkapi  dengan twin sensor (kompas digital, termometer), moon data, stopwatch, world time, countdown timer, 5 penggera, tarikh (full auto-calendar to year 2099) dan berformat  12/24 hour. Tahap ketepatan masa model G-9300 ini  ±15 seconds per month. Perkara inilah yang menarik perhatian saya  untuk memiliki model ini  selain daripada antilumpur, tahap kalis air dan teknologi solar.

Sebagai seorang penggemar dunia horologi, saya mahukan jam yang menepati masa dan reliable. Pada pandangan saya, jam yang dipakai mestilah menunjukkan waktu sebenar ataupun dengan perbezaan 1 minit sahaja. (jam yang paling tepat adalah jam pada telefon pintar, kaca televisyen dan skrin komputer).


Terdapat 5 butang tetapan fungsi G-Shock G-9300 ini iaitu light/reverse, compass, search/foward, mode/select dan adjust/display. Butang-butang ini besar dan kesat  tetapi agak keras apabila ditekan. Lampu jam  berwarna blue green. Pada penglihatan saya, nyalaan lampu jam ini adalah sederhana terang berbanding jam berkuasa bateri. 


Gambar jam di atas sedang menunjukkan fungsi kompas dan termometer (bacaan suhu). Gambar di bawahnya pula memperlihatkan jam berkeadaan tetapan moon data dan tarikh.



Sensor jam  (warna silver) berada pada kedudukan di antara butang adjust dan mode. Panduan penggunaan (setting) berkaitan Mudman   boleh dibaca di dalam buku manual Casio bermodul 3261. Buku ini kecil, tebal dan pelbagai bahasa. 


Bersesuaian dengan namanya, Mudman merupakan sebuah jam antilumpur termasuk debu dan habuk. Bahagian belakang jam dihiasi dengan gambar anjing laut bercermin mata sambil memegang kompas di tangan kanannya. Penutup belakang ini disambungkan pada case dengan 4 skru. 



Jam ini berkuasa solar. Kita hanya perlu menjemurkan jam ini di bawah cahaya matahari beberapa ketika untuk mengecas baterinya. Tenaga  cahaya ini diserap untuk disimpan oleh bateri jam melalui permukaan yang berwarna hitam di sekeliling dail. Level battery indicator (L-low, M-medium dan H-high) terletak di tengah-tengah dail. Bateri jam yang dicas penuh mampu bertahan selama hampir setahun jika disimpan di dalam gelap dengan mengaktifkan power saving (PS). Jam akan "mati" sendiri ketika  berada di dalam gelap dan berfungsi kembali bila terkena cahaya. Power saving  jam ini boleh di on/off.


Case dan tali jam ini dikilangkan di Thailand. Setahu saya, kebanyakkan jam keluaran G-Shock/Casio untuk pasaran Malaysia datang dari dua negara iaitu Thailand dan China. Namun, suatu masa dahulu (1990-an) saya pernah menjumpai jam Casio yang mana buckle talinya tertulis perkataan Malaysia.

Tali jam Mudman ini besar dan berhuruf yang timbul di belakangnya. Huruf /perkataan tersebut  ialah G-SHOCK PROTECTION dan SHOCK RESIST. Strap ini disambungkan kepada case dengan spring bar yang berskru.


Jam ini dibungkus menggunakan kotak dan tin besi yang berwarna hitam.  Dua jaminan selama setahun telah disertakan semasa pembelian. Satu waranti daripada pengedar sah Malaysia manakala satu lagi  international warranty.

*Ujian
LULUS. Umum telah mengetahui akan kelasakan dan kehebatannya.

31 December, 2014

ARLOJI (Siri 9)

Casio Prayer Compass (CPW-500H)


Casio CPW-500H merupakan sebuah jam  yang mesra pengguna untuk umat Islam. Model analog-digital ini terdiri daripada 6 varian. Ia adalah generasi kedua Casio Prayer Compass. Jam ini dibungkus menggunakan kotak yang istimewa. Pada kotak luar terdapat gambar Kaabah manakala  kotak dalamnya pula berwarna hijau. Case jam ini bersaiz 49.8 × 44.6 × 12 mm dan berbentuk bulat. Hampir keseluruhan jam diperbuat daripada plastik (resin) termasuk case, cermin dan tali (strap). Hanya penutup belakang menggunakan stainless steel. Tahap kalis air jam ini ialah 50 meter dan tahap ketepatannya  ±30 seconds per month.  Model CPW-500H ini berformat 12/24-hour  dan mempunyai twin sensor (compass, thermometer).


Terdapat 5 push-button pada jam ini  iaitu qibla, light, salat, mode dan adjust. Selain daripada  menentukan arah kiblat dan waktu solat, model ini juga mempunyai fungsi lain contohnya kalendar (Hijrah/Gregorian), termometer, stopwatch, world time, countdown timer, 5 alarms dan moon data. Lampu yang dipasangkan pada jam ini daripada jenis LED backlight (amber). Lampu ini akan bernyala kira-kira 2 saat sekiranya ditekan fungsinya,  Cahaya daripada lampu tersebut amat terang tetapi hanya untuk paparan pada bahagian digital sahaja bukannya keseluruhan dail jam. Marker dan jarum jam (hand) mempunyai luminous namun kurang terang.



Gambar di atas menunjukkan  jam berada dalam keadaan tetapan arah kiblat (rujuk jarum saat). Seterusnya, jarum saat ini turut berfungsi menentukan waktu solat (rujuk gambar di bawah). Tetapan arah kiblat dan waktu sembahyang ini boleh disetkan mengikut buku panduan yang disediakan. Sebagai peringatan, kedua-dua fungsi ini tidaklah tepat cuma sebagai rujukan umum sahaja. Apa yang menarik perhatian saya ialah jarum saatnya (hand second) yang berbentuk seperti menara masjid.



Ada sedikit keterangan mengenai jam pada bahagian caseback. Jam ini berbateri SR927W X 2 yang mampu bertahan selama 2 tahun. Model ini menggunakan enjin (movement) dari Jepun. Tali jamnya pula dari negara China.




Secara keseluruhannya, saya menggemari jam ini. Jam ini boleh didapati di mana-mana kedai jam seluruh negara. Tempoh jaminan jam Casio Prayer Compass ini selama 1 tahun. Antara jenama lain yang mengeluarkan jam berbentuk Islamic watch ialah Dalil dan Alfajr.

*Ujian
Tiada sebarang ujian khusus dilakukan ke atas jam ini. Namun, jam ini selalu terkena air kerana saya jarang menanggalkannya sewaktu membasuh tangan/mengambil wuduk. 

27 December, 2014

ARLOJI (Siri 8)

Casio F-200


Model F-200 ini berbentuk bulat, nipis dan ringan. Ia diperbuat daripada resin kecuali part tertentu sahaja yang menggunakan stainless steel. Saiz case model ini ialah 44.1 x 40 x 11.5 mm. Jam ini mempunyai 4 push-button iaitu adjust, mode, start dan light. Lampu yang digunakan pada jam ini adalah jenis LED backlight. Tahap ketepatan jam ini ialah ±30 seconds per month sementara tahap kedalaman kalis airnya tidak dinyatakan.

Selain itu, jam ini mempunyai fungsi dual time, kalendar (hari/tarikh), penggera, stopwatch, dan berformat 12/24 hour. Baterinya boleh bertahan sehingga 10 tahun.


Terdapat sedikit maklumat tentang jam ini pada penutup belakangnya. Saya telah membeli jam ini kira-kira 10 tahun yang lepas. Saya menggunakan jam ini untuk bekerja dan pelbagai aktiviti harian. Saya berpendapat jam ini lasak  dan reliable. Saya berasa sedikit sayu kerana beberapa bulan lepas jam ini telah kehabisan bateri di pergelangan tangan  semasa saya cuba menekan butang-butang tetapan fungsinya.



Tali yang dipasangkan pada jam ini bukanlah tali yang asal. Tali baru ini dibeli dengan harga RM15. 

*Ujian
LULUS. Saya sangat berpuas hati dengan jam ini. 

25 December, 2014

ARLOJI (Siri 7)

Casio LRW-200H

Casio Computer Co., Ltd adalah sebuah syarikat multinasional dari Jepun. Syarikat ini  ditubuhkan sejak tahun 1946 lagi. Casio merupakan sebuah perusahaan yang terlibat dalam industri elektronik. Berbagai-bagai produk telah dikeluarkan oleh syarikat ini misalnya kalkulator/mesin kira, kamera, alat muzik dan semestinya jam. 


Casio adalah satu jenama yang popular di kalangan penggemar jam. Para "penternak" jam (collector) di Malaysia kebiasaannya akan menyimpan sekurang-kurangnya seutas jam tangan berjenama ini. 


Model LRW-200H ini terdiri daripada 8 variasi. Jam ini kecil, berbentuk bulat dan direka seperti sebuah jam diver.  Saiz case jam ialah 38.9 x 34.2 x 11.5 mm. Keseluruhan jam pula diperbuat daripada plastik (resin) kecuali bahagian-bahagian tertentu contohnya caseback dan crown. Model ini sebenarnya ialah jam dalam kategori perempuan namun ia juga turut sesuai kepada kanak-kanak dan golongan awal remaja (usia 7-15 tahun). 


Terdapat maklumat mengenai jam pada penutup belakang. Caseback ini dibuat daripada stainless steel dan dilekatkan pada case dengan 4 skru. Jam ini buatan China tetapi menggunakan enjin (movement) Jepun. Tahap ketepatan jam ini ±20 seconds per month.



Bezel jam ini boleh diputar. Dail pula berwarna hitam dan terdapat fungsi tarikh pada kedudukan pukul 3 (date display at 3 o'clock). Marker dan jarum jam (hand) berwarna putih dan luminous. Jam analog ini mempunyai tahap kalis air sedalam 100 meter dan digerakkan oleh kuasa bateri. Bateri SR626SW yang dipasangkan pada jam ini mempunyai jangka hayat sehingga 3 tahun.



Crown berada pada bahagian tengah tepi jam dan dilindungi oleh dua "bahu". Pelindung ini bertujuan untuk mengelakkan kerosakan crown sekiranya bergesel dengan sesuatu. Selain itu, apa yang menarik perhatian saya ialah garisan-garisan halus yang terdapat pada crown. Walaupun ia adalah garisan yang biasa tetapi amat membantu untuk si pemakainya melaraskan fungsi jam ini. 


Jam ini mempunyai reka bentuk yang kemas, cantik dan harga yang berpatutan. Ia mempunyai waranti selama 1 tahun. Setakat pengetahuan saya, jam yang berharga RM50 ke atas biasanya akan diberikan jaminan sama ada oleh pekedai atau pengedarnya.



Pada buckle terpampang jelas perkataan Casio dan di belakangnya  perkataan China. Perkataan China pada buckle ini merujuk kepada tali jam tersebut yang datangnya dari negara Tanah Besar itu.

*Ujian
LULUS. Saya sangat berpuas hati dengan jam ini. Pemiliknya pernah memakai jam ini  lebih seminggu tanpa menanggalkannya dari pergelangan tangan.

23 December, 2014

ARLOJI (Siri 6)

Jam Q&Q LLA3J201Y

Jenama Q&Q berasal dari Jepun.  Pada asalnya jenama ini  adalah keluaran Syarikat Japan CBM Corporation. Namun, sekarang ini Q&Q adalah sebahagian daripada Citizen Watch Co., Ltd. Q&Q telah menghasilkan pelbagai jenis jam.  Produk keluaran Q&Q terbahagi kepada beberapa kategori iaitu sports, standard, digital dan sebagainya. 


Jam Q&Q yang dipaparkan ini ialah  model LLA3J201Y dan tergolong dalam kategori digital. Jam ini dijual tanpa kotak, buku manual ataupun waranti. Ia bersaiz kecil serta sangat sesuai dengan kanak-kanak. Jam ini boleh dipakai oleh kanak-kanak lelaki atau perempuan dalam lingkungan umur 6 hingga 12 tahun.


Apa yang mengagumkan saya ialah water resist jam ini 10 BAR (100 meter). Selain itu, jam ini mempunyai fungsi penggera (alarm), hari dan tarikh. Jam ini tidak ada lampu untuk melihat paparan pada dail di waktu malam.


Keseluruhan case diperbuat daripada plastik termasuk cermin dan 3 push-button penetapan fungsi  jam. Hanya caseback dan buckle menggunakan stainless steel. Simbol kapal layar kelihatan amat sinonim dengan keupayaan jam Q&Q ini. Model ini merupakan jam buatan China.



Terdapat logo Q&Q pada bahagian hadapan buckle manakala pada belakangnya tertera perkataan stainless steel dan China.



Gelang getah pada tali (strap) telah terkoyak akibat cara pemakaian yang lasak dan faktor usia jam. Berdasarkan pengalaman saya, tali plastik/getah akan terputus selepas setahun. Jam ini merupakan seutas jam tangan mampu milik yang boleh didapati di kebanyakan kedai jam. Harganya tidaklah terlalu mahal.

*Ujian
LULUS. Saya sangat berpuas hati dengan jam ini. Pemiliknya pernah memakai jam ini  kira-kira seminggu tanpa menanggalkannya dari pergelangan tangan.

21 December, 2014

ARLOJI (Siri 5)

Machiko dari Sogo

Sogo (K.L.) Department Store Sdn. Bhd merupakan sebuah gedung membeli-belah terkenal yang telah lama bertapak di Kuala Lumpur.  Lokasi pusat perniagaan ini amat strategik kerana terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran dengan Kompleks Pertama. Sogo telah menyambut ulang tahun ke-20 pada tahun ini. Sogo adalah sebuah syarikat antarabangsa yang berasal dari Jepun.

Sebagai penghargaan kepada pelanggan, Sogo telah mengeluarkan satu siri barangan (edisi khas) atas nama  Chiyo dan Machiko. Chiyo ialah kucing jantan manakala Machiko pula kucing betina. Antara barangan tersebut ialah jam tangan.



Jam ini berbentuk bulat dan menggunakan bateri. Dailnya berwarna putih dan di tengah-tengahnya terdapat gambar Machiko. Cermin jam daripada jenis plastik. Marker pula berwarna silver.   Jam keluaran Sogo ini sesuai untuk golongan remaja atau mereka yang suka bertukar-tukar jam. 


Talinya diperbuat daripada getah lembut dan senang ditanggalkan dari jam. Pada pendapat saya, jam ini hanyalah souvenir sahaja.


*Ujian
Tiada sebarang ujian dilakukan ke atas jam ini. Saya sendiri tidak tahu sama ada jam ini kalis air mahupun tidak.

ARLOJI (Siri 4)

Hello Kitty (Mix & Match Watch)

Hello Kitty adalah satu brand yang tidak asing bagi kita. Jenama ini dilahirkan oleh Syarikat Sanrio sejak tahun 1974 lagi iaitu 40 tahun yang lepas. Satu perkara yang agak memeranjatkan saya ialah Hello Kitty berasal dari Jepun bukannya Eropah. Sanrio Ikuko Shimizu ialah orang pertama yang bertanggungjawab mereka cipta watak ini.

Hello Kitty ialah seekor kucing betina yang berwarna putih. Kucing comel ini memakai reben/bow-tie pada telinga kiri,  mempunyai mata dan hidung tetapi tiada mulut. Kucing ini selalunya dipadankan dengan pakaian atau aksesori berwarna lembut yang menarik misalnya merah jambu (pink).  Pada awal kemunculannya Hello Kitty hanya mengeluarkan produk berupa dompet wang sahaja. Namun, ia terus berkembang dari semasa ke semasa sehinggalah sekarang pelbagai barangan yang menggunakan tanda niaganya telah dihasilkan. Antaranya ialah jam.


Keseluruhan jam ini diperbuat daripada plastik. Hanya bahagian-bahagian tertentu sahaja menggunakan logam. Jam ini dibungkus untuk pasaran dengan plastik keras lut sinar bukannya kotak. Di dalamnya terdapat panduan ringkas berkaitan tatacara penggunaan. Jam ini merupakan jam digital  dan dijana oleh bateri. Talinya pula senang untuk dilaraskan (adjustable strap) dengan pergelangan tangan kanak-kanak.

  
  
Jam ini mempunyai warna yang menarik. Ia amat sesuai untuk kanak-kanak yang berumur antara 3 hingga 5 tahun. Bagi kanak-kanak yang berumur 3 tahun ke bawah, saya menasihatkan kepada para ibu bapa agar tidak memakaikan mereka dengan sebarang jenis jam. Ini kerana mereka sebenarnya belum dapat menghargai jam tersebut dan mungkin boleh mendatangkan kecederaan.


Dail jam ini mempunyai penutup. Kita boleh menukarkan watak Hello Kitty pada penutup itu dengan 3 patung yang berbeza. Jadi, kanak-kanak perlu membuka penutup tersebut untuk melihat masa. Walaupun ia adalah jam asas dan tiada lampu (light) tetapi jam ini turut dilengkapi dengan fungsi tarikh. Ada dua butang pada dail untuk kita menetapkan fungsi (adjust) jam ini.


 

Jam ini merupakan jam buatan China di bawah lesen Clever Time. Terdapat sedikit penerangan ringkas mengenai jam pada bahagian belakang (caseback). Bahagian ini ditutup rapi dengan menggunakan tiga skru. Jam Hello Kitty ini dijual tanpa ada jaminan (waranti). Anda boleh mendapatkan jam ini di kedai jam, pasar raya, kedai alatan permainan atau kedai yang menjual barangan Hello Kitty sekiranya berminat. 
  
*Ujian
Tiada sebarang ujian dilakukan ke atas jam ini. Saya sendiri tidak tahu sama ada jam ini kalis air mahupun tidak.