21 December, 2014

ARLOJI (Siri 5)

Machiko dari Sogo

Sogo (K.L.) Department Store Sdn. Bhd merupakan sebuah gedung membeli-belah terkenal yang telah lama bertapak di Kuala Lumpur.  Lokasi pusat perniagaan ini amat strategik kerana terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran dengan Kompleks Pertama. Sogo telah menyambut ulang tahun ke-20 pada tahun ini. Sogo adalah sebuah syarikat antarabangsa yang berasal dari Jepun.

Sebagai penghargaan kepada pelanggan, Sogo telah mengeluarkan satu siri barangan (edisi khas) atas nama  Chiyo dan Machiko. Chiyo ialah kucing jantan manakala Machiko pula kucing betina. Antara barangan tersebut ialah jam tangan.



Jam ini berbentuk bulat dan menggunakan bateri. Dailnya berwarna putih dan di tengah-tengahnya terdapat gambar Machiko. Cermin jam daripada jenis plastik. Marker pula berwarna silver.   Jam keluaran Sogo ini sesuai untuk golongan remaja atau mereka yang suka bertukar-tukar jam. 


Talinya diperbuat daripada getah lembut dan senang ditanggalkan dari jam. Pada pendapat saya, jam ini hanyalah souvenir sahaja.


*Ujian
Tiada sebarang ujian dilakukan ke atas jam ini. Saya sendiri tidak tahu sama ada jam ini kalis air mahupun tidak.

ARLOJI (Siri 4)

Hello Kitty (Mix & Match Watch)

Hello Kitty adalah satu brand yang tidak asing bagi kita. Jenama ini dilahirkan oleh Syarikat Sanrio sejak tahun 1974 lagi iaitu 40 tahun yang lepas. Satu perkara yang agak memeranjatkan saya ialah Hello Kitty berasal dari Jepun bukannya Eropah. Sanrio Ikuko Shimizu ialah orang pertama yang bertanggungjawab mereka cipta watak ini.

Hello Kitty ialah seekor kucing betina yang berwarna putih. Kucing comel ini memakai reben/bow-tie pada telinga kiri,  mempunyai mata dan hidung tetapi tiada mulut. Kucing ini selalunya dipadankan dengan pakaian atau aksesori berwarna lembut yang menarik misalnya merah jambu (pink).  Pada awal kemunculannya Hello Kitty hanya mengeluarkan produk berupa dompet wang sahaja. Namun, ia terus berkembang dari semasa ke semasa sehinggalah sekarang pelbagai barangan yang menggunakan tanda niaganya telah dihasilkan. Antaranya ialah jam.


Keseluruhan jam ini diperbuat daripada plastik. Hanya bahagian-bahagian tertentu sahaja menggunakan logam. Jam ini dibungkus untuk pasaran dengan plastik keras lut sinar bukannya kotak. Di dalamnya terdapat panduan ringkas berkaitan tatacara penggunaan. Jam ini merupakan jam digital  dan dijana oleh bateri. Talinya pula senang untuk dilaraskan (adjustable strap) dengan pergelangan tangan kanak-kanak.

  
  
Jam ini mempunyai warna yang menarik. Ia amat sesuai untuk kanak-kanak yang berumur antara 3 hingga 5 tahun. Bagi kanak-kanak yang berumur 3 tahun ke bawah, saya menasihatkan kepada para ibu bapa agar tidak memakaikan mereka dengan sebarang jenis jam. Ini kerana mereka sebenarnya belum dapat menghargai jam tersebut dan mungkin boleh mendatangkan kecederaan.


Dail jam ini mempunyai penutup. Kita boleh menukarkan watak Hello Kitty pada penutup itu dengan 3 patung yang berbeza. Jadi, kanak-kanak perlu membuka penutup tersebut untuk melihat masa. Walaupun ia adalah jam asas dan tiada lampu (light) tetapi jam ini turut dilengkapi dengan fungsi tarikh. Ada dua butang pada dail untuk kita menetapkan fungsi (adjust) jam ini.


 

Jam ini merupakan jam buatan China di bawah lesen Clever Time. Terdapat sedikit penerangan ringkas mengenai jam pada bahagian belakang (caseback). Bahagian ini ditutup rapi dengan menggunakan tiga skru. Jam Hello Kitty ini dijual tanpa ada jaminan (waranti). Anda boleh mendapatkan jam ini di kedai jam, pasar raya, kedai alatan permainan atau kedai yang menjual barangan Hello Kitty sekiranya berminat. 
  
*Ujian
Tiada sebarang ujian dilakukan ke atas jam ini. Saya sendiri tidak tahu sama ada jam ini kalis air mahupun tidak.

20 December, 2014

ARLOJI (Siri 3)

Panduan sebelum membeli/memiliki sebuah jam

Terdapat beberapa perkara yang perlu kita pertimbangkan sebelum membeli seutas jam. Hal ini kerana jam tangan merupakan teman sejati kita yang akan ke mana-mana sahaja bersama tuannya. Antara pertimbangan itu ialah:

1.  Jenis jam.
Kenal pasti terlebih dahulu jenis jam yang diingini sama ada analog, digital atau analog-digital. Setiap jenis jam ini mempunyai keistimewaannya tertentu contohnya, kita boleh mengagak waktu dengan melihat sekali imbas sahaja dengan menggunakan jam analog (jam berjarum). Jam digital pula selalunya mempunyai penggera (alarm) yang mana fungsi ini tidak terdapat pada jam analog. Jika anda mahukan kedua-dua fungsi analog dan digital sekali maka pilihlah jam analog-digital.

2.  Bahan.
Bahan yang digunakan untuk membuat jam amat mustahak untuk kita pastikan semasa membuat pilihan. Ini kerana jam yang dipakai seharusnya sesuai dengan gaya hidup dan pekerjaan anda. Jika anda seorang yang selalu melakukan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas dan hujan adalah tidak elok untuk mengenakan seutas jam tangan bertali kulit di lengan anda berbanding seorang eksekutif yang bekerja di pejabat.

3.  Reka bentuk/model.
Selain itu, reka bentuk atau model turut memainkan peranan dalam pemilihan seutas jam. Jam sebenarnya mempunyai gaya atau versi yang pelbagai. Antaranya:

Aviation.
Jam yang dibuat untuk ahli atau mereka yang terlibat dalam industri penerbangan. Contoh jenama jam popular bercirikan aviation ialah Junkers dari Jerman.
Classic.
Jam ini boleh dikenali melalui kemasan ringkas pada dail dan menggunakan cermin cembung. Jam seperti ini berstail lama yang masih diulang pengeluarannya kerana masih mempunyai permintaan di pasaran. Jam yang bersifat evergreen iaitu sesuai sepanjang zaman.
Chronograph.
Jam yang memaparkan banyak meter pada dailnya.
Dress.
Jam tangan biasa untuk kegunaan seharian dan berfesyen.
Diver.
Jam khas untuk para penyelam dan peminat aktiviti air. Selalunya jam jenis diver mempunyai tahap kalis air pada kedalaman 200 meter dan ke atas serta bezel yang boleh diputar (jam analog) uintuk menentukan tempoh masa seseorang itu berada di dalam air. Ada juga jam jenis ini  menggunakan gas helium dan berstandard ISO (International Organization for Standardization). Antara jam diver yang terkenal ialah Seiko Orange Monster, Omega Seamaster dan Rolex Submariner.
Military.
Jam ala tentera. Pada kebiasaannya, jam jenis askar ini ada mempunyai unsur penyamaran (camouflage) atau berangka numeric 24 jam.
Sport.
Jam yang digunakan untuk kegiatan bersukan. Jam yang dikategorikan sebagai sport ini dilengkapi fungsi stopwatch (jam digital) atau tachymeter (jam analog) untuk mengira masa.
4.  Keupayaan jam.
Sebelum melakukan pembelian, kita juga sepatutnya mengetahui serba sedikit tentang keupayaan jam yang ingin dipilih. Perkara ini boleh diketahui melalui pembacaan (Google atau buku manual), rakan, jurujual di kedai jam atau dengan melihat sendiri jam tersebut. Saya selalunya memastikan beberapa perkara dalam menentukan keupayaan sesebuah jam iaitu:
  • Bahan 
  • Jenis cermin (crystal).
  • Tali jam (band/bracelet).
  • Tahap kalis air (water resistance).
  • Ketepatan masa (accurate time).
  • Teknologi/Fungsi lain.
5.  Harga.
Faktor harga adalah perkara penting dalam pembelian sesebuah jam. Kita sepatutnya mendapatkan jam yang mampu dimiliki mengikut kedudukan kewangan sendiri. Buatlah perbandingan harga di antara beberapa buah kedai sebelum membuat keputusan. Ini kerana setiap kedai menawarkan harga dan diskaun yang berlainan. Untuk pengetahuan semua, harga jam ditentukan melalui dua kaedah iaitu  harga yang dicadangkan pengilang (retail suggested price/RSP) dan pekedai. Manakala potongan harganya pula ialah sekitar 10% hingga 20%. Sebagai peringatan, diskaun atau potongan harga untuk sesebuah jam adalah sepanjang tahun bukannya untuk tempoh tertentu. Jika anda memperolehi harga yang lebih murah daripada yang saya jelaskan di atas ia adalah satu bonus atau berkemungkinan anda telah:
  • Kenal rapat dengan taukenya.
  • Terbeli jam baru yang lama tidak terjual (new old stock/NOS). 
  • Membeli jam tanpa melalui agen sah (authorised dealer).
  • Tauke mahu menutup kedai/perniagaan.
  • Lebih parah, anda tertipu dengan jam tiruan (fake).
(Sebelum membuat pembayaran, lakukan tawar-menawar terlebih dahulu kerana mungkin anda akan diberi sedikit lagi diskaun menggenapkan harga)

6.  Pilihan hati
Perkara terakhir yang perlu anda fikirkan ialah belilah jam yang benar-benar memuaskan hati sendiri. Jangan terlalu terpengaruh dengan trend semasa atau pujukan salesman kedai jam. Carilah sebanyak mungkin info mengenai jam yang diminati sebelum membuat sebarang keputusan muktamad. Selain itu, terserahlah kepada diri sendiri kerana andalah yang membayarnya.        

Cara penjagaan jam

Ramai di antara kita mempunyai sekurang-kurangnya seutas jam tangan. Namun begitu, kadangkala kita alpa dan tidak tahu bagaimana untuk menjaganya agar kekal "anggun" dan tahan lama. Di sini saya kongsikan sedikit pengetahuan tentang cara maintenance sesebuah jam.
  1. Pakailah jam dengan cermat. Elakkan daripada bergesel dengan sesuatu kerana kesan goresan terutamanya pada cermin akan mencacatkan/menyakitkan pandangan mata.
  2. Jam tangan tidak boleh terjatuh dari tempat yang tinggi kecuali Casio G-Shock dan seumpamanya. Jadi, berhati-hatilah semasa anda memakai dan menanggalkannya dari pergelangan tangan.
  3. Jauhi daripada air. Tanggalkan jam sewaktu membasuh tangan atau mandi. Ini kerana kebanyakkan jam sebenarnya "takutkan" air kecuali jam diver.
  4. Jangan dedahkan jam pada suhu melampau (panas/sejuk).
  5. Hindari daripada terkena sebarang jenis minyak dan bahan kimia (chemical) misalnya minyak masak, sabun dan peluntur.
  6. Elakkan memakai/menyimpan jam di tempat yang mempunyai medan magnet.
  7. Jangan memakai jam sewaktu tidur.
  8. Bersihkan jam apabila kotor. Lapkan jam tersebut menggunakan kain kering yang lembut. Jika anda membeli jam berjenama (mahal), satu kain khas disertakan di dalam kotak bersama jam untuk tujuan ini.
  9. Simpan jam di tempat yang selamat jika tidak digunakan. Jangan letakkan jam di merata-rata tempat kerana dibimbangi kita sendiri terlupa apabila ingin memakainya. Sebaik-baiknya jam disimpan di dalam kotak bertutup untuk mengelakkan debu atau habuk. Terdapat kotak khas yang dijual di kedai jam namun harganya agak tinggi. Saya mencadangkan supaya gunakan sahaja sebarang kotak atau bekas yang telah ada di rumah contohnya kotak kasut. Bungkus setiap jam yang disimpan bagi mengelakkannya daripada tercalar. Selain daripada menjimatkan belanja, pencuri juga tidak menyangka bahawa ada barang berharga di dalamnya. 
  10. Sekiranya bateri jam telah habis tukarkan dengan yang baru seberapa segera. Bateri lama mungkin akan menyebabkan karat.
  11. Dapatkan khidmat profesional apabila jam anda mengalami masalah. Hantarkan jam anda ke pusat servis (service centre) yang bertauliah. Gunakan alat ganti yang original walaupun harganya mahal. Jangan sesekali membuka caseback jam anda sendiri jika tidak arif tentangnya.

15 November, 2014

ARLOJI (Siri 2)

Jenis-jenis jam tangan

Jam tangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

Analog.
Jam yang menggunakan jarum (hand) sebagai penunjuk masa.

Analog-Digital.
Jam yang menggunakan kaedah jarum dan digit/nombor untuk menentukan waktu.

Digital.
Jam yang memaparkan masa menggunakan digit/nombor dan text tanpa jarum.

Teknologi jam tangan

Kerangka jam

Kerangka jam dikenali sebagai case. Case jam biasanya berbentuk bulat dan empat segi. Setiap kerangka jam mempunyai ukuran diameter, ketebalan dan berat yang berbeza. Bahan yang digunakan untuk membuat case juga tidak sama. Stainless steel, plastik atau resin adalah antara bahan yang popular untuk kerangka jam. Bahagian atas case ditutupi dengan cermin manakala pada bahagian bawahnya mempunyai cover (penutup belakang).

Enjin  jam

Enjin (movement) merupakan satu elemen penting kepada sesebuah jam. Jam yang mempunyai enjin yang baik akan tahan lama dan menyukat waktu dengan lebih tepat. Antara pengeluar enjin jam yang terkenal ialah Miyota (Jepun) dan ETA (Swiss). Kebanyakan jenama jam menggunakan enjin daripada kedua-dua pengeluar ini. Namun begitu, ada juga syarikat jam yang mengeluarkan movement sendiri untuk dipasang pada produk mereka contohnya Rolex. Di dalam sebuah jam, enjin berada pada bahagian belakang dail. Pada kebiasaannya, ia tidak kelihatan kerana ditutup kemas dengan cover belakang. Akan tetapi, terdapat juga beberapa jam yang sengaja mempamerkan enjinnya seperti Seiko 5 dan Orient Open Heart. Enjin jam pada dasarnya mempunyai dua jenis iaitu mekanikal/automatic dan quartz. Kekuatan dan kehebatan enjin jam automatic diukur pada  jewels dan getaran per jam (hour per vibrations). Cara paling mudah untuk mengenali jam sama ada ia automatic atau quartz adalah dengan melihat tulisan (automatic/quartz) yang tertera pada dail. Selain itu, kita juga dapat mengetahuinya melalui cara pergerakan jarum saat (hand second). Jarum saat jam mekanikal akan bergerak seolah-olah terketar-ketar manakala jarum saat jam quartz pula bergerak secara "jalan-henti-jalan".

Sumber kuasa

Enjin jam memerlukan tenaga atau sumber kuasa untuk menjalankannya. Antara sumber kuasa yang digunakan untuk jam tangan ialah:

Automatic (tanpa bateri)
  • Para pengumpul (collector) jam amat menggemari jam jenis ini. Teknologi ini sudah sekian lama digunakan dan masih kekal hingga ke hari ini.
  • Terdapat dua cara jam automatic ini beroperasi iaitu secara self-winding dan hand-winding.
  • Self-winding bermaksud jam tersebut berfungsi sendiri apabila dipakai. Sekiranya jam ini "mati" maka pemakai perlu memperbetulkan masa (jarum jam) mengikut waktu semasa dan menggoyangkannya sedikit untuk membantu jarum jam bergerak.
  • Hand-winding/manual winding pula dikenali sebagai jam kunci. Pemilik jam ini perlu mengunci jam dengan cara memutarkan crown untuk mendapatkan sumber kuasa.
  • Jam jenis ini mempunyai kuasa simpanan (power reserve). Sekiranya ia tidak dipakai untuk tempoh tertentu jam ini akan bertukar daripada automatic kepada "automati".                    
Bateri
  • Digunakan pada jam quartz. Sebelum ini, bateri jam tangan hanya dapat bertahan untuk satu tahun sahaja. Tetapi dengan perubahan teknologi ia  menjadi lebih tahan lama sehingga mencapai 10 tahun.
  • Pada masa sekarang, bateri daripada jenis lithium telah banyak digunapakai untuk jam tangan. 
Solar
  • Menggunakan cahaya matahari atau lampu untuk menjana tenaga.
  • Masih menggunakan bateri untuk menyimpan tenaga/kuasa yang dikumpulkan.
  • Baterinya amat tahan dan tidak perlu ditukar (tahan lama).
Kinetik
  • Gabungan teknologi automatik dan quartz.
  • Menggunakan kaedah pergerakan untuk mengumpulkan tenaga.
  • Mempunyai kapasitor (capacitor) untuk menyimpan tenaga/kuasa yang dikumpulkan.
  • Kuasa simpanannya lebih tahan lama berbanding automatic.
Cermin

Cermin (crystal) berfungsi sebagai tingkap untuk kita melihat masa pada dail.  Cermin jam ada yang berbentuk rata, cembung dan bersegi. Tahap ketebalan dan kekuatan cermin juga berbeza. Saya membahagikan cermin  jam kepada dua:

Plastik (acrylic)
  • Cermin jenis ini biasanya dipasang pada jam tangan berharga rendah. Namun begitu, ada juga pengeluar jam berjenama menggunakan cermin ini untuk produk mereka  (model lama).
  • Mudah tercalar apabila bergesel dengan sesuatu.
Kaca (glass)
  • Terdapat dua jenis cermin kaca yang sering digunakan oleh watchmaker iaitu sapphire glass (kalis calar) dan mineral glass.
  • Sapphire glass sangat popular untuk jam tangan bernilai tinggi manakala mineral glass pula banyak digunakan untuk jam kelas pertengahan.
Kalis air

Boleh dikatakan semua jam yang dijual sekarang dilengkapi ciri kalis air (water resist). Tahap kedalaman kalis air jam tangan disukat menggunakan ukuran kaki, meter, BAR atau ATM. Jam tangan khas untuk penyelam (diver) mempunyai tahap ketahanan kalis air paling tinggi iaitu antara 200m hingga 1000m (setakat pengetahuan saya).

Terdapat dua tempat pada jam tangan yang senang dimasuki oleh air iaitu pada bahagian sambungan di antara case dan cover belakang dan di antara case dan crown. Bagi mengatasi masalah ini kita hendaklah memastikan getah pelapiknya sentiasa berkeadaan baik. Jika menukar bateri jam seelok-eloknya kita juga menukar getah (gasket) tersebut. Selain itu, elakkan daripada menarik/memutarkan crown semasa berkeadaan basah.

Teknologi lain

Selain daripada  menunjukkan waktu, jam tangan turut dilengkapi dengan teknologi atau kegunaan yang lain misalnya:
  1. Kompas
  2. Termometer
  3. Moon Phase
  4. Altimeter
  5. Barometer
  6. Wave Ceptor/Atomic Timekeeping (ketepatan masa)
  7. Bluetooth
  8. Global Positioning System (GPS)
Waranti

Waranti (warranty certificate) merupakan satu jaminan terhadap produk yang dijual kepada pengguna. Jaminan ini mempunyai tempoh  dan terhad kepada peralatan atau barangan (spare part) tertentu sahaja. Setakat pemerhatian saya, tempoh jaminan sesebuah jam ialah antara 1 hingga 5 tahun. Bukti jaminan yang diberikan adalah berbentuk kad/sijil yang disertakan ketika membeli jam.

Terdapat dua jenis jaminan yang biasa kita perolehi apabila membeli jam iaitu jaminan penjual/pengedar dan jaminan pengeluar. Waranti penjual/pengedar ini bersifat terhad/tempatan berbanding jaminan pengeluar yang bersifat global  (international warranty).

05 November, 2014

ARLOJI (Siri 1)

Pengenalan tentang jam

Jam amat penting dalam kehidupan manusia. Selain untuk menentukan waktu, jam juga digunakan sebagai aksesori, simbol status dan pelaburan. Saya mencintai jam kerana beberapa sebab. Antaranya ialah  keperluan, hobi, bahan, reka bentuk dan teknologi  yang digunakan, kesenian pada sesebuah jam dan sebagai aset. Namun begitu, tidak semua jam yang dipaparkan dalam artikel siri ARLOJI ini kepunyaan sendiri.

Sebagai peminat horologi, saya mengagumi semua jenis jam (jam tangan, jam saku, jam loceng, jam dinding) tanpa mengira sama ada jam itu tulen  ataupun tiruan. Apa yang penting jam itu mampu mengukur waktu. Melalui  siri ini, saya akan kongsikan sedikit pengetahuan yang diperolehi daripada pemerhatian, pembacaan, pengalaman sendiri dan orang yang terdekat.

Struktur asas jam tangan

Secara umumnya, jam tangan terdiri daripada dua bahagian iaitu jam dan tali. Kebiasaannya, kita tidak mengambil peduli tentang jam yang dipakai. Kita hanya memilih jam yang "cantik" sahaja tanpa mengambil kira perkara lain yang terdapat pada jam tersebut.

Di sini, saya ingin kongsikan serba sedikit anatomi asas seutas jam tangan.


Terdapat pelbagai tali jam di pasaran. Kepelbagaian ini dapat dilihat dari segi warna, saiz, rupa bentuk dan bahan yang digunakan. Saya mengklasifikasikan tali jam kepada lima iaitu:
  1. Logam (bracelet) - stainless steel (solid/tidak solid), titanium
  2. Plastik/Getah (rubber strap) - resin, silikon, carbon fibre
  3. Kulit (leather strap) - biasa, tahan lasak
  4. Kanvas - nylon, zulu, nato
  5. Ceramic.

01 May, 2014

Keindahan Bahasa

Salam hormat.....

Bahasa adalah anugerah Allah yang amat bernilai dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa manusia dapat  menyatakan pendapat, berkongsi perasaan, pengalaman dan berhubung antara satu sama lain. Namun begitu, dewasa ini kita melihat ramai pengguna bahasa tidak peka akan kepentingan tersebut.

Bahasa digunakan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan hukum tatabahasa yang betul. Ramai di kalangan kita mempelajari bahasa secara tidak fokus atau secara ikut-ikutan sahaja. Bahasa yang betul dan tepat mempunyai kaedah dan formulanya yang tersendiri. Kita boleh mempelajari bahasa secara formal melalui institusi tertentu, merujuk buku panduan yang dipercayai kesahihannya atau berguru dengan orang yang lebih arif (munsyi). Dengan cara sedemikian, kita akan dapat memperbaiki dan menambah pengetahuan berkaitan bahasa yang kita pakai selama ini seterusnya menonjolkan keindahan bahasa itu sendiri.

Bahasa sepatutnya digunakan untuk tujuan berfaedah iaitu membawa kebaikan kepada seluruh umat manusia.  Penutur perlu menggunakan bahasa dengan cermat dan berhemah agar bicara yang diucapkan itu tidak menyinggung perasaan atau menimbulkan rasa kurang senang orang lain. Gunakan akal budi sebelum meluahkan sesuatu perkara. Amalan ini secara tidak langsung akan mewujudkan sebuah masyarakat yang saling menghormati dan harmoni.

Usahlah menggunakan anugerah tuhan ini untuk perkara sia-sia seperti menabur fitnah, hasad dengki dan pertengkaran. Hal ini tidak membawa sebarang kebaikan malah membawa balasan buruk untuk kita di akhirat kelak.

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

17 December, 2012

Bicara Akhir Tahun 2012

Sepanjang tahun 2012, penulis agak menyepikan diri daripada menghasilkan sebarang komentar atau ulasan untuk tatapan semua. Apabila difikirkan semula, rasanya agak kurang adil  kerana sepanjang tempoh ini banyak perkara yang telah berlaku dan berlalu begitu sahaja.

Pada kali ini, penulis berasa ingin sekali mengajak audien berbicara mengenai sikap dan tabiat manusia. Tingkah laku dan perangai manusia sememangnya terlalu kompleks dan ternyata sukar untuk difahami. Hal ini bergantung kepada kefahaman individu tersebut dan cara seseorang itu menjalani kehidupan.

Setiap orang mempunyai hala tuju kehidupan yang tersendiri. Namun begitu, secara umumnya dapatlah disimpulkan bahawa semua mengimpikan kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Cara seseorang mencorakkan kehidupan seharian dipengaruhi oleh diri sendiri, keluarga, masyarakat dan persekitaran. Kesemua faktor ini memainkan peranan penting apabila individu tersebut membuat sebarang keputusan. Hasil keputusan yang diambil kadang kala dilihat sangat tepat dan sesuai dengan kehendak semasa tetapi agak merugikan untuk tempoh jangka panjang.

Oleh itu, cubalah berfikir di luar kotak. Berfikirlah sejelas-jelasnya sebelum mengambil sebarang keputusan. Ini kerana dalam mengharungi liku-liku kehidupan banyak cabaran dan dugaan yang akan ditempuhi. Kejayaan seseorang bergantung kepada nilai yang ada pada dirinya, kerja keras, ketabahan dan fokus kepada apa yang diingini.

Jangan sesekali berhasad dengki dengan kejayaan orang lain. Contohi kesabaran dan pengorbanan mereka dalam menggapai kejayaan. Pelajari ilmu kehidupan mereka agar kita juga menjadi sepertinya. Selain itu, berserahlah kepada Allah.....

"Benih yang disemai hari ini bukanlah untuk dituai esok tetapi mungkin generasi kita seterusnya yang mendapat manfaat"