30 January, 2017

ARLOJI (Siri 48)

Aku dan Jam (Bahagian 3)

Seiko
Untuk entri pada kali ini saya akan membuat ulasan tentang salah satu jenama jam iaitu Seiko. Diharapkan pandangan saya akan dapat memberikan gambaran asas kepada semua pembaca berkaitan jenama unggul ini. Komen yang dibuat oleh saya hanyalah berlandaskan sedikit pengalaman, pembacaan, dan pemerhatian. Jam-jam terlibat pula hanyalah untuk golongan middle class ke bawah sahaja. Bukannya bagi jam bertaraf high end Seiko.


Seperti kita sedia maklum,  Seiko merupakan satu nama besar yang berasal dari Jepun. Jenama ini mempunyai sejarah yang panjang bermula tahun 1881 dan masih kekal hingga sekarang.

Maksud sebenar nama Seiko tidaklah dapat saya pastikan. Namun ada yang menyatakan bahawa Seiko dalam bahasa Jepun ialah success atau exquisite.

Seiko Holdings Corporation beribu pejabat di Tokyo, Jepun. Slogan yang dibawa oleh mereka ialah "Moving ahead. Touching hearts". Syarikat ini mengeluarkan pelbagai produk antaranya electronic devices, systems solutions dan sebagainya. Namun begitu, core business mereka ialah jam.

Jam buatan Seiko amat terkenal di seluruh dunia. Walaupun berasal dari Timur namun ia tetap disegani oleh watchmaker lain termasuklah dari Swiss.  Jam-jam keluaran Seiko adalah setanding atau melebihi daripada jam yang bertaraf "Swiss made". Mutu serta kualiti jam Seiko adalah baik dan tidak perlu dipertikaikan. Jadi, kita tidak patut malu untuk memakai jam berjenama ini.

Saya berpendapat, kelebihan utama Seiko terletak pada jenamanya. Jenama ini sudah lama bertapak di pasaran kita ketika zaman nenek moyang lagi. Perusahaan ini telah mampu bertahan lebih daripada 100 tahun iaitu sejak 1924. Sebelum itu, ia dikenali sebagai Seikosha dan Laurel. Antara brand lain yang bernaung di bawah jenama ini ialah Alba, Lorus, Pulsar dan Orient.

Selain itu, kelebihan kedua yang dimiliki oleh Seiko adalah enjinnya. Semua movement jam Seiko dibuat sendiri (in house) dan tidak bergantung kepada orang lain. Setahu saya, kebanyakan enjin jam mereka dikeluarkan oleh Seiko Time Corporation. Manakala pemasangan jam pula disiapkan di Jepun atau di Malaysia/Singapura.

Kepelbagaian produk jam turut menyumbang untuk menaikkan jenama Seiko. Jam Seiko terdiri daripada berbagai-bagai kategori misalnya Grand Seiko (GS), Astron, Prospex, Premier dan lain-lain. Antara model popular keluaran mereka ialah Seiko diver (keluarga Prospex). Ia mempunyai peminat tegar malah jam diver second hand pun tetap bernilai dan diburu oleh ramai collector. Kepelbagaian produk yang dihasilkan telah membolehkan semua golongan mampu memiliki jam berjenama ini tanpa mengira kaya atau orang kebanyakan. Jam Seiko boleh dibeli di mana-mana bermula harga ratusan hingga ribuan ringgit. Contoh jam berharga rendah buatan syarikat ini ialah siri Seiko 5 manakala yang mahal pula ialah Grand Seiko. Cuma, mungkin sesetengah orang masih berpersepsi Seiko adalah jenama murahan dan biasa-biasa sahaja. Bagi mereka, apa yang datang dari Barat (Swiss) adalah yang terbaik.

Seiko turut cemerlang dan tidak ketinggalan dalam aspek penggunaan teknologi. Pelbagai teknologi dipasangkan pada jam mereka seperti automatic, quartz, digital, kinetic, solar dan sebagainya. Setahu saya teknologi terkini yang dihasilkan mereka ialah Spring Drive. Apa yang saya perkatakan ini hanyalah melibatkan enjin sebagai contoh dan tidak termasuklah teknologi tambahan lain lagi.

Seiko solar

Seiko quartz (battery)

Seterusnya ialah tentang ketahanan dan kelasakan produk. Jam-jam buatan syarikat ini terbukti tahan lama dan lasak. Bahan-bahan yang digunakan untuk pembuatan jam bermutu dan terpilih. Sebagai contoh, bagi jam berharga rendah mereka menggunakan stainless steel dan kaca hardlex crystal.  Ini menjadikan jam mereka masih utuh walaupun terdapat kesan goresan atau calar- balar di sana sini.

Seiko chronograph (battery)

Satu lagi kelebihan produk Seiko berbanding jenama lain ialah kecerahan luminous pada jarum dan marker jam. Luminous jam Seiko adalah lebih terang dan tahan lama.

Namun begitu, seperti kita sedia ketahui di sebalik kelebihan akan ada juga kekurangan pada jenama gah ini.  Pertama, saya melihat dari faktor harga. Jika diamati, jam-jam Seiko berharga lebih tinggi berbanding jenama lain yang sama tarafnya. Kadang-kadang kita boleh membeli jam yang mempunyai specs sama atau hampir sama dengan lebih murah jika ia berjenama lain.

Selain itu, design jam Seiko agak old fashion berbeza dengan kehendak dan keperluan zaman sekarang. Saya menyatakan sedemikian kerana pada zaman moden ini kebanyakan orang terutamanya anak muda lebih pentingkan gaya berbanding perkara lain. Maka, jadilah apa yang dikatakan bahawa Seiko hanya sesuai untuk golongan pertengahan umur dan orang tua sahaja.

Dari sudut waranti jam pula, Seiko biasanya memberikan jaminan selama setahun sahaja. Keadaan ini berbeza dengan jenama pesaing yang kadangkala memberikan tempoh tersebut lebih lama. Jam dari Swiss selalunya mempunyai warranty selama 2 tahun.


Kesimpulannya, semua yang ditulis di atas merupakan pendapat peribadi saya tentang Seiko. Selebihnya terpulanglah kepada sidang pembaca kerana setiap orang mempunyai citarasa masing-masing. Bak kata pepatah Melayu "Tepuk dada tanya selera".

15 January, 2017

ARLOJI (47)

Tanda Mata Daripada Cadbury

Jam loceng ini berusia sekitar 10 tahun. Rupa bentuknya bulat, kecil dan diperbuat daripada plastic.


Keseluruhan jam berwarna 'trademark' Cadbury iaitu ungu (purple).


Bahagian belakang jam terdapat 'butang' dan dua 'roda' (black colour) untuk menetapkan fungsi jam. Namun sayangnya 'roda' hitam tersebut sudah tertanggal dan telah hilang.


Jam berciri analog quartz ini dihidupkan menggunakan sebiji bateri bersaiz AA.


Ia cantik dan sesuai diletakkan di atas meja bacaan.



01 January, 2017

Selamat Tahun Baru 2017


Alhamdulillah......

Segala puji dan syukur hanya kepada Allah. Bersempena tahun baru 2017, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada para pengunjung blog ini kerana sudi meluangkan masa melihat serta membaca hasil tulisan yang dipaparkan. Saya meminta maaf jika ada sebarang kesilapan atau salah maklumat berkenaan artikel yang telah diterbitkan.

Semoga apa yang saya coretkan menerusi blog ini membawa manfaat kepada semua.

30 December, 2016

ARLOJI (46)

Timex T5K243

Timex Group USA, Inc. merupakan sebuah syarikat pengeluar jam dari Amerika Syarikat. Company ini telah beroperasi sejak sekian lama iaitu lebih 160 tahun.



Jam digital yang diperkenalkan untuk kali ini berbentuk bulat dan bersaiz kecil. Dail jam berwarna grey dengan paparan nombor besar dan jelas. Hadapan case pula biru dan bahagian tepinya hitam. Cermin jam daripada kaca mineral.

Model T5K243 khusus untuk kaum wanita. Produk buatan China ini turut dikenali sebagai Timex 1440 sports. Ia adalah seutas jam ringkas yang dilengkapi beberapa fungsi asas antaranya jam, tarikh, penggera serta lampu.


Terdapat 4 butang settings pada jam iaitu mod, INDIGLO®, start/stop dan adjust.



Tahap kalis air jam ialah 50 meter. Jam dihidupkan menggunakan bateri CR1620.


Perbezaan jam-jam Timex dengan jam berjenama lain ialah mereka menggunapakai lampu INDIGLO®. Lampu untuk penglihatan malam ini cahayanya terang dan mampu bertahan selama 3 hingga 4 saat  jika ditekan fungsinya.



Tali (band) jam daripada resin dan buckle jenis stainless steel. Tali ini agak istimewa kerana "gelang getah"nya tidak mudah menggelongsor ketika dipakai. Ini akan menjadikan pemakaian jam tampak kemas tanpa lebihan tali.


Jam Timex yang masyhur pada pendapat saya ialah siri Ironman. Jam Timex Ironman biasanya digunakan oleh atlet sukan triathlon. Selain itu, terdapat juga koleksi lain keluaran mereka antaranya expedition, weekender, intelligent quartz dan sebagainya.

Produk ini dibeli secara dalam talian daripada pengedar sahnya di Malaysia. Ia mendapat jaminan antarabangsa selama setahun (1-year international warranty).

15 December, 2016

ARLOJI (45)

Beg Jam

Sebagai peminat dunia horologi, saya tidak terkecuali untuk menyimpan segala item berkaitan jam termasuklah beg, kotak, tali tag, buku manual, kad warranty (wajib), risalah dan lain-lain. Perkara ini mungkin dipandangkan remeh bagi orang lain tetapi tidak kepada saya.

Di sini saya paparkan beg-beg jam yang pernah ada dalam simpanan saya iaitu:

Sudut pandangan hadapan

Sudut pandangan belakang








Beg-beg ini diperolehi dari kedai atau butik semasa pembelian. Ia tidak terhad kepada jenis kertas sahaja malah ada yang berunsurkan kain (shopping bag). Saiz dan mutu bahan untuk pembuatan beg juga berbeza.



Beg jam terbesar dalam simpanan

Akan tetapi, ada juga beg yang sudah tiada atau telah dibuang. Saya melihat beg-beg ini terdiri daripada dua jenis iaitu beg yang menggunakan jenama jam dan beg yang dicetak nama kedai (lihat gambar di bawah).



Sekarang, perkembangan technology Internet menyebabkan penggunaan beg seperti di atas semakin berkurangan. Barangan yang dibeli secara atas talian dibungkus dengan plastik courier atau kotak keras berwarna coklat sahaja.



Oleh itu, jika inginkan beg jam kita hendaklah membuat pembelian terus di authorised dealer outlets. Artikel ini ditulis hanya sebagai rekod.

30 November, 2016

ARLOJI (Siri 44)

Jam Dinding Seiko QXA578T

Seiko clock QXA578T ini diperbuat daripada plastik. Bentuknya bulat dan bersaiz sederhana (Ø28.7 x 3.9cm). Berat keseluruhan jam ialah 520g.


Model ini berinjin quartz dan berdetik menggunakan sebiji bateri bersaiz AA.


Permukaan dail jam gelap manakala marker dan jarum cerah bersalut lumibrite. Marker jam kelihatan unik kerana menggunakan sistem nombor arab/jawi berlainan daripada kebiasaan. Jam ini diedar dan dijual untuk pasaran Malaysia.



Saya berpendapat Seiko ini hanya menyerlah jika digantung pada dinding berwarna putih atau lembut sahaja. Dinding gelap dan suasana suram adalah tidak sesuai untuk dipadankan dengan produk ini.


Bahagian caseback keseluruhannya hitam. Jam dibeli dari sebuah kedai pemborong jam yang terletak di Chow Kit, Kuala Lumpur. Tempoh jaminan jam ialah 6 bulan.

15 November, 2016

ARLOJI (Siri 43)

Jam Tiruan

Isu berkaitan jam tiruan sebenarnya sudah lama diperkatakan sejak dahulu hinggalah sekarang. Permasalahan ini sukar dibendung selagi ada penawaran dan permintaan.

Jam tiruan turut dikenali sebagai jam replika. Jam ini mempunyai pelbagai gred dan kadangkala hampir menyerupai yang original. Mereka yang biasa dengan jam juga mungkin boleh tertipu atau menjadi keliru. Namun begitu, apa yang pasti ialah ia merupakan produk palsu dan tidak genuine. Oleh itu, kita sebagai pembeli perlulah mengambil perhatian tentang perkara ini.

Kebiasaannya, jam yang ditiru adalah jam popular dan mendapat permintaan tinggi di pasaran. Para pengeluar jam replika ini tidak hanya meniru jam-jam yang mahal atau berjenama sahaja malah turut menghasilkan produk tiruan bagi jam yang berharga rendah. Contohnya, Casio F-91W turut mengalami masalah yang sama walaupun harganya cuma puluhan ringgit.

Hal ini bukanlah isu jika kita sememangnya telah tahu dan ingin membeli jam tersebut. Cuma apa yang dikesali ialah ada seller tidak berterus terang berkaitan jam jualan mereka kepada pengguna.

Melalui artikel ini saya kongsikan beberapa cara untuk kita mengenali atau membezakan antara jam tiruan dengan tulen. Antaranya ialah:
  1. Semak dan perhatikan jenama serta logo jam itu betul. Jangan pula terbeli jam bernama pelik seperti SEIKO menjadi MEIKO, ROLEX kepada LOLEX dan sebagainya.
  2. Pastikan set atau item-item yang didatangkan bersama jam mencukupi. Jam original umumnya dijual secara set lengkap iaitu kotak, jam, tag, buku/kertas manual dan waranti.
  3. Lihat rupa bentuk jam dengan teliti. Product 'ori' lebih kemas dan terperinci buatannya. Semua tulisan di jam adalah bermakna walaupun bersaiz kecil.
  4. Bahan yang digunakan untuk menghasilkan jam ciplak kurang bermutu dan murah. Walaupun diperbuat daripada besi, warnanya mungkin cepat luntur dan berkarat.
  5. Pegang dan rasai berat jam. Jam ciplak lebih ringan berbanding model asalnya.
  6. Tekan butang-butang yang terdapat pada jam untuk mengetahui fungsinya. Ini kerana sesetengah jam fake hanya meniru button dan subdails tersebut sekadar hiasan sahaja. Selain itu, pastikan juga crown berfungsi.
  7. Jam 'sebenar' disertakan sijil/kad jaminan. Tempoh warranty pula tidak sama bergantung kepada pengilang dan pengedarnya.
  8. Tempat atau cara kita memperolehi jam tersebut juga menentukan keaslian jam. Jam original dijual di kedai atau butik sah (authorized dealer) berbeza dengan jam palsu yang kebanyakannya dijual di merata tempat termasuk di kaki lima dan pasar malam.
  9. Seterusnya, semak harga yang ditawarkan. Harga jam tiruan atau copy lebih murah jika dibandingkan jam tulen.
  10. Kepada orang yang mahir, mereka akan membuka caseback untuk melihat movement bagi mengesahkan perkara ini dalam situasi tertentu.
  11. Pakaikan jam di pergelangan tangan sendiri. Jam asli mempunyai 'aura' (bagi mereka yang memahami sahaja) tetapi tidak bagi jam tiruan.
Maka itu, berhati-hatilah dalam urusan pembelian atau penjualan jam terutamanya menerusi online. Gunakan platform yang selamat dan diyakini sahaja. Jangan sesekali terburu-buru kerana bimbang akan menyesal di kemudian hari. Jika ada sedikit gangguan atau perasaan was-was lebih baik batalkan urusan itu.

Kesimpulannya, kita hendaklah memiliki sedikit info berkenaan jam yang digemari sebelum membelinya. Informasi ini dapat diperolehi dengan pelbagai cara contohnya melalui kawan, bertanya kepada 'Pak Cik Google', 'Mak Cik YouTube' (review jam) dan lain-lain. Apa yang dituliskan ini adalah sekadar perkongsian sahaja. Ia bukanlah cara untuk kita memuktamadkan keaslian sesuatu produk itu.