Jam Tiruan
Isu berkaitan jam tiruan sebenarnya sudah lama diperkatakan sejak dahulu hinggalah sekarang. Permasalahan ini sukar dibendung selagi ada penawaran dan permintaan.
Jam tiruan turut dikenali sebagai jam replika. Jam ini mempunyai pelbagai gred dan kadangkala hampir menyerupai yang original. Mereka yang biasa dengan jam juga mungkin boleh tertipu atau menjadi keliru. Namun begitu, apa yang pasti ialah ia merupakan produk palsu dan tidak genuine. Oleh itu, kita sebagai pembeli perlulah mengambil perhatian tentang perkara ini.
Kebiasaannya, jam yang ditiru adalah jam popular dan mendapat permintaan tinggi di pasaran. Para pengeluar jam replika ini tidak hanya meniru jam-jam yang mahal atau berjenama sahaja malah turut menghasilkan produk tiruan bagi jam yang berharga rendah. Contohnya, Casio F-91W turut mengalami masalah yang sama walaupun harganya cuma puluhan ringgit.
Hal ini bukanlah isu jika kita sememangnya telah tahu dan ingin membeli jam tersebut. Cuma apa yang dikesali ialah ada seller tidak berterus terang berkaitan jam jualan mereka kepada pengguna.
Melalui artikel ini saya kongsikan beberapa cara untuk kita mengenali atau membezakan antara jam tiruan dengan tulen. Antaranya ialah:
- Semak dan perhatikan jenama serta logo jam itu betul. Jangan pula terbeli jam bernama pelik seperti SEIKO menjadi MEIKO, ROLEX kepada LOLEX dan sebagainya.
- Pastikan set atau item-item yang didatangkan bersama jam mencukupi. Jam original umumnya dijual secara set lengkap iaitu kotak, jam, tag, buku/kertas manual dan waranti.
- Lihat rupa bentuk jam dengan teliti. Product 'ori' lebih kemas dan terperinci buatannya. Semua tulisan di jam adalah bermakna walaupun bersaiz kecil.
- Bahan yang digunakan untuk menghasilkan jam ciplak kurang bermutu dan murah. Walaupun diperbuat daripada besi, warnanya mungkin cepat luntur dan berkarat.
- Pegang dan rasai berat jam. Jam ciplak lebih ringan berbanding model asalnya.
- Tekan butang-butang yang terdapat pada jam untuk mengetahui fungsinya. Ini kerana sesetengah jam fake hanya meniru button dan subdails tersebut sekadar hiasan sahaja. Selain itu, pastikan juga crown berfungsi.
- Jam 'sebenar' disertakan sijil/kad jaminan. Tempoh warranty pula tidak sama bergantung kepada pengilang dan pengedarnya.
- Tempat atau cara kita memperolehi jam tersebut juga menentukan keaslian jam. Jam original dijual di kedai atau butik sah (authorized dealer) berbeza dengan jam palsu yang kebanyakannya dijual di merata tempat termasuk di kaki lima dan pasar malam.
- Seterusnya, semak harga yang ditawarkan. Harga jam tiruan atau copy lebih murah jika dibandingkan jam tulen.
- Kepada orang yang mahir, mereka akan membuka caseback untuk melihat movement bagi mengesahkan perkara ini dalam situasi tertentu.
- Pakaikan jam di pergelangan tangan sendiri. Jam asli mempunyai 'aura' (bagi mereka yang memahami sahaja) tetapi tidak bagi jam tiruan.
Maka itu, berhati-hatilah dalam urusan pembelian atau penjualan jam terutamanya menerusi online. Gunakan platform yang selamat dan diyakini sahaja. Jangan sesekali terburu-buru kerana bimbang akan menyesal di kemudian hari. Jika ada sedikit gangguan atau perasaan was-was lebih baik batalkan urusan itu.
Kesimpulannya, kita hendaklah memiliki sedikit info berkenaan jam yang digemari sebelum membelinya. Informasi ini dapat diperolehi dengan pelbagai cara contohnya melalui kawan, bertanya kepada 'Pak Cik Google', 'Mak Cik YouTube' (review jam) dan lain-lain. Apa yang dituliskan ini adalah sekadar perkongsian sahaja. Ia bukanlah cara untuk kita memuktamadkan keaslian sesuatu produk itu.
No comments:
Post a Comment