18 June, 2017

ARLOJI (54)

Aku dan Jam (Bahagian 5)

Rado


Saya adalah peminat setia Rado. Sebutlah apa pun saya tetap menyukai jam berjenama ini terutamanya koleksi Rado Diastar. Minat saya terhadap Rado telah dipupuk sekian lama iaitu ketika dibangku sekolah lagi.

Katalog Rado 2016/2017


Pada waktu itu, sekitar 1990an (jika tidak silap saya) jam berjenama Rado dipakai oleh orang-orang berada (tauke) di kampung. Arwah bapa saya sendiri juga mengenali dan tahu kewujudan jenama ini walaupun tidak pernah memakainya. Bermula detik itulah saya mula memasang angan-angan untuk memilikinya suatu masa nanti. 

Ketika menuntut di universiti arwah bapa dan ibu menghadiahkan seutas jam Rado siri Original berwarna emas kepada saya. Ia merupakan jam tiruan dan warnanya luntur hanya beberapa bulan kemudian. Seingat saya jam tersebut rosak dalam masa setahun. Itulah pengalaman pertama saya 'merasa' Rado. Hadiah itu amat bermakna dan menguatkan azam saya yang sememangnya sukakan jam dari jenama Swiss ini.


Saya meminati Rado Original atas beberapa sebab antaranya ialah:
  1. Rupa bentuk jam dan talinya agak unik dan berbeza daripada yang lain.
  2. Warnanya bersilau, tahan luntur serta goresan dapat dikenali dari jauh lagi.
  3. Cerminnya cembung, bersegi dan tebal tidak seperti kebanyakan jam.
  4. Logo pada dail boleh berputar seperti rotor.
  5. Kedudukan day dan date pada pukul 6.
  6. Dekorasi dail menggunakan batu permata asli.
  7. Clasp boleh diregangkan mengikut pergerakan tangan.
  8. Beratnya sederhana serta selesa dipakai. 
Clasp boleh diregangkan

Sekarang, apabila pulang ke kampung saya melihat sudah ramai orang memakai Rado. Boleh dikatakan semua golongan tanpa mengira lelaki atau perempuan pelbagai peringkat umur sudah mampu mendapatkannya. Mereka ini terdiri daripada tauke, peniaga, penjual, pemandu teksi, pekerja biasa dan orang perseorangan. Apabila ke pekan, pasar minggu, pasar Ramadan hatta pergi membeli ikan pun saya selalu melihat orang memakai jam berjenama ini. Rado Diastar berwarna emas amat popular di tempat kami. Oleh itu, apabila melihat orang yang memakai Rado (Diastar aka Original) di Kuala Lumpur saya dapat mengagak bahawa mereka mungkin orang dari Pantai Timur.

Poskad Rado


Pada saya Rado adalah 'jam' dan perhiasan pelengkap bagi seseorang. Jika seseorang lelaki itu mengenakan 'seketul' Rado pada pergelangan tangannya bersama sebentuk cincin di jari manis sudah cukup untuk kelihatan bergaya walaupun berpakaian biasa-biasa sahaja.  Cuma, janganlah ada perasaan riak atau merasa megah kerana perbuatan itu amat dilarang oleh Allah. Saya juga kurang bersetuju dengan pemakaian Rado berwarna emas oleh kaum lelaki walaupun sememangnya cantik. Saya bukanlah pandai soal hukum namun adalah lebih baik kita elakkannya.



Semasa berkunjung ke salah sebuah butiknya di Kuala Lumpur pada 2013, salesman yang bekerja di situ mengesahkan bahawa Rado mempunyai peminat tersendiri. Antara penggemar jam berjenama Rado ialah penduduk sekitar Pantai Timur (terutama Kelantan dan Terengganu), Sabah dan sebuah negeri yang saya telah lupa namanya. Katanya lagi, di negeri Kelantan terdapat otai-otai Rado yang hebat dalam urusan jual beli jam jenama ini. Semasa kunjungan itu, saya dihadiahkan sebuah buku koleksi jam-jam keluaran Rado berserta sehelai kertas harganya (retail price sheet) sekali. Daripada perbualan singkat bersamanya saya mengakui bahawa beliau seorang yang berpengalaman dan 'tahu' produk yang dijual.

Selain itu, saya sendiri pernah ke service center Rado (Swatch Group Malaysia) di tingkat 22, Wisma Goldhill, Jalan Raja Chulan bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

Kad jaminan

Untuk pengetahuan semua, jika kita membawa jam untuk dibaiki atau diselenggara secara walk-in ke sana adalah lebih cepat berbanding meminta butik/kedai authorised dealer  yang melakukannya. Tempoh masa yang diambil ialah kira-kira sebulan dan kita akan diberitahu melalui telefon sekiranya jam tersebut telah disiapkan.

*Tips
Berdasarkan pengalaman saya, kita sebenarnya boleh mendapatkan khidmat percuma untuk pemotongan, penambahan atau menebuk lubang tali jam dari butik/authorised dealer  (bukan kedai jam) jenama jam yang dipakai. Tiada tempoh masa atau caj dikenakan terhadap pelanggan.   

01 May, 2017

Happy Labour Day


Selamat Hari Buruh dan selamat bercuti.

Kita semua adalah "pekerja" (hamba). Taatilah kepada "tuan" kita iaitu Allah. Manfaatkan ruang dan peluang masa cuti bersama-sama keluarga. Bersyukurlah dengan apa yang ada .....

21 April, 2017

ARLOJI (53)

Casio MQ-71-2BDF


Item yang saya ingin perkenalkan untuk kali ini diperolehi menerusi platform Lazada. Cara pembungkusannya kemas dan tiba dalam masa kira-kira 2 hari sahaja.


Model MQ-71-2BDF bergaya military. Ia bersaiz kecil sangat sesuai bagi kanak-kanak.


Case jam bulat berukuran 35mm. Marker pula menggunakan sistem nombor 24 jam berwarna biru. Jam dalam siri MQ-71 dikeluarkan dengan 3 pilihan warna (marker) iaitu white, blue dan orange.



Jam ini buatan China tetapi berinjin Jepun (Japan movement). 




Dail jam gelap manakala jarumnya bersalut lume cerah pada waktu malam. Ia tiada paparan tarikh atau hari.
                                                                         


Jam analog  3 hands (hour/minutes/second) ini berteknologi quartz. Jangka hayat bateri sekitar 3 tahun. Setakat apa yang saya ketahui, ketahanan battery turut bergantung kepada cara penggunaan jam tersebut. Tahap kalis air 5 ATM.



Tali jam hitam daripada resin. Buckle plastic dan "gelang getah" tertulis perkataan CASIO.



Produk ini dijamin selama 6 bulan (supplier warranty).  MQ-71-2BDF ini menyerupai "abangnya" MW-240-2BV yang bersaiz lebih besar.

31 March, 2017

ARLOJI (52)

Jam Dinding Pentec

Pernahkah anda melihat atau mendengar jam berjenama Pentec?  Saya pasti ramai yang tidak tahu akan kewujudan merk ini termasuklah saya.  Saya menjumpai jam ini ketika bertandang ke rumah salah seorang kakak sewaktu pulang bercuti bersama keluarga. Sebenarnya, ia telah lama tergantung pada dinding rumah itu. Cuma, saya tidak mengambil peduli akannya kecuali untuk menengok masa kerana beranggapan jam ini produk "pasar malam" sahaja. Usia jam seingat saya sudah melebihi 15 tahun.



Secara asasnya model ini berbentuk empat segi, ringkas dan diperbuat menggunakan material plastik. Jam dihidupkan dengan sebiji bateri bersaiz AA.



Tiada apa yang menarik kecuali perkataan MALAYSIA di sudut bawah dail. Saya jarang bertemu dengan jam yang tertera nama negara kita tercinta. Hal ini menimbulkan satu perasaan bersyukur serta bangga  kerana kita mampu mencatat nama dalam bidang yang selalunya dikuasai oleh Jepun, Swiss dan China.



Model ini menggunapakai movement sendiri iaitu Pentec (rujuk gambar di bawah).


Tuntasnya, product ini memberi impak besar kepada saya walaupun hanya sebuah jam. Kita mampu melakukan sesuatu yang dihajati sekiranya tekun berusaha. Malaysia Boleh!

15 March, 2017

ARLOJI (51)

Aku dan Jam (Bahagian 4)

Gelaran kepada Jam
Pada pengamatan saya, kebanyakan jam tangan popular dan mempunyai ramai peminat akan mendapat gelaran yang tertentu. Gelaran atau panggilan ini ada yang diberikan oleh pihak pengilang (termasuk pengedar) dan ada juga daripada para penggemarnya. Saya melihat perkara ini terjadi kerana beberapa sebab. Antaranya ialah :
  1. Nombor model jam sukar disebut dan diingati.
  2. Rupa bentuk jam hampir atau menyerupai apa yang digelarkan.
  3. Kaitan jam dengan sesuatu seperti filem dan sebagainya.
Secara rambang, saya mendapati model-model daripada Seiko adalah yang paling banyak menerima kesannya. Selain jenama Seiko, saya juga akan bicarakan tentang gelaran untuk produk Orient dan Casio.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut sila lihat jadual di bawah.


Maklumat yang diberikan sekadar contoh sahaja. Sebenarnya, banyak lagi gelaran terhadap model dan jenama jam yang tidak saya sebutkan pada ruangan ini.

28 February, 2017

ARLOJI (Siri 50)

Casio IQ-126

Jam dinding ini berbentuk bulat diperbuat daripada bahan plastik. Total weight jam ialah 540 gram dan berukuran 260×260×40 mm.


Bezel berwarna coklat kelihatan sangat menarik seakan-akan kayu sebenar. Dail jam cerah manakala marker bernombor Arabic hitam. Jarum jam dan minit umpama tombak. 


Cerminnya pula berbentuk cembung (buncit). Produk ini bergaya klasik dan kemas buatannya.


Injin jam smooth second hand dihidupkan dengan sebiji bateri bersaiz R6P. Jangka hayat bateri dianggarkan selama setahun. Pada masa sekarang, saya melihat banyak pengeluar jam menggunakan mesin silent untuk dipasangkan pada model buatan mereka.

Hand second jam bergerak lancar (sweep) tanpa mengeluarkan bunyi detikan (tick-tock). Model ini sesuai digantung pada dinding bilik tidur kerana tiada bunyi bising.



Tahap ketepatan jam ialah kira-kira ±20 saat per bulan. Bahagian belakang jam hitam. Case dan movement jam made in China.




Keseluruhannya, jam ini cantik. Ia dibeli di sebuah kedai borong dengan harga yang berpatutan.

*Nota
Pada pemerhatian saya, harga jam sekarang semakin meningkat berikutan kenaikan harga barang, cukai GST dan kadar nilai pertukaran mata wang.

15 February, 2017

ARLOJI (Siri 49)

Invicta Pro Diver 14654

Invicta merupakan salah satu brand dari USA. Company ini beribu pejabat di Florida, Amerika Syarikat. Motto Invicta ialah "Smarter by the Second".


Model 14654 ini berbentuk bulat dan bersaiz "grand" iaitu 54 mm (case). Keseluruhan jam diperbuat daripada stainless steel kecuali cerminnya. Berat jam pula kira-kira  250 gram (berat penuh sebelum pemotongan tali). Oleh itu, bukan semua orang berminat untuk cuba memakainya. Tangan akan berasa lenguh dan kebas jika kita tidak biasa dengan jam-jam bersaiz seperti ini.




Bahagian tepi sebelah kiri kerangka jam terpahat perkataan INVICTA.



Kadar pencahayaan hands dan marker kurang terang di tempat gelap atau pada malam hari.

Saya kurang pasti produk ini buatan negara mana. Namun begitu, ia mungkin dipasang dan disiapkan di Hong Kong atau negara Asia lain. Ini kerana syarikat Invicta turut mempunyai cawangan di bekas tanah jajahan British itu. Movement jam daripada components Swiss ISA (caliber 2331F). Jadi, jam ini bukanlah Swiss made.


Dail jam berwarna hitam. Model analog 3 hands ini menggunakan bateri. Terdapat lambang Invicta pada pangkal jarum saat. Lambang Invicta iaitu sayap burung juga berada pada kedudukan pukul 12 dan disusuli perkataan GRAND DIVER. Bahagian bawah dail pula ada topi selam. Water resistant jam 660 feet bersamaan 200 meter.


Bezel boleh diputar sehala sebanyak 120 klik. Ia berwarna hitam manakala nombor, garis serta titik penanda minit kuning emas.


Cermin jam jenis kaca dan terdapat cyclops (kanta) untuk melihat hari bulan pada kedudukan pukul 3.



Crown jam berlogo topi selam, besar serta senang untuk "digentel" ketika melaraskan masa dan date. Akan tetapi, crown jam ini jenis push sahaja bukan screw down crown. Crown dilindungi oleh crown guards.


Caseback ringkas dengan sedikit maklumat tentang jam. Pada bahagian ini turut terdapat lambang topi selam.



Bracelet jam bertanda INVICTA pada setiap kepingan tengah rantai dan clasp. Di bahagian clasp juga terdapat logo jenama ini. Jam ini mempunyai safety clasp. Saiz talinya juga besar iaitu 26 mm.

Keseluruhannya, jam ini besar dan berat. Ia hanya sesuai untuk mereka yang mempunyai saiz tangan yang "sado" atau yang meminatinya sahaja. Saya mengkategorikan jam ini sebagai jam sport tidak diver. Pada perkiraan saya, mutu buatan dan keupayaan jam berada di tahap sederhana.

*Ujian
Setelah disarungkan pada tangan dan memakainya selama beberapa hari, apa yang dapat saya perkatakan ialah jam ini cuma lebih kepada stail.