18 August, 2022

ARLOJI (Siri 140)

Casio SDB-100-1BDF

Model SDB-100-1BDF sesuai untuk kaum perempuan. Gabungan warna hitam dan merah jambu telah menarik perhatian saya.

Casio petak ini diperoleh menerusi tapak jualan online Lazada. SDB-100 dibeli pada 12 Disember 2020. Proses penghantaran bungkusan cepat iaitu 2 hari sahaja.👍


Jam boleh dilaras dengan merujuk buku manual 3257.







SDB-100 buatan China. Tahap kalis air pula ialah 50 meter.



Jam dijual pada harga berpatutan. Pemiliknya memakai jam secara berterusan tanpa menanggalkan dari pergelangan tangan. Jam masih kekal berfungsi. 👌

16 July, 2022

ARLOJI (Siri 139)

Menara Jam (Edisi 11)

Menara Jam Shah Alam
Menara jam digital ini terletak di Dataran Shah Alam. Lokasinya strategik berdekatan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Taman Tasik Shah Alam.












Gambar diambil pada 16 Julai 2022. Keadaan cuaca pula mendung.

06 June, 2022

ARLOJI (Siri 138)

Menara Jam (Edisi 10)

Menara Jam Jalan Tun Razak
Mercu tanda yang ingin saya perkatakan terletak berdekatan persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang.


Struktur bangunannya berbentuk empat segi. Terdapat empat buah jam analog berserta paparan suhu semasa ada pada menara ini.


Kawasan ini terkenal dengan kesesakan jalan raya terutamanya pada waktu kemuncak.



Kedudukannya berdekatan Ibu Pejabat Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad. 









Gambar-gambar dirakam ketika hari Sabtu 2 April 2022 sekitar jam 9.30 pagi.

05 May, 2022

ARLOJI (Siri 137)

Menara Jam (Edisi 9)

Menara Jam Besar, Alor Setar.


Menara jam yang saya perkatakan ini terletak di ibu negeri Kedah iaitu Alor Setar. Usianya telah melebihi 100 tahun.


Lokasi Menara Jam Besar strategik berdekatan Masjid Zahir yang bersejarah.


Struktur bangunan unik dan cantik. Pada puncak menara ada sebuah kubah. Keseluruhan mercu tanda ini berwarna kuning.



Gambar diambil pada waktu malam dari kawasan masjid menggunakan night mode. Saya tidak berkesempatan untuk berada lebih dekat dengan menara kerana hujan.



01 February, 2022

ARLOJI (Siri 136)

Bonia BNB10017P-2309S

Produk Bonia untuk perempuan yang saya tampilkan ini diperoleh dari salah sebuah kedai jam di Mitsui Outlet Park KLIA. Tarikh pembelian pada 2 Januari 2022.


Case jam berbentuk bulat dan menarik. Jika diperhatikan, ukuran diameter kerangka jam ialah antara 34-36 milimeter. Bahagian dail cerah, kemas serta bercorak BONIA. Rupa bentuk jarum jam dan minitnya unik berwarna purple.



Cermin jam rata berjenis sapphire. Bezel ditatah 'batu' sebanyak 12 biji selari dengan kedudukan marker.



Crown dan tingkap date berada di posisi pukul 3. Jam analog 3 hands ini bermesin quartz menggunakan sebiji bateri.



Caseback Bonia di atas bertutup penuh. Jam tangan yang dipaparkan turut bersifat kalis air.



Tali jam ungu diperbuat daripada kulit asli. Pengikatnya pula tertulis BONIA dan berbahan stainless steel.


Item yang saya perkatakan ini mempunyai waranti (resit kedai) selama setahun. Jam dibungkus dengan kotak berjenama kedai sahaja tanpa buku manual atau kad jaminan asalnya. Namun, yang pasti ialah ini jam Bonia genuine.


***Selamat Hari Wilayah***

15 January, 2022

ARLOJI (Siri 135)

Aku dan Jam (Bahagian 18)

Tatacara Betul Pemakaian Jam Tangan
Ramai dalam kalangan kita minat dan mempunyai jam tangan. Akan tetapi, banyak juga yang kurang arif tentang bagaimana kaedah 'sebenar' untuk mengenakannya pada pergelangan tangan sendiri.

Di sini saya sampaikan beberapa tips menggayakan jam tangan agar kelihatan kemas, cantik dan selesa. Antara cara-caranya adalah seperti berikut:
  • Kenal pasti terlebih dahulu tangan mana yang harus dipakai. Ada yang berpendapat kalau kita menulis menggunakan tangan kanan, jam sepatutnya disarungkan pada pergelangan tangan kiri. Begitulah jika sebaliknya. Sebelah tangan yang berperanan untuk menulis perlu dibiarkan bebas lepas.

  • Ketahui ukur lilit tangan sendiri. Perkara ini penting untuk memilih saiz diameter jam untuk anda. Sekiranya jam itu lebih besar dan berat, tangan menjadi cepat lenguh. 
  • Pastikan kedudukan jam pada tangan betul semasa menggunakannya. Jangan hanya memakai jam secara semberono kerana boleh mengganggu pergerakan tangan dan menimbulkan rasa rimas. Rasa tidak selesa ini jelas ketika kita sujud di dalam solat.

  • Elakkan daripada memakai jam secara terbalik. Maksud saya, ialah dail berkedudukan di bawah pergelangan tangan. Cermin jam akan cepat tercalar kerana sering bersentuhan dengan permukaan meja dan sebagainya.
  • Tali jam haruslah terikat kemas pada tangan. Tidak telalu ketat ataupun longgar. Pengaliran darah, peluh mungkin tidak lancar sekiranya dipakai terlalu ketat. 
  • Jangan memakai gelang atau rantai (bangle) dan jam pada pergelangan tangan yang sama. Hal ini sering terjadi pada kaum wanita.
  • Pakailah jenis jam tangan mengikut kesesuaian umur, jantina, pakaian dan situasi.
Perkara yang saya perkatakan di atas sekadar pengetahuan sahaja. Terpulanglah kepada cita rasa anda untuk menentukan cara terbaik buat diri sendiri. Apa yang penting ialah keselesaan.

*Info
Jam seharusnya dipakai secara betul dan cermat. Elakkan daripada terkena air atau terjatuh dari tempat tinggi. Baca buku manual penggunaan dan fahami keupayaan jam tersebut. Jika tidak, jam yang dibeli mungkin akan cepat rosak. Pakailah seperti apa yang disarankan. Info ini adalah secara umum tanpa merujuk mana-mana model atau kategori jam.