15 January, 2022

ARLOJI (Siri 135)

Aku dan Jam (Bahagian 18)

Tatacara Betul Pemakaian Jam Tangan
Ramai dalam kalangan kita minat dan mempunyai jam tangan. Akan tetapi, banyak juga yang kurang arif tentang bagaimana kaedah 'sebenar' untuk mengenakannya pada pergelangan tangan sendiri.

Di sini saya sampaikan beberapa tips menggayakan jam tangan agar kelihatan kemas, cantik dan selesa. Antara cara-caranya adalah seperti berikut:
  • Kenal pasti terlebih dahulu tangan mana yang harus dipakai. Ada yang berpendapat kalau kita menulis menggunakan tangan kanan, jam sepatutnya disarungkan pada pergelangan tangan kiri. Begitulah jika sebaliknya. Sebelah tangan yang berperanan untuk menulis perlu dibiarkan bebas lepas.

  • Ketahui ukur lilit tangan sendiri. Perkara ini penting untuk memilih saiz diameter jam untuk anda. Sekiranya jam itu lebih besar dan berat, tangan menjadi cepat lenguh. 
  • Pastikan kedudukan jam pada tangan betul semasa menggunakannya. Jangan hanya memakai jam secara semberono kerana boleh mengganggu pergerakan tangan dan menimbulkan rasa rimas. Rasa tidak selesa ini jelas ketika kita sujud di dalam solat.

  • Elakkan daripada memakai jam secara terbalik. Maksud saya, ialah dail berkedudukan di bawah pergelangan tangan. Cermin jam akan cepat tercalar kerana sering bersentuhan dengan permukaan meja dan sebagainya.
  • Tali jam haruslah terikat kemas pada tangan. Tidak telalu ketat ataupun longgar. Pengaliran darah, peluh mungkin tidak lancar sekiranya dipakai terlalu ketat. 
  • Jangan memakai gelang atau rantai (bangle) dan jam pada pergelangan tangan yang sama. Hal ini sering terjadi pada kaum wanita.
  • Pakailah jenis jam tangan mengikut kesesuaian umur, jantina, pakaian dan situasi.
Perkara yang saya perkatakan di atas sekadar pengetahuan sahaja. Terpulanglah kepada cita rasa anda untuk menentukan cara terbaik buat diri sendiri. Apa yang penting ialah keselesaan.

*Info
Jam seharusnya dipakai secara betul dan cermat. Elakkan daripada terkena air atau terjatuh dari tempat tinggi. Baca buku manual penggunaan dan fahami keupayaan jam tersebut. Jika tidak, jam yang dibeli mungkin akan cepat rosak. Pakailah seperti apa yang disarankan. Info ini adalah secara umum tanpa merujuk mana-mana model atau kategori jam.

No comments:

Post a Comment