01 March, 2016

ARLOJI (Siri 24)

Seiko alarm clock QHK026R

Ulasan saya untuk kali ini tidak lagi tentang jam tangan. Walaupun tajuknya masih ARLOJI (jam tangan) tetapi jam yang saya ingin kongsikan ialah sebuah jam loceng.

Jam loceng ini berjenama Seiko model QHK026R. 


Untuk makluman, jam loceng atau jam dinding yang dibeli biasanya akan dibekalkan bateri (battery included). Bateri yang digunakan oleh jam ini bersaiz C. Jangka hayat bateri dianggarkan selama 10 bulan. Pada masa kecil, kami memanggil bateri seperti ini sebagai ubat lampu.

Pergerakan jarum saat model ini seperti jam automatik dan tanpa bunyi. Dail jam berwarna hitam manakala nombor marker, hand jam dan minit pula putih bersalut lumibrite.


Case jam berbentuk empat segi dan diperbuat daripada plastik, Pada bahagian hadapan dan sisi  case berwarna merah hati (maroon) manakala di belakangnya pula berwarna hitam. Saiz kerangka jam ialah kira-kira 9.6 x 13 x 6.5 cm.  



Nyalaan lampu jam cukup terang untuk kita melihatnya semasa bangkit daripada tidur. Lampu ini boleh dinyalakan dengan menekan butang chrome di atas case. Selain itu, butang ini berfungsi untuk snooze alarm jam. Bunyi loceng jam pula kuat dan nyaring. Sekiranya mahu mematikan terus bunyi penggera itu, kita hendaklah  melaraskan butang on/off yang berada pada belakang jam.

Pada belakang case juga terdapat satu tombol untuk menetapkan fungsi jam dan penggera (set the time/alarm). Bagi memudahkan pengguna,  sehelai kertas berupa instructions ringkas diletakkan di dalam kotak bersama-sama jam ini.


Jaminan jam ini ialah selama 3 bulan sahaja. Tiada kad atau sijil waranti disertakan semasa pembelian. Oleh itu, kita perlu membawa resit jualan dan jam ke kedai yang sama sekiranya rosak.

25 February, 2016

ARLOJI (Siri 23)

Alfajr WL-08G

Syarikat Alfajr Watch & Clock mula beroperasi pada tahun 2000. Company ini berasal dari Arab Saudi yang memasarkan jam-jam berbentuk Islamik sebagai pilihan kepada pengguna. Logo atau lambang Alfajr diambil daripada huruf Arab iaitu "fa". Antara jenis jam yang dijual ialah jam dinding, jam meja dan semestinya jam tangan.

Pada pendapat saya, jam berjenama Alfajr kurang diketahui oleh masyarakat Malaysia. Ini mungkin kerana negara kita tidak mempunyai agen yang sah seperti di Singapura dan Indonesia. 


Nombor model produk ini ialah WL-08G. Case jam menggunakan stainless steel manakala cerminnya kalis calar. Tahap kalis air jam 5 ATM.



Paparan yang ditunjukkan pada dail (gambar atas) ialah 9 Februari / pukul 10:04 / 6:09 adalah waktu sembahyang. Jam ini juga dilengkapi dengan penggera serta kalendar Hijrah. Waktu sembahyang boleh ditetapkan mengikut tempat dan kedudukan kita.


Jam Alfajr ini menggunakan teknologi Swiss tetapi dipasangkan di China. 


Lampu jam terang dan jelas (crystal FSTN LCD with blue EL back light).


Terdapat dua butang tetapan dan crown untuk kita menjalankan fungsi jam. Salah satu butang tetapan tersebut boleh menyalakan lampu.


Tali jam berwarna hitam diperbuat daripada kulit yang lembut dan selesa dipakai. Pada buckle terdapat huruf "fa" untuk Fajr.


Tempoh jaminan jam ialah 2 tahun. Secara keseluruhannya jam ini bergaya ringkas, sederhana tetapi elegan.

24 February, 2016

ARLOJI (Siri 22)

Casio HDA-600B

Casio HDA-600B ini berada dalam kategori standard/classic. Saya sendiri sebenarnya tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan sebagai HD itu. Namun begitu, ciri-ciri yang ditawarkan pada jam ini mencuri perhatian saya.


Jika dipandang sekali imbas model paparan pada kali ini mempunyai sedikit gaya military iaitu marker 24 jam. Hal ini penting bagi mereka melaraskan waktu siang atau malam untuk mengadakan operasi dan sebagainya.


Dail jam ini berwarna cerah dan senang untuk melihat waktu. Jarum jam, minit dan saatnya agak berlainan dengan jam-jam biasa. Cermin jam diperbuat daripada plastik dengan kedudukan lebih tinggi daripada case. Untuk itu, wayar hitam digunakan melindungi permukaan cermin supaya tidak mudah tercalar apabila tergesel dengan sesuatu. Wayar ini juga dijadikan pelindung keselamatan untuk bahagian tepi caseback (upper and lower wire protectors). 



Selain itu, crown guard turut  memastikan keselamatan "mahkota" jam.



Model analog 3 hands ini menggunakan movement dari Jepun tetapi case dan talinya dibuat di negeri China. Bateri yang dipasangkan pada jam pula ialah CR2012 mampu bertahan selama 10 tahun. Tahap kalis air jam ialah 100 meter.




Produk ini dijamin selama setahun. Saya amat berpuas hati dengan jam-jam keluaran Casio. Harganya adalah berpatutan dan mampu milik.

05 February, 2016

ARLOJI (Siri 21)

Swatch GB753

Model ini dikenali sebagai Sir Red. Ia mula dipasarkan pada tahun 2014. Sir Red berada dalam siri (product line) original. Jam ini sebenarnya dibuat khusus untuk lelaki (product family:gent). Namun begitu, saya berpendapat produk ini juga turut sesuai untuk golongan remaja wanita.


Jam ini dibungkus menggunakan sebuah kotak plastik keras lut sinar yang ringkas. Saya melihat kotak jam ini seakan-akan sebuah kotak pensel yang kecil.



Keseluruhan case jam diperbuat daripada plastik termasuklah cerminnya. Cermin jam ini berbentuk cembung. Oleh itu, pemakainya perlulah berwaspada selalu kerana ia senang tercalar. Tali jam pula daripada silikon. Kemasan dail sederhana dan jelas untuk melihat waktu.




Terdapat sedikit maklumat pada bahagian belakang jam. Apa yang penting ialah jam ini swiss made walaupun plastik. Antara kelainan jam Swatch berbanding dengan jenama-jenama lain ialah kedudukan baterinya yang berada di bahagian luar caseback.  Setakat ini saya belum pernah berjumpa dengan jenama lain  yang berbuat sedemikian. Tahap kalis air jam ialah 30 meter.



Satu perkara yang agak memeranjatkan saya ialah jam ini dijamin selama dua tahun. Namun begitu, jaminan ini terhad untuk enjinnya sahaja. Jam Swatch dijual di kedai/butik khusus seluruh Malaysia. Brand flik flak turut dijual bersama-sama jenama ini. Produk flik flak merupakan jam yang direka khas untuk kanak-kanak.

*Ujian 1
Jam ini tidak boleh digunakan secara lasak. Ia tidak melepasi ujian pemakaian selama seminggu oleh penguji saya akibat buckle patah (rujuk bulatan merah pada gambar di atas).


*Ujian 2
Setelah ditukarkan tali baru (dark blue) yang sama jenis akhirnya jam ini berjaya melepasi tahap ujian ketahanan yang ditetapkan. Ia telah dibawa snorkeling dan mandi laut di sebuah pulau peranginan dengan jayanya walaupun tahap water resistant cuma 30 meter.

17 January, 2016

ARLOJI (Siri 20)

Cenderahati daripada Orient

Payung Orient ini diperolehi pada awal tahun 2015. Ia merupakan cenderamata istimewa kepada para pembeli jam berjenama ini. Saya mendapat payung ini dari salah sebuah butik Orient yang terletak di pusat membeli-belah terkenal di Kuala Lumpur. 


Hadiah ini dibungkus cantik menggunakan kotak putih dengan logo Orient. Di dalamnya pula terdapat sekaki payung berwarna dark blue berserta tag Orient dan kertas manual penggunaan.



Payung Orient ini bersarung dan mempunyai butang buka/tutup pada bahagian hulunya. Saiznya kecil sesuai untuk dimasukkan ke dalam beg tangan wanita untuk kegunaan pada hari panas ataupun hujan.

09 January, 2016

ARLOJI (Siri 19)

Rado Original

Rado merupakan salah satu jenama keluaran Switzerland. Jam yang dipaparkan pada kali ini adalah untuk kaum wanita. Saiznya kecil iaitu kira-kira 27.3mm dan berwarna keemasan. 

Pada pemerhatian saya, jam Rado amat popular di kalangan masyarakat Melayu negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Oleh itu, saya gelarkan Rado sebagai "Rolex Pantai Timur".


Rado Diastar diperbuat daripada bahan-bahan berkualiti dan tahan lasak. Cerminnya bersegi, tebal dan sapphire crystal. Case (terutamanya bezel) menggunakan hardmetal yang kalis calar dengan warna berkilau serta tahan luntur. 

Pergerakan jam adalah  secara automatik dan mampu berdetik anggaran selama 36 jam (kuasa penuh) jika tidak dipakai. Marker jam daripada batu permata jernih dan sedikit luminous padanya. Luminous juga dapat dilihat pada jarum jam dan minitnya. Water resistant pula 3 BAR (30 meter).

Satu daripada ciri-ciri istimewa tentang Rado ini ialah logo yang ada pada dail. Logo ini boleh berpusing seperti rotor mengikut pergerakan tangan kita. 


Jam ini dijamin selama 2 tahun bermula dari tarikh pembelian. Jaminan ini adalah waranti antarabangsa  di mana pemiliknya boleh membaikpulih jam tersebut di service centre yang sah seluruh dunia sekiranya jam mengalami sebarang kegagalan fungsi.


Bahagian belakang jam ringkas dengan sedikit maklumat penting berhuruf timbul. Jam ini mempunyai nombor siri yang tersendiri dan tidak akan sama dengan jam lain. Nombor ini hanya boleh ditengok menggunakan kanta pembesar.


Crown jam berlogo Rado manakala pada bahagian tepi sebelah kiri case  terpahat perkataan RADO. Kedudukan crown ini agak "tersembunyi" dan perlu ditarik keluar untuk melaraskan masa atau tarikhnya.


Bracelet atau tali jam ini adalah stainless steel 316L. 



Saya berpendapat harga jam swiss made adalah lebih tinggi berbanding jam buatan Jepun. Namun begitu, fungsinya tetap sama iaitu sebagai pengukur waktu.

02 January, 2016

ARLOJI (Siri 18)

BabY-G BA-110

Baby-G adalah produk keluaran Casio khusus untuk kaum wanita. Ia tergolong dalam keluarga G-Shock tetapi saiz dan ukurannya lebih kecil sesuai dengan pergelangan tangan perempuan. Kebiasaannya, jam ini dipakai oleh kalangan remaja peringkat sekolah sehinggalah mereka yang baru menceburi bidang pekerjaan.


Jam ini buatan China tetapi menggunakan movement dari Jepun. Case dan tali diperbuat daripada resin berwarna putih manakala dail berwarna rose gold. Model BA-110 ini dijana oleh bateri (SR726W x 2) yang berjangka hayat selama 2 tahun. Tahap kalis air jam ini 10 BAR  dan accuracy  ±30 seconds per month.


Cermin jam daripada mineral glass. Caseback dan buckle pula menggunakan stainless steel. Antara ciri-ciri  yang terdapat pada jam ini ialah world time, stopwatch, countdown timer, calendar (2099), 5 penggera dan berformat 12/24 jam.

 


BA-110 ini  mempunyai 4 butang tetapan iaitu adjust, mode, light dan search. Lampu jam ini berwarna amber. Produk digital-analog ini boleh dilaraskan dengan merujuk buku panduan pengguna (user's guide) modul nombor 5338. Berat bersih jam ini 44.9 gram.





Jam ini diberikan jaminan selama setahun oleh pengedar sah Malaysia. Pada pendapat saya, jam seperti ini perlu dipakai secara cermat kerana kotoran senang dilihat berikutan warnanya yang putih.