15 July, 2021

ARLOJI (Siri 131)

Aku dan Jam (Bahagian 17)

G-Shock
Ramai orang mengenali G-Shock. Saya berpendapat kekuatan nama G-Shock ini dahsyat hingga 'menenggelamkan' jenama induknya iaitu Casio. 

G-Shock terkenal di seluruh dunia. Peminatnya terdiri daripada pelbagai bangsa, usia dan kedudukan. Jadi, anda tidak perlulah berasa hairan jika golongan elit, jutawan atau ahli politik turut memakai jam sebegini. 

G-Shock lahir pada tahun 1983. Father of G-Shock ialah seorang jurutera Casio bernama Kikuo Ibe. Model pertama keluaran G-Shock ialah DW-5000C dengan case petak.

Sumber daripada world.g-shock.com

Kita sebenarnya boleh merasa sedikit aura DW-5000C ini dengan memakai DW-5600E. DW-5600E masih diproduksi dan berada dalam pasaran. Harganya mampu milik dengan fitur asas 'sebuah' G-Shock.

Pada pandangan saya, G-Shock berjaya menguasai pasaran dunia jam kerana produk yang dihasilkan berbeza daripada jam-jam tangan lain.

Rupa bentuk model-model G-Shock lebih ke hadapan dan futuristik. Gaya rekaan yang moden boleh dilihat pada siri G-Shock pertengahan dan ke atas. Saya dahulu tidak berkenan Frogman disebabkan kedudukan case dan talinya yang pelik. Ketika itu sekitar tahun 2014/15. Harga Frogman masih murah berbanding sekarang.😥Akhirnya, saya memutuskan untuk membeli Mudman G-9300 sahaja. 

Seterusnya, G-Shock popular dengan shock resist. Semua item yang dijual tahan gegaran dan hentaman.


Struktur jam G-Shock direka khusus bagi menahan 'kejutan'. Oleh itu, wajarlah kalau jamnya kekal bernyawa walaupun diperlakukan dengan ujian yang ekstrem sekalipun.


Sumber daripada world.g-shock.com

G-Shock turut masyhur anti air. Jam di bawah jenama ini kalis air sebanyak 20 BAR (200 meter).


Selain itu, G-Shock juga menggunapakai pelbagai teknologi terkini untuk jam-jam mereka. Antaranya ialah multiband 6, GPS, quad sensor dan bluetooth. Contoh bluetooth pada model GBA-800. Semakin mahal harga item tersebut makin canggih teknologinya.

Jam G-Shock jimat tenaga. Menurut pengalaman saya, bateri jam G-Shock mampu bertahan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 tahun. Contoh jam berbateri ialah GLX-6900. Manakala tough solar mereka sangat boleh dipercayai. Salah satu model yang dioperasikan oleh tenaga cahaya ialah G-6900.

G-Shock pelbagai warna. Kebanyakan siri yang mendapat sambutan ramai akan mempunyai banyak variasi colour. Saya mendapati bahawa G-Shock sangat berani memasarkan jam warna-warni yang kadangkala kelihatan agak aneh. 

Kemudian, G-Shock sering menghasilkan jam secara kolaborasi dengan pihak lain. Ini memberi peluang kepada mereka menjual jam lebih meluas. Produk yang dikeluarkan pula tentunya lebih menarik dan istimewa.

Produk buatan Casio ini terdiri daripada dua versi iaitu G-Shock lelaki dan G-Shock perempuan. G-Shock bagi perempuan berdiameter lebih kecil dengan warna  sederhana. Hal ini terjadi mungkin kerana kaum hawa turut gemar akan G-Shock.

G-Shock selesa pada pergelangan tangan. Walaupun saiz jam besar namun ringan dan sesuai digayakan terutamanya bagi kegiatan luar dan lasak.
 
Harga G-Shock berpatutan dan berbaloi dimiliki. Umumnya harga jam G-Shock masih masuk akal dan mampu dibeli oleh semua. Kita hendaklah bijak memilih mengikut budget masing-masing.

Casio G-Shock terdiri daripada bervariasi model, siri atau line up. Oleh kerana itu, ada sesetengah modelnya digelar dengan nama julukan seperti anak katak, tapak kucing, mat moto, polis evo dan TMJ. Gelaran ini memudahkan peminat mengenali model tersebut. Setiap nama panggilan itu ada kisahnya dan bakal melariskan lagi jualan.

G-Shock dikilangkan di Jepun, Thailand dan China. Setahu saya, model-model high-end dikeluarkan sendiri oleh syarikat Casio Jepun, siri middle class di Thailand manakala kategori standard pula oleh China.  Semua movement dihasilkan di Jepun. Kilang di Thailand dan China hanya menghasilkan parts tertentu dan memasang hingga tercipta seutas jam G-Shock. Jadi, jangan terkejut kalau G-Shock yang kita beli Japan movement, cased in Thailand dan pada buckle tercetak Casio China. Itu adalah original.

Saya melihat, G-Shock yang berlegar dalam pasaran Malaysia (online) terdiri daripada Asia set, Japan set dan Euro set. Jika diteliti, ketiga-tiga set ini adalah sama sahaja. Perkara yang berbeza cuma nombor siri model, tali tag, buku/kertas manual dan kotak pembungkusan. Namun, harga Japan set ternyata lebih tinggi berbanding set lain. Hal ini mungkin kerana ramai yang berminat dan berfikiran G-Shock pasaran Japan adalah yang terbaik  serta sukar didapati.

Saya bukanlah pakar G-Shock. Apa yang saya perkatakan di atas berdasarkan pengalaman sendiri. Anda boleh merujuk 'otai', Youtube atau melayari Google bagi mendapatkan info selanjutnya. Kedua-dua video di dalam artikel ini dipetik daripada Youtube CASIO G-SHOCK.

No comments:

Post a Comment