01 October, 2017

ARLOJI (Siri 61)

Aku dan Jam (Bahagian 7)

Jam Tangan Terbaik daripada Perspektif Saya


Perkembangan teknologi yang pesat turut mempengaruhi industri pembuatan jam. Pelbagai jenama dan jenis jam muncul di pasaran sehingga kita menjadi rambang mata untuk membuat pilihan. Oleh itu, sebagai pengguna kita haruslah bijak dalam mencari jam yang bersesuaian dengan gaya hidup dan keperluan masing-masing.

Saya berusaha untuk mendapatkan jam yang paling ideal bagi kegunaan sendiri dan keluarga. Citarasa dan kehendak pula perlu selari dengan budget yang ada. Jangan terlalu melihat apa yang dipakai oleh orang lain sekiranya belum berkemampuan.

Di sini saya cuba sampaikan serba sedikit ciri-ciri yang patut ada pada seutas jam yang dianggap sempurna dari kaca mata saya. Pandangan saya ini mungkin bercanggah dan tidak sama dengan pendapat orang lain. Ciri-ciri tersebut ialah:
  1. Jam yang paling baik adalah jam yang berbentuk bulat (round case).
  2. Kerangka jam (case) dan penutup belakang hendaklah daripada stainless  steel bukannya base metal.
  3. Ukuran diameter case yang ideal bagi lelaki ialah 35mm - 40mm manakala untuk perempuan antara 30mm - 35mm.
  4. Cermin jam diperbuat daripada jenis kaca tidak plastik (acrylic).
  5. Tali jam pula daripada kulit asli atau stainless steel.
  6. Berat keseluruhan jam adalah sederhana.
  7. Water resistance jam 50-100 meter.
  8. Ketepatan masa yang boleh dipercayai.
  9. Kemasan jam ringkas, cantik dan senang untuk melihat paparan waktu.
  10. Mempunyai lume atau lampu yang terang.
  11. Teknologi yang digunakan simple. Contohnya, jam quartz.
  12. Baterinya tahan sekurang-kurangnya untuk 2-3 tahun (jam quartz).
  13. Bersifat evergreen dan tidak membosankan walaupun dipakai bertahun-tahun.
  14. Sesuai dan selesa dipakai untuk kegunaan seharian, bekerja atau bersantai.
  15. Kos penyelenggaran yang rendah dan berpatutan.
  16. Harga jualan jam terjangkau dan tidak terlalu mahal.
Namun begitu, jam yang terbaik untuk diri sebenarnya adalah jam yang sekarang berada di pergelangan tangan kita. Walaupun berharga rendah dan kelihatan seperti jam budak-budak tetapi ia mungkin telah lama berkhidmat dan bernostalgia.

No comments:

Post a Comment