15 November, 2014

ARLOJI (Siri 2)

Jenis-jenis jam tangan

Jam tangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

Analog.
Jam yang menggunakan jarum (hand) sebagai penunjuk masa.

Analog-Digital.
Jam yang menggunakan kaedah jarum dan digit/nombor untuk menentukan waktu.

Digital.
Jam yang memaparkan masa menggunakan digit/nombor dan text tanpa jarum.

Teknologi jam tangan

Kerangka jam

Kerangka jam dikenali sebagai case. Case jam biasanya berbentuk bulat dan empat segi. Setiap kerangka jam mempunyai ukuran diameter, ketebalan dan berat yang berbeza. Bahan yang digunakan untuk membuat case juga tidak sama. Stainless steel, plastik atau resin adalah antara bahan yang popular untuk kerangka jam. Bahagian atas case ditutupi dengan cermin manakala pada bahagian bawahnya mempunyai cover (penutup belakang).

Enjin  jam

Enjin (movement) merupakan satu elemen penting kepada sesebuah jam. Jam yang mempunyai enjin yang baik akan tahan lama dan menyukat waktu dengan lebih tepat. Antara pengeluar enjin jam yang terkenal ialah Miyota (Jepun) dan ETA (Swiss). Kebanyakan jenama jam menggunakan enjin daripada kedua-dua pengeluar ini. Namun begitu, ada juga syarikat jam yang mengeluarkan movement sendiri untuk dipasang pada produk mereka contohnya Rolex. Di dalam sebuah jam, enjin berada pada bahagian belakang dail. Pada kebiasaannya, ia tidak kelihatan kerana ditutup kemas dengan cover belakang. Akan tetapi, terdapat juga beberapa jam yang sengaja mempamerkan enjinnya seperti Seiko 5 dan Orient Open Heart. Enjin jam pada dasarnya mempunyai dua jenis iaitu mekanikal/automatic dan quartz. Kekuatan dan kehebatan enjin jam automatic diukur pada  jewels dan getaran per jam (hour per vibrations). Cara paling mudah untuk mengenali jam sama ada ia automatic atau quartz adalah dengan melihat tulisan (automatic/quartz) yang tertera pada dail. Selain itu, kita juga dapat mengetahuinya melalui cara pergerakan jarum saat (hand second). Jarum saat jam mekanikal akan bergerak seolah-olah terketar-ketar manakala jarum saat jam quartz pula bergerak secara "jalan-henti-jalan".

Sumber kuasa

Enjin jam memerlukan tenaga atau sumber kuasa untuk menjalankannya. Antara sumber kuasa yang digunakan untuk jam tangan ialah:

Automatic (tanpa bateri)
  • Para pengumpul (collector) jam amat menggemari jam jenis ini. Teknologi ini sudah sekian lama digunakan dan masih kekal hingga ke hari ini.
  • Terdapat dua cara jam automatic ini beroperasi iaitu secara self-winding dan hand-winding.
  • Self-winding bermaksud jam tersebut berfungsi sendiri apabila dipakai. Sekiranya jam ini "mati" maka pemakai perlu memperbetulkan masa (jarum jam) mengikut waktu semasa dan menggoyangkannya sedikit untuk membantu jarum jam bergerak.
  • Hand-winding/manual winding pula dikenali sebagai jam kunci. Pemilik jam ini perlu mengunci jam dengan cara memutarkan crown untuk mendapatkan sumber kuasa.
  • Jam jenis ini mempunyai kuasa simpanan (power reserve). Sekiranya ia tidak dipakai untuk tempoh tertentu jam ini akan bertukar daripada automatic kepada "automati".                    
Bateri
  • Digunakan pada jam quartz. Sebelum ini, bateri jam tangan hanya dapat bertahan untuk satu tahun sahaja. Tetapi dengan perubahan teknologi ia  menjadi lebih tahan lama sehingga mencapai 10 tahun.
  • Pada masa sekarang, bateri daripada jenis lithium telah banyak digunapakai untuk jam tangan. 
Solar
  • Menggunakan cahaya matahari atau lampu untuk menjana tenaga.
  • Masih menggunakan bateri untuk menyimpan tenaga/kuasa yang dikumpulkan.
  • Baterinya amat tahan dan tidak perlu ditukar (tahan lama).
Kinetik
  • Gabungan teknologi automatik dan quartz.
  • Menggunakan kaedah pergerakan untuk mengumpulkan tenaga.
  • Mempunyai kapasitor (capacitor) untuk menyimpan tenaga/kuasa yang dikumpulkan.
  • Kuasa simpanannya lebih tahan lama berbanding automatic.
Cermin

Cermin (crystal) berfungsi sebagai tingkap untuk kita melihat masa pada dail.  Cermin jam ada yang berbentuk rata, cembung dan bersegi. Tahap ketebalan dan kekuatan cermin juga berbeza. Saya membahagikan cermin  jam kepada dua:

Plastik (acrylic)
  • Cermin jenis ini biasanya dipasang pada jam tangan berharga rendah. Namun begitu, ada juga pengeluar jam berjenama menggunakan cermin ini untuk produk mereka  (model lama).
  • Mudah tercalar apabila bergesel dengan sesuatu.
Kaca (glass)
  • Terdapat dua jenis cermin kaca yang sering digunakan oleh watchmaker iaitu sapphire glass (kalis calar) dan mineral glass.
  • Sapphire glass sangat popular untuk jam tangan bernilai tinggi manakala mineral glass pula banyak digunakan untuk jam kelas pertengahan.
Kalis air

Boleh dikatakan semua jam yang dijual sekarang dilengkapi ciri kalis air (water resist). Tahap kedalaman kalis air jam tangan disukat menggunakan ukuran kaki, meter, BAR atau ATM. Jam tangan khas untuk penyelam (diver) mempunyai tahap ketahanan kalis air paling tinggi iaitu antara 200m hingga 1000m (setakat pengetahuan saya).

Terdapat dua tempat pada jam tangan yang senang dimasuki oleh air iaitu pada bahagian sambungan di antara case dan cover belakang dan di antara case dan crown. Bagi mengatasi masalah ini kita hendaklah memastikan getah pelapiknya sentiasa berkeadaan baik. Jika menukar bateri jam seelok-eloknya kita juga menukar getah (gasket) tersebut. Selain itu, elakkan daripada menarik/memutarkan crown semasa berkeadaan basah.

Teknologi lain

Selain daripada  menunjukkan waktu, jam tangan turut dilengkapi dengan teknologi atau kegunaan yang lain misalnya:
  1. Kompas
  2. Termometer
  3. Moon Phase
  4. Altimeter
  5. Barometer
  6. Wave Ceptor/Atomic Timekeeping (ketepatan masa)
  7. Bluetooth
  8. Global Positioning System (GPS)
Waranti

Waranti (warranty certificate) merupakan satu jaminan terhadap produk yang dijual kepada pengguna. Jaminan ini mempunyai tempoh  dan terhad kepada peralatan atau barangan (spare part) tertentu sahaja. Setakat pemerhatian saya, tempoh jaminan sesebuah jam ialah antara 1 hingga 5 tahun. Bukti jaminan yang diberikan adalah berbentuk kad/sijil yang disertakan ketika membeli jam.

Terdapat dua jenis jaminan yang biasa kita perolehi apabila membeli jam iaitu jaminan penjual/pengedar dan jaminan pengeluar. Waranti penjual/pengedar ini bersifat terhad/tempatan berbanding jaminan pengeluar yang bersifat global  (international warranty).

05 November, 2014

ARLOJI (Siri 1)

Pengenalan tentang jam

Jam amat penting dalam kehidupan manusia. Selain untuk menentukan waktu, jam juga digunakan sebagai aksesori, simbol status dan pelaburan. Saya mencintai jam kerana beberapa sebab. Antaranya ialah  keperluan, hobi, bahan, reka bentuk dan teknologi  yang digunakan, kesenian pada sesebuah jam dan sebagai aset. Namun begitu, tidak semua jam yang dipaparkan dalam artikel siri ARLOJI ini kepunyaan sendiri.

Sebagai peminat horologi, saya mengagumi semua jenis jam (jam tangan, jam saku, jam loceng, jam dinding) tanpa mengira sama ada jam itu tulen  ataupun tiruan. Apa yang penting jam itu mampu mengukur waktu. Melalui  siri ini, saya akan kongsikan sedikit pengetahuan yang diperolehi daripada pemerhatian, pembacaan, pengalaman sendiri dan orang yang terdekat.

Struktur asas jam tangan

Secara umumnya, jam tangan terdiri daripada dua bahagian iaitu jam dan tali. Kebiasaannya, kita tidak mengambil peduli tentang jam yang dipakai. Kita hanya memilih jam yang "cantik" sahaja tanpa mengambil kira perkara lain yang terdapat pada jam tersebut.

Di sini, saya ingin kongsikan serba sedikit anatomi asas seutas jam tangan.


Terdapat pelbagai tali jam di pasaran. Kepelbagaian ini dapat dilihat dari segi warna, saiz, rupa bentuk dan bahan yang digunakan. Saya mengklasifikasikan tali jam kepada lima iaitu:
  1. Logam (bracelet) - stainless steel (solid/tidak solid), titanium
  2. Plastik/Getah (rubber strap) - resin, silikon, carbon fibre
  3. Kulit (leather strap) - biasa, tahan lasak
  4. Kanvas - nylon, zulu, nato
  5. Ceramic.