23 July, 2010

Kesantunan Berbahasa

Bahasa merupakan satu alat atau mekanisme perhubungan. Mengikut adab dan adat budaya Melayu, kesantunan berbahasa amat dititikberatkan dalam masyarakat. Pertuturan individu dengan individu yang lain mestilah beralas dan mengikut situasi. Kata ganti nama digunakan untuk menunjukkan rasa hormat penutur terhadap pendengarnya. Bahasa yang digunakan pula mestilah tidak menyinggung perasaan orang lain. Teguran atau nasihat diungkapkan secara sopan dan halus. Hal ini amat jelas terbukti menerusi pantun, seloka, syair dan sebagainya.

Namun nilai positif ini tidak diwarisi oleh masyarakat Melayu kini. Perubahan corak kehidupan seolah memaksa mereka melupakan kesemuanya. Percakapan di antara ahli keluarga agak kasar dan kurang sopan. Penggunaan perkataan "aku" sebagai ganti diri sewaktu di rumah menjadi kebiasaan. Pengajaran dan penerapan nilai-nilai murni di sekolah kelihatan kurang berkesan. Keadaan menjadi bertambah keliru apabila masyarakat sekarang tidak mengambil endah akan hal ini.

Tindakan mencampuradukkan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu semasa bertutur turut menjejaskan kesopanan dalam berbahasa. Perkara seperti ini biasa berlaku di pejabat atau tempat kerja. Perkataan "i" dan "you" lancar keluar dari bibir orang yang bergelar Melayu berbanding perkataan "saya".

Selain itu, aspek tulisan turut mempengaruhi kesantunan berbahasa. Kehadiran telefon bimbit dengan pesanan ringkas menyebabkan orang ramai terikut-ikut dengan budaya menulis ringkas. Ayat atau perkataan yang diringkaskan hanya difahami oleh pengirim dan penerima sahaja. Contohnya, huruf "g" bagi menggantikan perkataan "pergi". Sekiranya perkara ini tidak dibendung, lama-kelamaan ia akan menjadi sebati dan sukar dikikis dalam budaya masyarakat.

Oleh itu, penulis menyarankan agar semua mengembalikan semula warisan tradisi orang Melayu dalam berbahasa. Nilai Melayu tradisi tidak perlu diubah dan hanya perlu ditokok tambah. Budaya yang positif perlu dikekalkan manakala yang berubah hanyalah masa.

"Betulkan perkara yang biasa,
Biasakan perkara yang betul."

No comments:

Post a Comment