17 May, 2016

ARLOJI (Siri 30)

Aku dan Jam (Bahagian 1)

Minat saya terhadap jam sudah lama. Ketika bersekolah rendah saya pernah memakai jam tangan digital murah. Namun, tidak kekal lama kerana jam rosak akibat terkena air ketika membasuh tangan.  Ketika itu saya berasa agak menyesal dan kecewa kerana kurang berhati-hati.

Sewaktu bersekolah menengah pula, saya memakai dua utas jam. Jam pertama berciri analog-digital (kira-kira 1 tahun) manakala jam kedua ialah Casio analog. Jam ini kecil dan mempunyai reka bentuk yang seakan-akan jam selam. Inilah kali pertama saya memiliki jam yang ada jenama. Harganya sekitar RM50.00.

Pada peringkat universiti. saya masih lagi membeli jam-jam berharga rendah. Jam bertaraf  "Petaling Street" dan "Chow Kit" menjadi pilihan. Pada masa itu, saya hanya sekali berpeluang membeli jam yang asli iaitu Alba. Harga jam tersebut kira-kira RM40.00. Jam ini berbentuk bulat, bernombor Roman dan menggunakan tali kulit.

Setelah memasuki alam pekerjaan, saya berusaha mengumpul duit untuk mendapatkan jam yang sedikit mahal. Saya telah membeli seutas jam tangan berjenama Seiko. Seiko ini dibeli di sebuah kedai jam yang terletak di Wangsa Maju. Saya amat menyayangi jam ini. Ia merupakan jam analog  gaya military dengan dail berwarna hijau, berformat 24 jam, tarikh dan diperbuat daripada stainless steel. Namun, jodoh tidak kekal lama kerana jam hilang ketika terjatuh motosikal. Peristiwa itu berlaku di sebuah kawasan perumahan yang terletak di Petaling Jaya. Harga jam antara RM200.00- RM400.00.

Selepas kejadian itu, saya tidak mampu lagi membeli jam yang berharga sedemikian. Bagi mengubat rasa sedih, saya membeli seutas jam tangan Casio F-200. Harga model ini berpatutan iaitu bawah RM100.00 dan baterinya tahan selama 10 tahun.

Casio F-200

Semasa awal perkahwinan, isteri saya menghadiahkan seutas jam stainless steel yang dijual secara berpasangan (pair). Ia berbentuk bulat dan nipis. Saya masih menyimpan jam ini walaupun telah kehabisan bateri sejak sekian lama.

Santiago Polo

08 May, 2016

ARLOJI (Siri 29)

Q&Q Analog VP47J020Y 

Jam Q&Q ini tergolong dalam kategori kids. Keseluruham jam berwarna merah jambu sesuai untuk digayakan oleh kanak-kanak perempuan.


Dail model 3 hands ini ringkas tanpa day mahupun date. Case dan tali jam diperbuat daripada plastik kecuali penutup belakang  dan crown yang menggunakan stainless steel.


Tahap kalis air jam ialah 10 BAR bersamaan 100 meter. Jam quartz ini dijana oleh kuasa bateri.



Daripada pembacaan saya, keaslian jam Q&Q dapat ditentukan dengan cara berikut: 
  1. Perhatikan bentuk fizikal, tulisan, logo dan lain-lain pada jam. Jam yang tulen buatannya kemas dan terperinci. 
  2. Kemudian, lihat nombor model pada tag di tali jam (semasa pembelian).
  3. Seterusnya, lihat pula nombor model pada bahagian bawah dail. Kanta pembesar diperlukan untuk melihat nombor ini kerana saiznya yang agak kecil.
  4. Jam itu adalah original jika kedua-dua nombor ini sama.

Nombor model jam ialah VP47J020Y. Terdapat tulisan Q&Q pada buckle.


Jenama Q&Q sebenarnya telah lama bertapak dalam pasaran Malaysia. Selain daripada jam kanak-kanak, syarikat ini turut mengeluarkan jam untuk orang dewasa. Saya sendiri pernah melihat seorang lelaki dewasa yang memakai jam berjenama ini.  Bahan yang digunakan bagi pembuatan jam pula tidak tertakluk kepada plastik sahaja malah ada yang menggunakan stainless steel. 

12 April, 2016

ARLOJI (Siri 28)

Seiko 7N43

Seiko adalah salah sebuah syarikat pengeluar jam yang ternama dari Jepun. Perusahaan ini dikatakan bermula sejak tahun 1881 lagi. Orang yang bertanggungjawab sebagai pencetus kepada jenama terkenal ini ialah Kintaro Hattori.


Model 7N43 adalah dress watch untuk lelaki.


Keseluruhan jam diperbuat daripada stainless steel kecuali cermin. Terdapat tingkap hari dan tarikh pada posisi pukul tiga. Dail jam putih bersih kelihatan amat berpadanan dengan marker dan jarumnya yang berwarna keemasan. Luminous yang ada pada marker serta jarum jam dan saat terang di dalam gelap.


Seiko analog ini menggunakan kuasa bateri. Movement asal jam buatan Seiko Time Corporation.



Jam ini sudah berusia kira-kira 15 tahun. Enjin telah ditukar baru kerana crown gagal menjalankan fungsi tetapannya. Semasa dihantar ke kedai jam, saya dinasihatkan berbuat demikian kerana kos untuk membaikpulih hampir menyamai harga pembelian movement baru selain tiada jaminan enjin lama akan berfungsi seperti sediakala. Oleh itu, satu enjin Seiko Epson (jika tidak silap saya) dipasangkan pada jam ini.



Bracelet jam juga telah ditukar kepada tali kulit berjenama Morantz. Hal ini berlaku kerana bracelet yang ada ketat dan tidak sesuai lagi dengan pergelangan tangan saya. Manakala lebihan bracelet yang dipotong suatu ketika dahulu hilang entah ke mana.


Model ini kalis air tetapi tidak dinyatakan tahapnya. Namun begitu, kita semua mengetahui akan ketahanan serta mutu produk-produk buatan Seiko. 

08 April, 2016

ARLOJI (Siri 27)

Rhythm Wall Clock (CMG716BR18 & CMG716BR19) 

Sejarah penubuhan Rhythm Watch CO., LTD bermula  pada tahun 1946. Ia merupakan sebuah syarikat pengeluar jam yang berasal dari negara matahari terbit (Jepun).


Model yang diketengahkan untuk kali ini ialah CMG716BR18 dan CMG716BR19. Kedua-dua jam adalah sama sahaja. Cuma yang berbeza hanyalah warna pada bahagian hadapan case iaitu gold dan silver.




Dail yang berwarna cerah memudahkan kita melihat waktu.



Jam dinding berteknologi quartz ini digerakkan oleh kuasa bateri. Sebiji bateri bersaiz AA digunakan untuk menghidupkan jam dan dianggarkan mampu bertahan selama setahun.


Sebelum ini, saya tidak memberikan perhatian kepada jenama Rhythm kerana menganggap jam keluaran mereka biasa-biasa sahaja. Namun begitu, setelah mendekati dan memahami produk-produk jenama ini saya mula berubah fikiran. Saya melihat ada ciri istimewa pada model-model Rhythm yang mungkin jarang terdapat pada jenama lain. Perbandingan ini dibuat berasaskan jam yang berada dalam kategori/harga yang sama/hampir sama.

Perbezaan dan keistimewaan itu adalah seperti berikut:
  1. Pergerakan jarum saat jam Rhythm biasanya kurang/tanpa bunyi (bunyi ini boleh didengari sekiranya kita mendekatkan telinga dengan jam atau pada waktu malam yang sunyi). Hal ini kerana kebanyakan enjinnya terdiri daripada silent movement.
  2. Movement jam keluaran mereka akan mempunyai cap niaga atau jenama iaitu Rhythm (rujuk gambar di atas).
Untuk pengetahuan semua, Rhythm turut mengeluarkan jam tangannya sendiri. Kita boleh mendapatkan jam tangan syarikat ini di kedai atau butik tertentu. Saya pernah melihat produk ini dijual di gedung perniagaan terkenal sekitar Bukit Bintang, dan Damansara, Kuala Lumpur.

02 April, 2016

ARLOJI (Siri 26)

Bonia BN337

Bonia merupakan jenama fesyen terkenal yang menghasilkan pelbagai produk bermutu termasuk barangan kulit, pakaian dan jam. Pada mulanya, saya menyangka bahawa brand ini dari Eropah. Namun begitu, anggapan saya ternyata meleset kerana perusahaan ini sebenarnya berasal dari Singapura dan sekarang berpangkalan di MALAYSIA..... 



Model ini khusus untuk wanita. Reka bentuknya bulat, kecil, nipis, berwarna keemasan dan menarik. Paparan dail pula adalah ringkas tanpa jarum saat. Jam ini diperbuat daripada stainless steel serta kalis air. Cermin jam belum mempunyai kesan calar walaupun telah lama dipakai.



BN337 ini mungkin sudah tiada di pasaran kerana ia adalah model lama. Seingat saya, Bonia ini dibeli sekitar tahun 2005 di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur.


Jam ini berusia kira-kira 10 tahun. Movement asal telah digantikan dengan enjin yang baru akibat karat. Hal ini berlaku kerana pada masa itu saya belum arif mengenai jam. Bateri lama tidak ditukar dan terdapat wap air pada dail dibiarkan dalam tempoh masa yang lama.


Sekarang, Bonia telah mengeluarkan berbagai-bagai model jam dan yang paling masyhur ialah siri Tesoro.

05 March, 2016

ARLOJI (Siri 25)

G-Shock G-6900 (Solar)

Sekarang, G-Shock telah maju setapak lagi dengan kemunculan model-model terkini yang memikat hati. Antara model tersebut ialah siri keluaran Master of G (Gravitymaster, Gulfmaster, Mudmaster) dan G-Steel. Selain itu, bahan untuk pembuatan jam juga tidak lagi tertumpu kepada resin sahaja malah turut menggunapakai stainless steel dan bercermin sapphire crystal.

Model yang ditampilkan untuk kali ini ialah G-6900. Produk ini berada dalam kategori standard digital. Saya melihat pattern 6900 ini begitu popular di kalangan peminat jam G-Shock Malaysia. Setakat pengetahuan saya, ia merupakan reka bentuk lama yang masih diulang pengeluaran dan berstatus evergreen.


Tahap kalis air jam ialah 20 BAR. Ketepatan masa (accuracy) kira-kira 15 saat per bulan. Ciri-ciri lain yang ada pada jam ini ialah kalendar, stopwatch, penggera dan sebagainya.


Terdapat 3 bulatan meter pada dail. Bulatan pada sebelah kiri untuk battery level/power saver/charging. Bulatan tengah pula menunjukkan alarm/snooze dan meter kanannya memaparkan saat.  

Jam ini berteknologi solar. Permukaan dail yang berwarna hitam itu merupakan solar panel yang disambungkan kepada bateri rechargeable untuk menghidupkan jam.


Butang berhuruf G pada bawah bezel berfungsi untuk menyalakan lampu jam sekiranya ditekan. Nyalaan lampunya blue green adalah selama 2 hingga 3 saat.



G-Shock ini buatan Thailand manakala talinya (band) dari China. Warantinya pula ialah selama satu tahun. Secara keseluruhannya, saya berpendapat jam ini kelihatan cantik dan ringkas. Ia amat sesuai digayakan semasa aktiviti harian, bersantai mahupun bersukan.

01 March, 2016

ARLOJI (Siri 24)

Seiko alarm clock QHK026R

Ulasan saya untuk kali ini tidak lagi tentang jam tangan. Walaupun tajuknya masih ARLOJI (jam tangan) tetapi jam yang saya ingin kongsikan ialah sebuah jam loceng.

Jam loceng ini berjenama Seiko model QHK026R. 


Untuk makluman, jam loceng atau jam dinding yang dibeli biasanya akan dibekalkan bateri (battery included). Bateri yang digunakan oleh jam ini bersaiz C. Jangka hayat bateri dianggarkan selama 10 bulan. Pada masa kecil, kami memanggil bateri seperti ini sebagai ubat lampu.

Pergerakan jarum saat model ini seperti jam automatik dan tanpa bunyi. Dail jam berwarna hitam manakala nombor marker, hand jam dan minit pula putih bersalut lumibrite.


Case jam berbentuk empat segi dan diperbuat daripada plastik, Pada bahagian hadapan dan sisi  case berwarna merah hati (maroon) manakala di belakangnya pula berwarna hitam. Saiz kerangka jam ialah kira-kira 9.6 x 13 x 6.5 cm.  



Nyalaan lampu jam cukup terang untuk kita melihatnya semasa bangkit daripada tidur. Lampu ini boleh dinyalakan dengan menekan butang chrome di atas case. Selain itu, butang ini berfungsi untuk snooze alarm jam. Bunyi loceng jam pula kuat dan nyaring. Sekiranya mahu mematikan terus bunyi penggera itu, kita hendaklah  melaraskan butang on/off yang berada pada belakang jam.

Pada belakang case juga terdapat satu tombol untuk menetapkan fungsi jam dan penggera (set the time/alarm). Bagi memudahkan pengguna,  sehelai kertas berupa instructions ringkas diletakkan di dalam kotak bersama-sama jam ini.


Jaminan jam ini ialah selama 3 bulan sahaja. Tiada kad atau sijil waranti disertakan semasa pembelian. Oleh itu, kita perlu membawa resit jualan dan jam ke kedai yang sama sekiranya rosak.