15 July, 2017

ARLOJI (Siri 56)

Rhythm Clock CMG445NR19


Jam dinding ini berbentuk bulat. Bahagian tepi case berwarna silver.




Dail modelnya putih manakala marker, jarum jam dan minit hitam. Keseluruhan jam menggunapakai bahan plastik kecuali cermin daripada kaca "buncit".




Enjin quartz yang dipasangkan pada CMG445NR19 berjenis senyap (silent silky movement). Ia merupakan movement in-house​ daripada​ Rhythm Watch Co., Ltd. Sebiji battery bersaiz AA diperlukan untuk menjalankan jam.



Sehelai kertas manual penggunaan dan penjagaan jam disertakan di dalam kotak semasa pembelian. Kertas yang dicetak dalam pelbagai bahasa ini penting untuk kita apabila ingin membuat rujukan.


Produk dijual mendapat jaminan selama setahun. Tiada kad jaminan disertakan. Kita hanya perlu menunjukkan invoice di mana-mana cawangan mereka jika jam gagal berfungsi. Warantinya adalah terhad untuk enjin dan bateri sahaja.


Harga jam berpatutan iaitu bawah RM100. Ia dibeli dari sebuah kedai jam yang terletak di Mitsui Outlet Park KLIA, Sepang.

01 July, 2017

ARLOJI (55)

Casio Beside BEM-150L-7AVDF



'Cinta pandang pertama'. Mungkin itulah ungkapan yang paling sesuai untuk saya apabila melihat model ini di Internet.

Gaya persembahan dan kemasan jam ringkas serta menonjolkan ciri-ciri klasik. Harga yang ditawarkan pula berpatutan dengan produk yang dijual. Model khas untuk kaum lelaki.



Case Casio Beside ini bulat tetapi sedikit berbucu pada bahagian lug (TV-shaped). Keseluruhan kerangka jam diperbuat daripada stainless steel manakala cermin berkaca mineral.

Tarikh terletak pada kedudukan pukul 12. Lume hanya disalut di jarum jam dan minit sahaja.




Crown jamnya besar berada pada posisi pukul 3. Dail jam berwarna steel dan mempunyai sub-second. Model yang dipaparkan adalah berteknologi quartz. Cara setting jam mudah menggunakan modul 4746.

Produk ini dikilangkan di China tetapi movement berasal dari Jepun. Tahap kalis airnya ialah 50 meter.

                                                                  



BEM-150 yang saya perolehi ini bertali kulit asli (genuine leather) coklat muda. Buckle jam pula daripada stainless  steel tanpa tanda Casio. 

18 June, 2017

ARLOJI (54)

Aku dan Jam (Bahagian 5)

Rado


Saya adalah peminat setia Rado. Sebutlah apa pun saya tetap menyukai jam berjenama ini terutamanya koleksi Rado Diastar. Minat saya terhadap Rado telah dipupuk sekian lama iaitu ketika dibangku sekolah lagi.

Katalog Rado 2016/2017


Pada waktu itu, sekitar 1990an (jika tidak silap saya) jam berjenama Rado dipakai oleh orang-orang berada (tauke) di kampung. Arwah bapa saya sendiri juga mengenali dan tahu kewujudan jenama ini walaupun tidak pernah memakainya. Bermula detik itulah saya mula memasang angan-angan untuk memilikinya suatu masa nanti. 

Ketika menuntut di universiti arwah bapa dan ibu menghadiahkan seutas jam Rado siri Original berwarna emas kepada saya. Ia merupakan jam tiruan dan warnanya luntur hanya beberapa bulan kemudian. Seingat saya jam tersebut rosak dalam masa setahun. Itulah pengalaman pertama saya 'merasa' Rado. Hadiah itu amat bermakna dan menguatkan azam saya yang sememangnya sukakan jam dari jenama Swiss ini.


Saya meminati Rado Original atas beberapa sebab antaranya ialah:
  1. Rupa bentuk jam dan talinya agak unik dan berbeza daripada yang lain.
  2. Warnanya bersilau, tahan luntur serta goresan dapat dikenali dari jauh lagi.
  3. Cerminnya cembung, bersegi dan tebal tidak seperti kebanyakan jam.
  4. Logo pada dail boleh berputar seperti rotor.
  5. Kedudukan day dan date pada pukul 6.
  6. Dekorasi dail menggunakan batu permata asli.
  7. Clasp boleh diregangkan mengikut pergerakan tangan.
  8. Beratnya sederhana serta selesa dipakai. 
Clasp boleh diregangkan

Sekarang, apabila pulang ke kampung saya melihat sudah ramai orang memakai Rado. Boleh dikatakan semua golongan tanpa mengira lelaki atau perempuan pelbagai peringkat umur sudah mampu mendapatkannya. Mereka ini terdiri daripada tauke, peniaga, penjual, pemandu teksi, pekerja biasa dan orang perseorangan. Apabila ke pekan, pasar minggu, pasar Ramadan hatta pergi membeli ikan pun saya selalu melihat orang memakai jam berjenama ini. Rado Diastar berwarna emas amat popular di tempat kami. Oleh itu, apabila melihat orang yang memakai Rado (Diastar aka Original) di Kuala Lumpur saya dapat mengagak bahawa mereka mungkin orang dari Pantai Timur.

Poskad Rado


Pada saya Rado adalah 'jam' dan perhiasan pelengkap bagi seseorang. Jika seseorang lelaki itu mengenakan 'seketul' Rado pada pergelangan tangannya bersama sebentuk cincin di jari manis sudah cukup untuk kelihatan bergaya walaupun berpakaian biasa-biasa sahaja.  Cuma, janganlah ada perasaan riak atau merasa megah kerana perbuatan itu amat dilarang oleh Allah. Saya juga kurang bersetuju dengan pemakaian Rado berwarna emas oleh kaum lelaki walaupun sememangnya cantik. Saya bukanlah pandai soal hukum namun adalah lebih baik kita elakkannya.



Semasa berkunjung ke salah sebuah butiknya di Kuala Lumpur pada 2013, salesman yang bekerja di situ mengesahkan bahawa Rado mempunyai peminat tersendiri. Antara penggemar jam berjenama Rado ialah penduduk sekitar Pantai Timur (terutama Kelantan dan Terengganu), Sabah dan sebuah negeri yang saya telah lupa namanya. Katanya lagi, di negeri Kelantan terdapat otai-otai Rado yang hebat dalam urusan jual beli jam jenama ini. Semasa kunjungan itu, saya dihadiahkan sebuah buku koleksi jam-jam keluaran Rado berserta sehelai kertas harganya (retail price sheet) sekali. Daripada perbualan singkat bersamanya saya mengakui bahawa beliau seorang yang berpengalaman dan 'tahu' produk yang dijual.

Selain itu, saya sendiri pernah ke service center Rado (Swatch Group Malaysia) di tingkat 22, Wisma Goldhill, Jalan Raja Chulan bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

Kad jaminan

Untuk pengetahuan semua, jika kita membawa jam untuk dibaiki atau diselenggara secara walk-in ke sana adalah lebih cepat berbanding meminta butik/kedai authorised dealer  yang melakukannya. Tempoh masa yang diambil ialah kira-kira sebulan dan kita akan diberitahu melalui telefon sekiranya jam tersebut telah disiapkan.

*Tips
Berdasarkan pengalaman saya, kita sebenarnya boleh mendapatkan khidmat percuma untuk pemotongan, penambahan atau menebuk lubang tali jam dari butik/authorised dealer  (bukan kedai jam) jenama jam yang dipakai. Tiada tempoh masa atau caj dikenakan terhadap pelanggan.   

01 May, 2017

Happy Labour Day


Selamat Hari Buruh dan selamat bercuti.

Kita semua adalah "pekerja" (hamba). Taatilah kepada "tuan" kita iaitu Allah. Manfaatkan ruang dan peluang masa cuti bersama-sama keluarga. Bersyukurlah dengan apa yang ada .....

21 April, 2017

ARLOJI (53)

Casio MQ-71-2BDF


Item yang saya ingin perkenalkan untuk kali ini diperolehi menerusi platform Lazada. Cara pembungkusannya kemas dan tiba dalam masa kira-kira 2 hari sahaja.


Model MQ-71-2BDF bergaya military. Ia bersaiz kecil sangat sesuai bagi kanak-kanak.


Case jam bulat berukuran 35mm. Marker pula menggunakan sistem nombor 24 jam berwarna biru. Jam dalam siri MQ-71 dikeluarkan dengan 3 pilihan warna (marker) iaitu white, blue dan orange.



Jam ini buatan China tetapi berinjin Jepun (Japan movement). 




Dail jam gelap manakala jarumnya bersalut lume cerah pada waktu malam. Ia tiada paparan tarikh atau hari.
                                                                         


Jam analog  3 hands (hour/minutes/second) ini berteknologi quartz. Jangka hayat bateri sekitar 3 tahun. Setakat apa yang saya ketahui, ketahanan battery turut bergantung kepada cara penggunaan jam tersebut. Tahap kalis air 5 ATM.



Tali jam hitam daripada resin. Buckle plastic dan "gelang getah" tertulis perkataan CASIO.



Produk ini dijamin selama 6 bulan (supplier warranty).  MQ-71-2BDF ini menyerupai "abangnya" MW-240-2BV yang bersaiz lebih besar.

31 March, 2017

ARLOJI (52)

Jam Dinding Pentec

Pernahkah anda melihat atau mendengar jam berjenama Pentec?  Saya pasti ramai yang tidak tahu akan kewujudan merk ini termasuklah saya.  Saya menjumpai jam ini ketika bertandang ke rumah salah seorang kakak sewaktu pulang bercuti bersama keluarga. Sebenarnya, ia telah lama tergantung pada dinding rumah itu. Cuma, saya tidak mengambil peduli akannya kecuali untuk menengok masa kerana beranggapan jam ini produk "pasar malam" sahaja. Usia jam seingat saya sudah melebihi 15 tahun.



Secara asasnya model ini berbentuk empat segi, ringkas dan diperbuat menggunakan material plastik. Jam dihidupkan dengan sebiji bateri bersaiz AA.



Tiada apa yang menarik kecuali perkataan MALAYSIA di sudut bawah dail. Saya jarang bertemu dengan jam yang tertera nama negara kita tercinta. Hal ini menimbulkan satu perasaan bersyukur serta bangga  kerana kita mampu mencatat nama dalam bidang yang selalunya dikuasai oleh Jepun, Swiss dan China.



Model ini menggunapakai movement sendiri iaitu Pentec (rujuk gambar di bawah).


Tuntasnya, product ini memberi impak besar kepada saya walaupun hanya sebuah jam. Kita mampu melakukan sesuatu yang dihajati sekiranya tekun berusaha. Malaysia Boleh!