30 September, 2016

ARLOJI (Siri 40)

Orient Diver SEL06001D




Jam ini dikenali sebagai "The Beast". Rupa bentuknya tegap, bersaiz "bagak", kukuh dan berada dalam kategori diver siri M-force.

Ia merupakan produk analog yang ditala oleh enjin mechanical Orient caliber 40N5A. Enjin yang dipasangkan pada modelnya jenis automatik self-winding dan hand-winding (kunci). Selain itu, jam ini bersistem hack iaitu jarum saat berhenti apabila kita melaraskan masa. Bahagian bawah dail ada power reserve indicator. Kuasa simpanan penuhnya selama 40 jam.


Product ini mendapat penarafan ISO 6425 diver's watches, ISO 764 antimagnetic watches dan ISO 1413 shock-resistant watches.

Jam ini agak berat apabila dikenakan pada pergelangan tangan. Keadaan ini mungkin akan menyebabkan rasa lenguh dan kurang selesa kepada mereka yang jarang memakai jam seumpamanya. Diameter jam berukuran 47.00mm dan berketebalan (thickness) 13.3mm.


Marker dan hands besar senang untuk kita melihat waktu walaupun di dalam air. Luminous jam terang dan tahan lama.


Bezel hitamnya boleh diputar secara sehala dengan 120 klik. Dail jam berwarna dark blue dan bercermin sapphire crystal. Model ini buatan Jepun. Tahap kalis airnya ialah 200 meter.




Crown jam besar dan berskru (screw down crown). Kita perlu memutarkan crown menjadi longgar sebelum menariknya untuk penetapan fungsi jam dan hari bulan. Terdapat logo Orient pada crown. Crown jam berada pada kedudukan pukul 9 serta dilindungi  crown guards.


Bracelet jam solid (besi padu) serta mempunyai safety clasp. Clasp seperti ini penting bagi jam diver sebagai langkah keselamatan tambahan untuk mengelakkannya tertanggal semasa dipakai terutamanya ketika aktiviti air.

Jam ini amat sesuai untuk kegiatan selam di laut. Cuma, bilaslah dengan air bersih selepas selesai menggunakannya.

*Ujian
Jam ini pernah digunakan untuk snorkeling tanpa sebarang masalah. Saya tiada kemahiran, pengalaman atau lesen scuba diving untuk menguji lebih lanjut tentang kemampuan model ini.

15 September, 2016

ARLOJI (Siri 39)

Kaedah Memperkenalkan Jam Kepada Kanak-kanak 

Selain orang dewasa, golongan kanak-kanak sebenarnya turut memerlukan jam. Keperluan ini bukanlah wajib tetapi lebih kepada mendidik atau mengajar mereka tentang asas nombor dan kepentingan masa. Ia juga terdapat dalam sllyabus (sukatan pelajaran) mata pelajaran Matematik sekolah rendah.

Saya membahagikan kepada empat peringkat untuk kita  mendedahkan jam kepada kanak-kanak. Kanak- kanak yang saya maksudkan di sini ialah berumur antara 4 hingga 12 tahun.

Tahap 1
Ini adalah tahap permulaan kanak-kanak diperkenalkan dengan jam. Pada peringkat ini jam yang dipilih seharusnya menarik dan bersesuaian dengan jiwa mereka. Kebiasaannya mereka sukakan jam yang berwatak cartoon atau superhero yang ditonton di televisyen. Aspek nombor dan masa belum dipentingkan. Kita hanya melatih mereka agar selesa memakai jam sahaja.

Jam replika (tanpa fungsi)



Tahap 2
Pada tahap ini kita sudah boleh memperkenalkan nombor kepada mereka. Pastikan kita mengajar anak-anak sekurang-kurangnya nombor 1 hingga 12 terlebih dahulu. Tetapi jika mampu ajarlah mereka hingga nombor 60 atau 100. Hal ini penting kerana ia akan memudahkan mereka melihat jam yang ada di tangan sendiri. Jenis jam yang sepadan dengan mereka ialah digital.


Tahap 3
Selepas dapat membaca jam bernombor digital, kita hendaklah berusaha mengajar mereka tentang jam analog-digital atau analog pula. Pada waktu ini  pastikan kita membeli jam yang marker bernombor 1 hingga 12 supaya  anak-anak senang melihatnya. Mula-mula ajarlah mereka menengok jarum pendek (hand hour) sahaja. Kemudian, barulah beritahu tentang jarum minit dan saat.


Tahap 4
Ini merupakan tahap terakhir kanak-kanak belajar tentang jam. Berikan mereka jam analog 3 hands yang tiada bernombor. Ajar dan suruh mereka membaca jam sendiri. Lama-kelamaan mereka akan faham.



Di sini juga saya kongsikan sedikit tips sebagai panduan pembelian jam kanak-kanak :
  1. Belilah jam yang murah terlebih dahulu sebagai permulaan.
  2. Pastikan nombor pada dail besar, jelas dan senang dilihat. Jam kronograf kurang sesuai kepada mereka.
  3. Pilihlah reka bentuk dan saiz yang sepadan dengan pergelangan tangan anak-anak. Jika perlu, mintalah bantuan pekerja kedai jam untuk menebuk lubang atau memotong tali jam.
  4. Tali yang paling sesuai dengan anak-anak ialah tali plastik/getah.
  5. Carilah jam yang mempunyai kalis air (water resistant).
  6. Beritahu mereka secara ringkas berkaitan cara pemakaian dan keselamatan jam. 

Namun begitu, saya sama sekali tidak menyokong pemakaian jam untuk kanak-kanak berumur 3 tahun ke bawah. Mereka ini pada saya belum dapat menghargai atau mengetahui apa-apa tentang jam. Selain itu, jam yang dipakainya juga mungkin boleh mendatangkan kecederaan dalam situasi tertentu.