12 April, 2016

ARLOJI (Siri 28)

Seiko 7N43

Seiko adalah salah sebuah syarikat pengeluar jam yang ternama dari Jepun. Perusahaan ini dikatakan bermula sejak tahun 1881 lagi. Orang yang bertanggungjawab sebagai pencetus kepada jenama terkenal ini ialah Kintaro Hattori.


Model 7N43 adalah dress watch untuk lelaki.


Keseluruhan jam diperbuat daripada stainless steel kecuali cermin. Terdapat tingkap hari dan tarikh pada posisi pukul tiga. Dail jam putih bersih kelihatan amat berpadanan dengan marker dan jarumnya yang berwarna keemasan. Luminous yang ada pada marker serta jarum jam dan saat terang di dalam gelap.


Seiko analog ini menggunakan kuasa bateri. Movement asal jam buatan Seiko Time Corporation.



Jam ini sudah berusia kira-kira 15 tahun. Enjin telah ditukar baru kerana crown gagal menjalankan fungsi tetapannya. Semasa dihantar ke kedai jam, saya dinasihatkan berbuat demikian kerana kos untuk membaikpulih hampir menyamai harga pembelian movement baru selain tiada jaminan enjin lama akan berfungsi seperti sediakala. Oleh itu, satu enjin Seiko Epson (jika tidak silap saya) dipasangkan pada jam ini.



Bracelet jam juga telah ditukar kepada tali kulit berjenama Morantz. Hal ini berlaku kerana bracelet yang ada ketat dan tidak sesuai lagi dengan pergelangan tangan saya. Manakala lebihan bracelet yang dipotong suatu ketika dahulu hilang entah ke mana.


Model ini kalis air tetapi tidak dinyatakan tahapnya. Namun begitu, kita semua mengetahui akan ketahanan serta mutu produk-produk buatan Seiko. 

08 April, 2016

ARLOJI (Siri 27)

Rhythm Wall Clock (CMG716BR18 & CMG716BR19) 

Sejarah penubuhan Rhythm Watch CO., LTD bermula  pada tahun 1946. Ia merupakan sebuah syarikat pengeluar jam yang berasal dari negara matahari terbit (Jepun).


Model yang diketengahkan untuk kali ini ialah CMG716BR18 dan CMG716BR19. Kedua-dua jam adalah sama sahaja. Cuma yang berbeza hanyalah warna pada bahagian hadapan case iaitu gold dan silver.




Dail yang berwarna cerah memudahkan kita melihat waktu.



Jam dinding berteknologi quartz ini digerakkan oleh kuasa bateri. Sebiji bateri bersaiz AA digunakan untuk menghidupkan jam dan dianggarkan mampu bertahan selama setahun.


Sebelum ini, saya tidak memberikan perhatian kepada jenama Rhythm kerana menganggap jam keluaran mereka biasa-biasa sahaja. Namun begitu, setelah mendekati dan memahami produk-produk jenama ini saya mula berubah fikiran. Saya melihat ada ciri istimewa pada model-model Rhythm yang mungkin jarang terdapat pada jenama lain. Perbandingan ini dibuat berasaskan jam yang berada dalam kategori/harga yang sama/hampir sama.

Perbezaan dan keistimewaan itu adalah seperti berikut:
  1. Pergerakan jarum saat jam Rhythm biasanya kurang/tanpa bunyi (bunyi ini boleh didengari sekiranya kita mendekatkan telinga dengan jam atau pada waktu malam yang sunyi). Hal ini kerana kebanyakan enjinnya terdiri daripada silent movement.
  2. Movement jam keluaran mereka akan mempunyai cap niaga atau jenama iaitu Rhythm (rujuk gambar di atas).
Untuk pengetahuan semua, Rhythm turut mengeluarkan jam tangannya sendiri. Kita boleh mendapatkan jam tangan syarikat ini di kedai atau butik tertentu. Saya pernah melihat produk ini dijual di gedung perniagaan terkenal sekitar Bukit Bintang, dan Damansara, Kuala Lumpur.

02 April, 2016

ARLOJI (Siri 26)

Bonia BN337

Bonia merupakan jenama fesyen terkenal yang menghasilkan pelbagai produk bermutu termasuk barangan kulit, pakaian dan jam. Pada mulanya, saya menyangka bahawa brand ini dari Eropah. Namun begitu, anggapan saya ternyata meleset kerana perusahaan ini sebenarnya berasal dari Singapura dan sekarang berpangkalan di MALAYSIA..... 



Model ini khusus untuk wanita. Reka bentuknya bulat, kecil, nipis, berwarna keemasan dan menarik. Paparan dail pula adalah ringkas tanpa jarum saat. Jam ini diperbuat daripada stainless steel serta kalis air. Cermin jam belum mempunyai kesan calar walaupun telah lama dipakai.



BN337 ini mungkin sudah tiada di pasaran kerana ia adalah model lama. Seingat saya, Bonia ini dibeli sekitar tahun 2005 di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur.


Jam ini berusia kira-kira 10 tahun. Movement asal telah digantikan dengan enjin yang baru akibat karat. Hal ini berlaku kerana pada masa itu saya belum arif mengenai jam. Bateri lama tidak ditukar dan terdapat wap air pada dail dibiarkan dalam tempoh masa yang lama.


Sekarang, Bonia telah mengeluarkan berbagai-bagai model jam dan yang paling masyhur ialah siri Tesoro.