01 July, 2021

ARLOJI (Siri 130)

Kotak Jam

Alhamdulillah. Akhirnya, saya mempunyai sebuah watch box sendiri. Sebelum ini saya hanya menyimpan koleksi jam di dalam kotak kasut.

Perjuangan mendapatkan kotak jam yang sesuai agak panjang.  Pada bulan Mei tahun 2020, saya telah membeli kotak jam kayu daripada seller negara China. Namun, sayang box dua tingkat tersebut rosak ketika dalam perjalanan. Saya membuat return dan berjaya memperoleh wang kembali.


Seterusnya, saya berusaha menghubungi penjual kotak kayu secara dalam talian dari Shah Alam. Tetapi perbincangan itu cuma sekerat jalan. Selain itu, saya turut mencari peniaga watch case di mana-mana tapak jualan online melalui Google namun tetap gagal. Saya berasa kurang yakin dengan perkhidmatan dan harga yang ditawarkan. Saya turut bertanya kepada rakan dan saudara terdekat jika ada mengenali pembuat kotak kayu tetapi hampa.

Kemudian, pada penghujung tahun 2020 saya sekali lagi membuat tempahan kotak jam 20 slot dari Johor pula. Malangnya kotak diterima juga tetap ada kerosakan. Wang saya dipulangkan semula. Pada waktu itu saya berasa sedikit putus asa.

Selanjutnya, saya mengambil keputusan untuk cuba mencari bekas tersebut di kedai atau pemborong jam tangan. Saya ke Chow Kit. Saya bertanya dan mencari di banyak kedai. Keputusannya tetap sama iaitu gagal. Tiada kotak yang diingini.

Setelah perasaan kembali tenang, saya bertekad untuk terus mencari peti simpanan jam. Kali ini saya menggunakan platform Shoppe. Saya mendapati seorang seller dari Kedah ada menjual barang yang dikehendaki. Komen pembeli terhadap beliau juga amat positif dan meyakinkan.
 

Saya memesan item ini pada 5 Februari 2021. Beliau seorang yang prihatin. Barang yang dijual dibungkus sangat rapi. Harga yang ditawarkan berpatutan. Saya menerima parcel dalam keadaan baik pada 8 Februari 2021. Bungkusan dihantar menggunakan Poslaju.



Kotak yang saya perkatakan mempunyai 8 slot sahaja. Saya tidak membeli watch box yang lebih besar kerana masih berasa bimbang jika pecah lagi di tengah jalan.



Kotak empat segi sama ini cantik dan diperbuat daripada kayu. Bahagian atasnya bercermin plastik keras lut sinar.



Setiap ruang penyimpanan jam ada sebiji bantal baldu kecil berwarna hitam. Di dalam watch case turut disertakan sehelai tuala kecil pengelap jam.



Keistimewaan kotak ini ialah ruang jamnya lebih besar daripada slot kotak jam standard. Jam saya yang berdiameter besar masih boleh dimuatkan.



Produk tanpa jenama yang saya perkenalkan ditutup menggunakan selak colour silver.


Bahagian tepi belakang kotak terdapat 2 engsel. Setiap sudut dibuat kemas dan rapi.

No comments:

Post a Comment