17 December, 2012

Bicara Akhir Tahun 2012

Sepanjang tahun 2012, penulis agak menyepikan diri daripada menghasilkan sebarang komentar atau ulasan untuk tatapan semua. Apabila difikirkan semula, rasanya agak kurang adil  kerana sepanjang tempoh ini banyak perkara yang telah berlaku dan berlalu begitu sahaja.

Pada kali ini, penulis berasa ingin sekali mengajak audien berbicara mengenai sikap dan tabiat manusia. Tingkah laku dan perangai manusia sememangnya terlalu kompleks dan ternyata sukar untuk difahami. Hal ini bergantung kepada kefahaman individu tersebut dan cara seseorang itu menjalani kehidupan.

Setiap orang mempunyai hala tuju kehidupan yang tersendiri. Namun begitu, secara umumnya dapatlah disimpulkan bahawa semua mengimpikan kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Cara seseorang mencorakkan kehidupan seharian dipengaruhi oleh diri sendiri, keluarga, masyarakat dan persekitaran. Kesemua faktor ini memainkan peranan penting apabila individu tersebut membuat sebarang keputusan. Hasil keputusan yang diambil kadang kala dilihat sangat tepat dan sesuai dengan kehendak semasa tetapi agak merugikan untuk tempoh jangka panjang.

Oleh itu, cubalah berfikir di luar kotak. Berfikirlah sejelas-jelasnya sebelum mengambil sebarang keputusan. Ini kerana dalam mengharungi liku-liku kehidupan banyak cabaran dan dugaan yang akan ditempuhi. Kejayaan seseorang bergantung kepada nilai yang ada pada dirinya, kerja keras, ketabahan dan fokus kepada apa yang diingini.

Jangan sesekali berhasad dengki dengan kejayaan orang lain. Contohi kesabaran dan pengorbanan mereka dalam menggapai kejayaan. Pelajari ilmu kehidupan mereka agar kita juga menjadi sepertinya. Selain itu, berserahlah kepada Allah.....

"Benih yang disemai hari ini bukanlah untuk dituai esok tetapi mungkin generasi kita seterusnya yang mendapat manfaat" 

15 August, 2011

Hindari Keilatan Diri dan Keluarga

Masanya hampir tiba.....

Para pemastautin kota raya akan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya. Ibarat "Sirih pulang ke gagang". Mereka berpusu-pusu keluar menuju haluan masing-masing. Kenderaan akan bertali-arus di jalanan sama ada di lebuh raya, jalan persekutuan mahu pun di jalan-jalan bandaran. Bagi yang belum berkeluarga atau masih belum memiliki kenderaan sendiri, carilah pengangkutan awam yang bersesuaian.

Hal ini turut terjadi kepada penulis. Kami sekeluarga akan pulang ke pantai timur tanah air menemui keluarga luas. Rasa seronok apabila memikirkan perkara ini. Akan tetapi, penulis ingin berpesan kepada diri sendiri dan semua agar dalam keseronokan pulang janganlah dilupakan tentang aspek keselamatan. Jadikanlah ia perkara utama sebelum memulakan perjalanan. Dapatkan rehat secukupnya serta tentukan masa perjalanan yang sesuai. Semoga perjalanan kita akan tiba dengan selamat. InsyaAllah.

Bak kata pepatah Melayu.....
Biarlah lambat, Asal selamat.

21 July, 2011

Kekalutan Dunia

Dewasa ini, dunia digegarkan dengan pelbagai isu dan kepincangan. Para penghuninya sering bertelagah sesama sendiri berebutkan takhta, kuasa dan harta. Sesiapa yang dirinya "perkasa" akan dijulang manakala golongan marhaen yang lemah terus ditindas. Mereka yang berkuasa bertindak seolah "ingin menongkat langit". Itulah hakikat dunia masa kini.

Seluruh dunia mengalami fenomena yang sama. Di dada akhbar jelas terpampang bagaimana Israel menghancurkan sebuah negara kecil bernama Palestin. Hal yang sama turut terjadi di beberapa buah negara timur tengah yang lain dan benua Afrika.

Namun begitu, usah difikirkan rantau teluk atau pelusuk bumi lain yang bergolak. Tumpukan perhatian kita di negara sendiri. Malaysia bumi bertuah. Perlukah kita bertindak sedemikian seperti mereka? Tiadakah jalan penyelesaian selain daripada berdemostrasi? Perlukah kita berarak di jalanan untuk menunjukkan ketidakpuasan hati? Di manakah nilai-nilai akal budi yang kita pegang teguh selama ini?

Justeru itu, berfikirlah dengan tenang. Setiap manusia di bumi ini berhak untuk hidup dengan harmoni. Gunakan fikiran dan tenaga untuk memajukan negara. Sekiranya inginkan perubahan gunakan saluran tertentu supaya ia adil dan saksama. Gunakan hak kita yang sepatutnya supaya hak orang lain juga turut terbela. Peribahasa Melayu ada menyatakan.......

Akibat nila setitik,
Rosak susu sebelanga.

15 August, 2010

Pengertian Ramadan

Bulan Ramadan yang penuh keberkatan tiba lagi. Penulis amat bersyukur kerana masih lagi diberikan nikmat kehidupan. Bulan Ramadan adalah penghulu segala bulan. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam lailatulqadar. Sesiapa yang beramal dan membuat kebaikan pada bulan ini akan diberikan ganjaran pahala yang melimpah-ruah. Dosanya akan diampunkan seolah-olah bayi yang baru lahir.

Namun, adakah kita sebenarnya berpuasa? Persoalan ini sering kali timbul di benak penulis. Pada kebiasaannya, kita terlalu sibuk dengan segala macam perkara yang remeh. Kita selalunya didodoikan dengan keasyikan menyediakan juadah untuk berbuka dan persiapan hari raya. Berapa jeniskah lauk-pauk untuk hari ini? Berapa pasang bajukah untuk hari raya? Kuih raya hendak dibuat sendiri atau ditempah? Kesemuanya ini melalaikan kita daripada beribadah. Setiap hari dihitung kerana tidak sabar menyambut lembaran yang bakal menjelma.

Justeru itu, ingin sekali penulis mengingatkan diri sendiri dan pembaca agar janganlah leka dan lari daripada tujuan asal. Rebutlah peluang dan raikan Ramadan dengan sepertinya. Jangan boros berbelanja kerana Ramadan mendidik kita menginsafi diri dan mengerti kesusahan orang lain. Tuhan tidak menilai juadah dan pakaian yang disediakan tetapi amalan ibadah yang dilakukan.

31 July, 2010

Jurutera Minda

Sukar sekali untuk meneka apakah yang dimaksudkan sebagai "jurutera minda"? Pada kebiasaannya, kita tidak didedahkan dengan rangkaian perkataan seperti di atas sebelum ini. Namun, penulis sedaya upaya akan cuba mengupas topik ini sebaik mungkin untuk tatapan semua.

"Jurutera minda" adalah merujuk kepada diri pendidik yang bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu dan sahsiah. Sebagai individu yang berkecimpung dalam bidang ini mereka mestilah terpelajar dan berpengetahuan luas. Tahap keilmuan mereka hendaklah jauh lebih tinggi berbanding orang lain. Perilaku guru mestilah boleh dijadikan "role model".

Seorang pendidik perlu mempunyai "roh" atau semangat untuk mengajar. Mereka hendaklah ikhlas dan jujur dalam menjalankan tugas. Tanggungjawab ini amat berat dan memerlukan pengorbanan yang besar. Kepincangan seorang guru akan mengakibatkan satu generasi manusia musnah. Banyak jiwa akan "mati" sebelum mereka meninggalkan dunia.

Dewasa ini banyak berlaku kekusutan di antara guru dan masyarakat. Masyarakat sekarang mulai hilang nilai hormat akan guru mereka. Guru dilihat seolah seorang "pesalah" dalam mendidik anak-anak. Budaya seperti ini banyak berlaku dalam masyarakat moden berbanding masyarakat tradisi.

Oleh itu, penulis mengajak masyarakat menilai semula pandangan suram terhadap seorang guru. Guru merupakan orang kedua yang rapat dengan anak-anak selepas ibu dan bapa mereka. Guru bukan sahaja mencurahkan ilmu kepada murid malah turut bertanggungjawab dalam pembentukan peribadi generasi akan datang. Ibu dan bapa hanya mengasuh 5 orang anak sendiri sahaja tetapi guru mengasuh lebih 30 orang anak di dalam kelasnya.

"Guru umpama lilin,
Menerangi kegelapan dengan membakarkan dirinya sendiri".

23 July, 2010

Kesantunan Berbahasa

Bahasa merupakan satu alat atau mekanisme perhubungan. Mengikut adab dan adat budaya Melayu, kesantunan berbahasa amat dititikberatkan dalam masyarakat. Pertuturan individu dengan individu yang lain mestilah beralas dan mengikut situasi. Kata ganti nama digunakan untuk menunjukkan rasa hormat penutur terhadap pendengarnya. Bahasa yang digunakan pula mestilah tidak menyinggung perasaan orang lain. Teguran atau nasihat diungkapkan secara sopan dan halus. Hal ini amat jelas terbukti menerusi pantun, seloka, syair dan sebagainya.

Namun nilai positif ini tidak diwarisi oleh masyarakat Melayu kini. Perubahan corak kehidupan seolah memaksa mereka melupakan kesemuanya. Percakapan di antara ahli keluarga agak kasar dan kurang sopan. Penggunaan perkataan "aku" sebagai ganti diri sewaktu di rumah menjadi kebiasaan. Pengajaran dan penerapan nilai-nilai murni di sekolah kelihatan kurang berkesan. Keadaan menjadi bertambah keliru apabila masyarakat sekarang tidak mengambil endah akan hal ini.

Tindakan mencampuradukkan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu semasa bertutur turut menjejaskan kesopanan dalam berbahasa. Perkara seperti ini biasa berlaku di pejabat atau tempat kerja. Perkataan "i" dan "you" lancar keluar dari bibir orang yang bergelar Melayu berbanding perkataan "saya".

Selain itu, aspek tulisan turut mempengaruhi kesantunan berbahasa. Kehadiran telefon bimbit dengan pesanan ringkas menyebabkan orang ramai terikut-ikut dengan budaya menulis ringkas. Ayat atau perkataan yang diringkaskan hanya difahami oleh pengirim dan penerima sahaja. Contohnya, huruf "g" bagi menggantikan perkataan "pergi". Sekiranya perkara ini tidak dibendung, lama-kelamaan ia akan menjadi sebati dan sukar dikikis dalam budaya masyarakat.

Oleh itu, penulis menyarankan agar semua mengembalikan semula warisan tradisi orang Melayu dalam berbahasa. Nilai Melayu tradisi tidak perlu diubah dan hanya perlu ditokok tambah. Budaya yang positif perlu dikekalkan manakala yang berubah hanyalah masa.

"Betulkan perkara yang biasa,
Biasakan perkara yang betul."

Salam daripada Penulis

Setelah hampir setahun blog diaktifkan, baru kini penulis terpanggil untuk mencatat sesuatu buat tatapan semua terutama kaum keluarga terdekat.

Mungkin sekarang semua terlalu sibuk dengan kehidupan peribadi, namun sekiranya ada kelapangan waktu cubalah lakukan sesuatu sebagai tanggungjawab untuk mempereratkan hubungan sesama kita. Kadang-kadang hambatan dunia menyebabkan kita seolah terlupa untuk bermasyarakat. Keluarga sendiri sukar bertemu muka. Panggilan telefon dan mesej jarang sekali. Hubungan keluarga asas dan keluarga kembangan semakin goyah. Jalinan ikatan persaudaraan mulai rapuh akibat isu-isu yang remeh.

Justeru itu, marilah kita mengembalikan tautan ikatan kekeluargaan agar kehidupan lebih sejahtera dan harmoni.