30 July, 2016

ARLOJI (Siri 36)

Citizen Diver EP6044-01E 

Citizen merupakan salah sebuah syarikat gergasi jam yang berasal dari Jepun. Perusahaan ini bermula pada tahun 1918. Motto Citizen ialah "Better Starts Now".

Model yang diperkenalkan ini daripada baka Promaster. Selain itu, mereka turut mengeluarkan koleksi lain antaranya Citizen L, Citizen xC dan Mechanical.

Saya melihat jam-jam keluaran Citizen sekarang lebih bertumpu kepada teknologi Eco-Drive (solar) sebagai sumber tenaganya. Teknologi ini telah digunakan sejak 40 tahun yang lalu.


Promaster ini untuk perempuan. Citizen EP6044-01E ini menggunakan calibre number E068. Ia adalah model diver yang mempunyai daya ketahanan air sedalam 200 meter. Setakat pemerhatian saya, jentera selam untuk wanita adalah kurang berbanding untuk golongan lelaki yang berlambak di pasaran. 



Kerangka jam bulat berwarna keemasan. Bezel boleh diputar sehala (lawan jam) sebanyak 60 klik. Cermin jam tidak kalis calar. Oleh itu, satu lapisan plastik dilekatkan pada cerminnya sebagai perlindungan tambahan. Plastik ini bertindak sama seperti screen protector pada permukaan skrin handphone. Untuk pengetahuan semua, plastic ini dijual secara berasingan dan boleh dibeli di kedai jam sekiranya mahu.

Dail jam hitam manakala marker dan jarumnya pula berwarna emas dengan luminous. Jam analog ini berdetik menggunakan punca kuasa Eco-Drive. Model ini dilengkapi overcharge prevention function untuk mengelakkan jam dicaj secara berlebihan. Ia juga mempunyai insufficient charge warning function. 



Caseback jam dibuat daripada stainless steel dan sarat dengan maklumat berkaitan jam. Antara perkataan "mahal" yang tertera pada bahagian belakang ini ialah DO NOT OPEN / SERVICE CENTRE REPAIR ONLY. Selain itu, jam ini anti-magnetic 4800.




Crown jam jenis screw down crown (skru berkunci) dan berlambang Promaster. Skru seperti ini biasanya hanya ada pada crown jam selam sahaja.


Band jam daripada silicone. Logo Promaster turut terdapat pada buckle.




Jam ini diberikan jaminan selama 3 tahun untuk kegunaan di negara Brunei, Malaysia dan Singapura. 

Pada pemerhatian saya, jenama Citizen kurang mendapatkan tempat di pasaran Malaysia. Mereka tiada agen pengedar sah (yang besar seperti Casio dan Seiko) di sini. Cawangan terdekat mereka terletak di Singapura. Walau bagaimanapun syarikat ini ada service center di Subang Jaya.

*Ujian
Jam ini pernah dibawa snorkeling oleh pemiliknya. Jam berfungsi dengan baik.

15 July, 2016

ARLOJI (Siri 35)

Rusch dari IKEA

IKEA merupakan sebuah syarikat yang menjual pelbagai alat kelengkapan rumah. Syarikat ini berasal dari Sweden. Perniagaan mereka telah berkembang ke serata dunia termasuklah Malaysia. Di negara kita IKEA mempunyai dua cawangan iaitu di Damansara dan Cheras (Jalan Cochrane) .

Gudang mereka menjual berbagai-bagai barangan seperti perabot, kelengkapan dapur, lampu hiasan, jam dan sebagainya. Namun begitu, mereka hanya menjual beberapa model jam dinding dan jam meja/alarm keluaran sendiri sahaja.

Jam ini dinamakan Rusch. Case jam berbentuk bulat dan berwarna putih. Marker model ini pula menggunakan digit nombor berwarna hitam. Keseluruhan jam diperbuat daripada plastik.


Design jam dihasilkan oleh K Hagberg/M Hagberg. Gambar-gambar pada kali ini saya ambil sebelum pembungkusnya dibuka lagi.



Produk ini dikilangkan di China. Enjin jam dihidupkan menggunakan sebiji bateri bersaiz AA.



Setakat pengetahuan saya,  jam ini agak tahan. Harganya pula amat murah dan mampu dibeli oleh orang ramai. Jam ini sesuai diletakkan di dapur atau di bilik tidur anak-anak.

01 July, 2016

ARLOJI (Siri 34)

Casio MDV-106

Jam ini digelar sebagai Casio Marlin. Ia berada dalam kategori DURO. 

Saya membelinya secara dalam talian dari USA. Urusan penghantarannya mengambil masa kira-kira sebulan. Cara pembungkusannya baik dan kemas serta tidak merosakkan jam. Jam ini diposkan kepada saya tiba tepat seperti yang dijanjikan.


Jam ini didatangkan dengan set lengkap iaitu kotak Casio, watch stand dan user's guide (module 2784). Tiada jaminan diberikan untuk jam ini.




Jam analog ini berbentuk bulat dengan cermin mineral. Bezel pula "bergigi" boleh diputar secara one way rotating sebanyak 120 clicks.


Dail jam hitam manakala marker dan jarumnya berwarna putih dengan tambahan sedikit luminous/lumibrite. Nyalaan luminous/lumibrite ini adalah sederhana terang. Terdapat tarikh (date display) pada pukul 3.


Water resistant model ini 200 meter. Terdapat gambar ikan Marlin (swordfish) pada posisi pukul enam dan caseback. Ikan ini turut dikenali sebagai mersuji atau layaran. Spesies ini adalah antara ikan hebat di lautan.

Case jam buatan China. Movement jam pula seperti semua produk Casio lain iaitu dari Jepun. Mungkin inilah rahsia yang menyebabkan jam-jam Casio tahan lama dan bermutu kerana enjinnya hanya dibuat di Jepun sahaja.



"Tombol" penetapan fungsi jam besar dan senang diputar. Ia dilindungi oleh dua "bahu" dan berskru (screw down crown).




Ada sedikit maklumat berkenaan jam pada caseback.

Model berteknologi quartz ini menggunakan battery bersaiz SR626 yang berjangka hayat selama 3 tahun. Ketepatan jam +/- 20 seconds per month.



Tali jam hitam daripada resin. Tiada tanda atau tulisan Casio pada buckle. Hanya perkataan stainless steel dan China di bahagian belakangnya.


Keseluruhannya, saya berpuas hati dengan model ini. Kualiti buatannya adalah sepadan dengan harga yang ditetapkan.

*Ujian
Saya memakai jam ini untuk mandi di swimming pool bersama anak-anak. Setakat ini tiada sebarang masalah berlaku dan jam masih berdetik seperti biasa.