29 May, 2016

ARLOJI (Siri 31)

Aku dan Jam (Bahagian 2)

Setelah mempunyai anak dan kedudukan kewangan yang sedikit stabil, saya meneruskan minat terhadap jam. Pada mulanya, saya membeli seutas jam berjenama Casio yang bernombor siri MTP-1317D-2A dari sebuah pasar raya borong di Subang Jaya. Jam ini berkuasa battery dan diperbuat daripada stainless steel. Harganya pula berpatutan iaitu kira-kira RM150.00 sahaja. Saya memakai jam ini tidak lama. 

Kemudian, saya membeli jam tangan lain iaitu Seiko 5. Saya ingin mencuba sesuatu yang berlainan kerana jam berteknologi quartz (bateri) kurang memberi kepuasan kepada saya. Saya memilih jam automatik kerana dikatakan lebih tahan lama sekiranya dijaga dengan baik. Harga jam pula tidaklah begitu mahal iaitu bawah RM200.00.

Bagi menguji ketahanan dan kekuatan jam, saya telah menggunakan jam ini secara lasak. Saya memakai jam ini selama berhari-hari tanpa memecatnya dari pergelangan tangan. Saya mendapati jam ini tetap kehilangan power reserve juga walaupun berbuat sedemikian. Jam mati ketika saya masih memakainya. Akan tetapi, saya tidaklah pasti bahawa produk ini tulen mahupun tidak. Jam ini diserahkan kepada salah seorang saudara terdekat saya.

Seiko 5 asli dianggarkan mempunyai kuasa simpanan penuh selama 40 jam. Movement asal jam ini ditala dengan enjin 7S26. Enjin ini amat popular dalam kalangan peminat atau pengumpul jam kerana ia terbukti tahan jika dipakai seperti yang disyorkan.

Namun, peristiwa itu tidak mematahkan semangat saya untuk mengenali dan mencuba pelbagai jenis jam yang lain. Malah ia dijadikan satu pengajaran dan pembelajaran untuk saya terus mendalami ilmu horologi ini. Saya banyak melihat dan membaca tentang jam. Boleh dikatakan setiap kali ke pusat membeli-belah saya akan singgah di kedai jam walaupun untuk seketika. Jika ada kelapangan, saya turut melayari Internet yang berkaitan perkara ini.

Oleh kerana minat terhadap jam, saya akhirnya mewujudkan satu ruangan khusus di blog sendiri yang dikenali sebagai ARLOJI. Melalui ruangan ini  saya cuba menulis atau membuat sedikit ulasan berkenaan jam. Jam-jam yang dipaparkan bukanlah kesemuanya milik saya. Kadang-kadang saya cuma berpeluang memegang dan melihat jam tersebut dari dekat sahaja. Gambar-gambar jam pula kebanyakan diambil sendiri oleh saya dengan menggunakan kamera telefon bimbit.

Tujuan saya membuat review tentang jam di blog ini adalah untuk merekodkan jam-jam yang pernah saya jumpai. Selain itu, saya ingin berkongsi minat bersama orang lain terutamanya keluarga atau saudara-mara. Jika anda seorang yang baru dan ingin mendekatkan diri dengan jam mungkin akan mendapat sedikit info apabila membaca tulisan-tulisan saya di laman ini. Saya sendiri sebenarnya belum memahami dengan mendalam tentang jam terutamanya berkaitan aspek enjin (movement).

Secara umumnya, saya menyukai kesemuanya jenis jam. Saya sering memerhatikan jam orang lain apabila berjumpa dengan mereka. Namun, jika diberi peluang untuk memilih saya lebih gemarkan jam-jam dress/classic dan diver. Dress watch/classic mempunyai reka bentuk yang ringkas dan menawan manakala diver pula boleh digunakan untuk aktiviti lasak. Antara model dan jenama jam menarik bagi saya ialah Rado Diastar, Rolex Submarine, Omega Seamaster, Panerai, Doxa (diver), Grand/King Seiko dan Seiko Marinemaster (MM). Harga jam-jam ini sangatlah mahal kecuali Rado (±3K). Oleh itu, hanya jam-jam homage sahaja yang mampu dimiliki oleh saya. Jam homage merupakan jam original tetapi rupa bentuknya seakan-akan jam lain yang lebih mahal.

Setakat ini, saya belum membeli jam second hand. Saya lebih sukakan jam baru walaupun berharga murah dan diperbuat daripada plastik sahaja. Ini hanyalah pandangan saya dan ia mungkin tidak sama dengan orang lain. Setiap orang mempunyai cita rasa masing-masing.

17 May, 2016

ARLOJI (Siri 30)

Aku dan Jam (Bahagian 1)

Minat saya terhadap jam sudah lama. Ketika bersekolah rendah saya pernah memakai jam tangan digital murah. Namun, tidak kekal lama kerana jam rosak akibat terkena air ketika membasuh tangan.  Ketika itu saya berasa agak menyesal dan kecewa kerana kurang berhati-hati.

Sewaktu bersekolah menengah pula, saya memakai dua utas jam. Jam pertama berciri analog-digital (kira-kira 1 tahun) manakala jam kedua ialah Casio analog. Jam ini kecil dan mempunyai reka bentuk yang seakan-akan jam selam. Inilah kali pertama saya memiliki jam yang ada jenama. Harganya sekitar RM50.00.

Pada peringkat universiti. saya masih lagi membeli jam-jam berharga rendah. Jam bertaraf  "Petaling Street" dan "Chow Kit" menjadi pilihan. Pada masa itu, saya hanya sekali berpeluang membeli jam yang asli iaitu Alba. Harga jam tersebut kira-kira RM40.00. Jam ini berbentuk bulat, bernombor Roman dan menggunakan tali kulit.

Setelah memasuki alam pekerjaan, saya berusaha mengumpul duit untuk mendapatkan jam yang sedikit mahal. Saya telah membeli seutas jam tangan berjenama Seiko. Seiko ini dibeli di sebuah kedai jam yang terletak di Wangsa Maju. Saya amat menyayangi jam ini. Ia merupakan jam analog  gaya military dengan dail berwarna hijau, berformat 24 jam, tarikh dan diperbuat daripada stainless steel. Namun, jodoh tidak kekal lama kerana jam hilang ketika terjatuh motosikal. Peristiwa itu berlaku di sebuah kawasan perumahan yang terletak di Petaling Jaya. Harga jam antara RM200.00- RM400.00.

Selepas kejadian itu, saya tidak mampu lagi membeli jam yang berharga sedemikian. Bagi mengubat rasa sedih, saya membeli seutas jam tangan Casio F-200. Harga model ini berpatutan iaitu bawah RM100.00 dan baterinya tahan selama 10 tahun.

Casio F-200

Semasa awal perkahwinan, isteri saya menghadiahkan seutas jam stainless steel yang dijual secara berpasangan (pair). Ia berbentuk bulat dan nipis. Saya masih menyimpan jam ini walaupun telah kehabisan bateri sejak sekian lama.

Santiago Polo

08 May, 2016

ARLOJI (Siri 29)

Q&Q Analog VP47J020Y 

Jam Q&Q ini tergolong dalam kategori kids. Keseluruham jam berwarna merah jambu sesuai untuk digayakan oleh kanak-kanak perempuan.


Dail model 3 hands ini ringkas tanpa day mahupun date. Case dan tali jam diperbuat daripada plastik kecuali penutup belakang  dan crown yang menggunakan stainless steel.


Tahap kalis air jam ialah 10 BAR bersamaan 100 meter. Jam quartz ini dijana oleh kuasa bateri.



Daripada pembacaan saya, keaslian jam Q&Q dapat ditentukan dengan cara berikut: 
  1. Perhatikan bentuk fizikal, tulisan, logo dan lain-lain pada jam. Jam yang tulen buatannya kemas dan terperinci. 
  2. Kemudian, lihat nombor model pada tag di tali jam (semasa pembelian).
  3. Seterusnya, lihat pula nombor model pada bahagian bawah dail. Kanta pembesar diperlukan untuk melihat nombor ini kerana saiznya yang agak kecil.
  4. Jam itu adalah original jika kedua-dua nombor ini sama.

Nombor model jam ialah VP47J020Y. Terdapat tulisan Q&Q pada buckle.


Jenama Q&Q sebenarnya telah lama bertapak dalam pasaran Malaysia. Selain daripada jam kanak-kanak, syarikat ini turut mengeluarkan jam untuk orang dewasa. Saya sendiri pernah melihat seorang lelaki dewasa yang memakai jam berjenama ini.  Bahan yang digunakan bagi pembuatan jam pula tidak tertakluk kepada plastik sahaja malah ada yang menggunakan stainless steel.