Sepanjang tahun 2012, penulis agak menyepikan diri daripada menghasilkan sebarang komentar atau ulasan untuk tatapan semua. Apabila difikirkan semula, rasanya agak kurang adil kerana sepanjang tempoh ini banyak perkara yang telah berlaku dan berlalu begitu sahaja.
Pada kali ini, penulis berasa ingin sekali mengajak audien berbicara mengenai sikap dan tabiat manusia. Tingkah laku dan perangai manusia sememangnya terlalu kompleks dan ternyata sukar untuk difahami. Hal ini bergantung kepada kefahaman individu tersebut dan cara seseorang itu menjalani kehidupan.
Setiap orang mempunyai hala tuju kehidupan yang tersendiri. Namun begitu, secara umumnya dapatlah disimpulkan bahawa semua mengimpikan kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Cara seseorang mencorakkan kehidupan seharian dipengaruhi oleh diri sendiri, keluarga, masyarakat dan persekitaran. Kesemua faktor ini memainkan peranan penting apabila individu tersebut membuat sebarang keputusan. Hasil keputusan yang diambil kadang kala dilihat sangat tepat dan sesuai dengan kehendak semasa tetapi agak merugikan untuk tempoh jangka panjang.
Oleh itu, cubalah berfikir di luar kotak. Berfikirlah sejelas-jelasnya sebelum mengambil sebarang keputusan. Ini kerana dalam mengharungi liku-liku kehidupan banyak cabaran dan dugaan yang akan ditempuhi. Kejayaan seseorang bergantung kepada nilai yang ada pada dirinya, kerja keras, ketabahan dan fokus kepada apa yang diingini.
Jangan sesekali berhasad dengki dengan kejayaan orang lain. Contohi kesabaran dan pengorbanan mereka dalam menggapai kejayaan. Pelajari ilmu kehidupan mereka agar kita juga menjadi sepertinya. Selain itu, berserahlah kepada Allah.....
"Benih yang disemai hari ini bukanlah untuk dituai esok tetapi mungkin generasi kita seterusnya yang mendapat manfaat"